Kini ijazah sahaja tidak cukup, tingkatkan diri dengan kemahiran juga penting
Mempunyai ijazah sahaja tidak cukup dalam era ini kerana kemahiran dan keperluan mempertingkatkan diri dengan kemahiran juga penting.
SINGAPURA: Mempunyai ijazah sahaja tidak cukup dalam era ini kerana kemahiran dan keperluan mempertingkatkan diri dengan kemahiran juga penting.
Demikian tekan para Anggota Parlimen Melayu semasa satu sesi dialog bagi membincangkan Belanjawan 2022 pada Selasa (22 Mac).
Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia (MOM) Zaqy Mohamad yang merupakan salah seorang panelis sesi itu berkata walaupun ijazah universiti masih penting, majikan masih melihat apa yang ia perlukan untuk sesuatu pekerjaan kerana tidak semua kemahiran memerlukan ijazah.
Lantaran itu, di bawah anjakan paradigma ini, kemahiran begitu penting dan anak muda perlu memikirkan bagaimana untuk mempunyai kemahiran tertentu, kata Encik Zaqy.
Seorang lagi panelis, Dr Wan Rizal Wan Zakariah pula berkata betapa ijazah universiti kini adalah hanya langkah pertama, atau seperti 'pasport'. Kemahiran-kemahiran baru diperlukan untuk kekal berdaya tangkas dalam pasaran pekerjaan, kata AP GRC Jalan Besar itu.
Para AP itu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan peserta dialog tentang kepentingan ijazah hari ini untuk menjamin pekerjaan yang baik dan mampan di tengah-tengah industri yang berubah-ubah.
PELBAGAI LANDASAN DAN HALA TUJU TINGKATKAN KEMAHIRAN
Semasa dialog M³ anjuran Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) itu, para pemimpin Melayu juga menarik perhatian betapa terdapat juga pelbagai landasan dan hala tuju yang seseorang boleh ambil untuk meningkatkan kemahiran mereka dan ini tidak terbatas kepada meraih ijazah, menurut mereka.
Misalnya, terdapat pelbagai skim dan inisiatif yang diharap dapat membantu para pekerja dan anak-anak muda mencapai aspirasi mereka.
“Kita akan memberi lebih banyak akses kepada kaunseling kerjaya, dan program-program mentorship terutama sekali bagi anak muda kita yang mungkin hari ini tidak mempunyai aspirasi, atau tidak mengetahui apa yang mereka mahu lakukan dalam kehidupan atau kerjaya mereka,” kongsi Encik Zaqy.
“Melalui sistem mentorship dan sistem penasihat kerjaya ini, kita akan dapat memberi mereka satu hala tujuan di mana mereka dapat memahami bagaimana mereka dapat mencapai potensi mereka, apakah peluang-peluang yang ada, dan apakah inisiatif, skim atau pelajaran yang mereka harus menjalani supaya dapat meraih peluang ini.”
SOKONGAN YANG ADA UNTUK BANTU PEKERJA MATANG
Antara isu lain yang diketengahkan oleh kalangan 30 peserta dialog itu termasuklah sokongan-sokongan yang ada bagi membantu para pekerja matang memasuki sektor yang berkembang.
Encik Zaqy menjelaskan bahawa terdapat pelbagai inisiatif dan skim untuk para pekerja meningkatkan kemahiran termasuk Program Penukaran Kerjaya dan SkillsFuture.
Beliau menekankan bahawa ada lebih 100 program yang boleh dimanfaatkan untuk penukaran kerjaya untuk mereka bagi mereka yang mahu memasuki industri-industri yang sedang berkembang.
Dalam pada itu, Encik Zaqy juga berkongsi tentang bagaimana pemerintah akan membantu para pekerja bergaji rendah dalam sektor-sektor Model Gaji Progresif (PWM).
“Bagi mereka dalam sektor gaji model progresif, mereka akan melihat bagaimana gaji mereka akan lebih ditingkatkan dalam tahun-tahun akan datang. Tapi bagi saya juga, peluang untuk menaikkan gaji juga melibatkan bagaimana kita dapat meningkatkan keupayaan kita dan menggunakan skim-skim SkillsFuture dan program-program Bekerja dan Belajar SkillsFuture,” kata Encik Zaqy.
Merumuskan sesi dialog satu setengah jam itu, yang turut dihadiri AP Zhulkarnain Rahim selaku anggota panel, Encik Zaqy menyifatkannya sebagai sesi yang amat bermakna kerana peserta muda dan para pekerja yang menyertainya ingin mengetahui bagaimana mereka "dapat terus maju meningkatkan keupayaan mereka" sedang munculnya lebih banyak sektor berkembang dan banyak peluang yang ada daripada pandemik COVID-19 ini.
"Saya berharap melalui platform-platform yang ada, kita dapat membawa masyarakat bersama dan memberi mereka gambaran, nasihat dan berbincang dengan mereka apakah laluan yang boleh didapati," tambah beliau.
Sesi dialog membincangkan Belanjawan 2022 itu merupakan yang keempat dan terakhir anjuran M³.
Secara keseluruhannya sekitar 150 peserta menghadiri sesi perbincangan itu yang meliputi MAEC, pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam, masjid-masjid serta para belia dari Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IHL).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.