Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kinderland larang kakitangannya daripada guna peranti peribadi di tempat kerja susuli kes penderaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian prasekolah Kinderland melarang kakitangannya daripada menggunakan peranti peribadi di tempat kerja.

Ia merupakan satu langkah, yang dikatakan bertujuan untuk melindungi privasi kanak-kanak di sekolah mereka.

Langkah tersebut diperkenalkan setelah tular rakaman video dua guru yang disyaki mendera kanak-kanak di pusatnya di Woodlands Mart dan Choa Chu Kang baru-baru ini.

Kedua-dua guru terbabit sudahpun diberkas minggu ini, dengan salah satu daripadanya didakwa pada Rabu atas kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak.

Seorang mantan guru Kinderland memberitahu Mediacorp bahawa beliau merakamkan video yang tular itu, memaparkan penderaan yang disyaki berlaku di Woodlands Mart.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, Kinderland menjelaskan pada pagi Khamis (31 Ogos) bahawa larangan ke atas penggunaan peranti peribadi tidak berniat untuk menghentikan perbuatan "memberikan maklumat".

"Dengan menguatkuasakan penggunaan peranti syarikat sahaja untuk mengambil gambar/video kanak-kanak, Kinderland berharap untuk mengurangkan kecenderungan untuk menggunakan peranti peribadi bagi sebab-sebab rasmi," nyata Kinderland.

"Lantaran itu, sementara di tempat kerja, di mana kerja adalah kerja, jika peranti diperlukan, peranti rasminya patut digunakan dan bukan (peranti) peribadi.

"Ia bukanlah idea untuk menyekat penggunaan telefon peribadi bagi menghapuskan perbuatan memberi maklumat, sebaliknya (ia berhubung) kebimbangan terhadap privasi kanak-kanak yang mendorong penguatkuasaan dasar ini."

Kinderland mengumumkan tentang larangan penggunaan peranti peribadi di Facebook pada Rabu, sambil menyatakan bahawa ia mempunyai peranti yang diberikan syarikat, bagi mengendalikan perhubungan dengan ibu bapa.

Ini termasuk berkongsi gambar-gambar dan video-video menerusi app pengurusan prasekolah, yang memberi kemas kini kepada ibu bapa mengenai kemajuan yang dicapai anak-anak mereka.

"Bagi mengelakkan gambar dan video kanak-kanak kami daripada disalahgunakan, Kinderland kini menjadikannya satu dasar bagi kakitangan untuk tidak menggunakan peranti peribadi mereka, semasa waktu mengajar," nyatanya dalam satu hantaran.

"Kami berharap langkah-langkah ini akan melindungi semua dengan lebih baik."

Langkah tersebut yang diambil Kinderland bagaimanapun dikritik oleh sesetengah warga net di Facebook, dengan seorang menyifatkannya sebagai "satu petanda amaran paling besar".

Manakala sebilangan lain membalas hantaran tersebut, dengan menyatakan rangkaian prasekolah itu sedang cuba "melindungi" diri mereka sendiri.

Seorang lagi pula berkata: "Anda perlu (menetapkan) program pemberian maklumat yang betul sebelum menguatkuasakan dasar ini."
Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp pada Khamis, Kinderland menyatakan selain gambar dan video, app tersebut juga membenarkan sekolah itu untuk memuat naik notis, maklumat dan sumber-sumber kepada ibu bapa.

Ibu bapa boleh juga mendaftar masuk untuk menerima notis serta maklumat dari sekolah berkenaan.

"Jadi demi melindungi guru-guru (yang tidak akan dituduh bagi gambar dicuri/hilang) dan kanak-kanak, ia adalah lebih baik bagi semua gambar dan video dirakam dan disimpan dalam peranti yang dikaitkan dengan syarikat sahaja."

Kinderland menambah sekiranya ia mendapati sebarang "tingkah laku tidak wajar oleh kakitangan atau guru, CCTV yang bakal dipasang, akan (digunakan) bagi menangani isu ini".

Kinderland sebelum ini menarik perhatian bahawa ia akan menguatkuasakan langkah baharu, termasuk memperluaskan penggunaan CCTV ke semua bilik darjah di kedua-dua pusat itu.

"Pada masa yang sama, peranti rasmi itu juga boleh digunakan untuk merakam insiden sedemikian (jika ada), dan digunakan untuk memfailkan laporan," tambahnya.

Kes penderaan di dua pusat Kinderland muncul setelah beberapa video tersebar di media sosial minggu ini.

Wanita pertama - Lin Min, 33 tahun, yang mengajar di Kinderland Preschool @ Woodlands Mart - diberkas pada Isnin lalu setelah tular rakaman video yang menunjukkan dia cuba memaksa kanak-kanak untuk minum air dan menjerit serta memukul mereka.

Kertas mahkamah menunjukkan bahawa dia didakwa memaksa seorang kanak-kanak berusia 23 bulan untuk berbaring dan menuang air ke dalam mulut budak perempuan itu.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) menyatakan pihaknya sedang menyiasat kes yang melibatkan seorang lagi guru di prasekolah Kinderland di Sunshine Place di Choa Chu Kang.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan