Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kinderland jawab dakwaan dera kanak-kanak, bekas guru akui rakam video tular

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian prasekolah Kinderland pada Selasa (29 Ogos) memberi penjelasan berhubung video tular yang menunjukkan dua guru dari pusat Woodlands dan Choa Chu Kang dipercayai mendera kanak-kanak.

Ia juga mendedahkan siasatannya serta butiran individu-individu yang terlibat.
BEKAS GURU RAKAM VIDEO INSIDEN

Menurut Kinderland, video-video tersebut dirakam antara 27 dengan 30 Jun.

Terdapat hanya dua guru di dalam bilik darjah ketika video dirakam. Kenyataan tersebut hanya menyebut mereka sebagai Guru A dan Guru B.

Guru A - wanita yang dirakam dalam video yang tular itu - adalah seorang warga Singapura berusia 33 tahun yang menyertai Kinderland pada Mac 2020.

Menurut kenyataan Kinderland, Guru A merupakan "guru berpengalaman dan bertauliah" dan pernah bekerja di sebuah prasekolah sebelum menyertai Kinderland.

Kinderland menambah bahawa Guru A "sering menerima testimoni baik" dalam tinjauan tahunan ibu bapa. Dia juga "mempunyai hubungan baik" dengan guru-guru lain di pusat itu dan "sentiasa membantu".

Guru B, seorang warga Singapura 37 tahun, adalah "guru baharu yang masih di bawah pemerhatian", namun pernah memegang "jawatan" di pusat prasekolah lain. Beliau menyertai pusat prasekolah Kinderland di Woodlands Mart pada Mei, dan ditugaskan untuk bekerjasama dengan Guru A di dalam bilik darjah.

Namun, dalam tempoh tiga bulan, beliau meletak jawatan. Hari terakhirnya di Kinderland adalah 29 Julai.

Guru B mengesahkan bahawa beliau merakam video-video tersebut, dan merasakan dirinya tidak diambil serius apabila beliau bercakap dengan pengetua prasekolah itu, Cik Mahirah Yasid sebanyak dua kali tentang cara Guru A melayani para pelajar.

Walaupun beliau tidak menyebut tentang video tersebut ketika itu, Guru B memberitahu pengetua bahawa penganiayaan itu "bukan kali yang pertama" dan insiden serupa "sedang berlaku".

Menurut Guru B, pengetua menjawab bahawa Guru A sudah bertugas di sekolah itu selama beberapa tahun. Beliau berasa bahawa pengetua tersebut tidak mempercayainya.

Guru B berkata beliau memutuskan untuk merakam insiden tersebut selepas dinasihati oleh suaminya, kerana tiada kamera CCTV dipasang di dalam bilik darjah.

"Setiap kali saya lihat apa yang dilakukan (Guru A), saya akan mengambil kanak-kanak daripada dihukum Guru A. Tetapi, dia akan mengambil kanak-kanak itu kembali dan memberitahu saya, 'Saya belum selesai dengan apa yang saya ingin lakukan'," dedah Guru B.

ECDA MENYIASAT KINDERLAND

Kinderland menyatakan dalam kenyataannya bahawa ia mengetahui tentang video itu ketika dihubungi Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) pada 17 Ogos untuk disiasat.

Agensi pemerintah yang menyelia sektor itu, bertemu dengan kakitangan dari pusat Kinderland di Woodlands Mart pada hari yang sama serta 18 Ogos.

Kakitangan tersebut ditunjukkan video-video itu dan "dinasihatkan supaya menilai" tingkah laku Guru A.

ECDA juga memberi beberapa garis panduan untuk menangani insiden itu, termasuk menghubungi ibu bapa kanak-kanak terjejas dan melaporkan siasatan kepada ibu pejabat Kinderland.

Mereka juga diberi "pelan tindakan yang dicadangkan" untuk menangani isu itu.

Ibu pejabat Kinderland kemudian memulakan siasatan tatatertib.

Apabila jawatankuasa siasatan tatatertib menghubungi Guru B, beliau "tidak mengaku merakam video insiden tersebut, atau memuat naiknya," dedah kenyataan itu.

"Beliau berkata bahawa beliau menonton video-video tersebut daripada rakannya."

Ketika bercakap dengan Mediacorp, Guru B mengaku bahawa beliau tidak memberitahu jawatankuasa itu bahawa video tersebut dirakamnya.

Pada 28 Ogos, beliau berkongsi video-video tersebut dalam kumpulan sembang untuk para ibu. Ini selepas beliau berkongsi video itu dengan ECDA, kata Guru B.

Beliau menambah bahawa beliau tidak berkongsi video itu sejurus selepas ia dirakam untuk mengelakkan risiko terhadap pekerjaannya.

Menurut kenyataan Kinderland, "Beliau menyatakan bahawa beliau terpaksa menjaga ibunya yang uzur, sebagai sebab untuk meletak jawatan."

Guru B memberitahu Mediacorp meskipun sebab itu adalah benar, sebab utama beliau meninggalkan prasekolah itu adalah kerana beliau tidak mahu menjadi sebahagian daripada budaya tersebut.

IBU BAPA DIBERITAHU TIADA APA-APA YANG BERLAKU

Kesemua ibu bapa ketiga-tiga kanak-kanak dalam video itu berkata mereka "tidak melihat sebarang perkara luar biasa atau kecederaan fizikal", dan anak-anak mereka "berkelakuan seperti biasa", menurut kenyataan itu.

Cik Diyanah Mnoor, ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan dua tahun yang dituangkan air ke dalam mulutnya oleh Guru A, berkata beliau dimaklumkan tentang insiden itu dua minggu lalu.

GURU DIPECAT "HANYA SELEPAS VIDEO TULAR"

Apabila video satu lagi kanak-kanak dipaksa untuk minum air dengan kepalanya dipegang tular pada Isnin (28 Ogos), Cik Diyanah berkata pihak sekolah memberitahunya bahawa apa yang dilalui anak perempuannya "tidak seteruk kejadian itu".

Tidak lama kemudian, video menunjukkan anak perempuannya dimuat naik online, kata Cik Diyanah.

"Mereka hanya memecatnya apabila video itu tular...Ini hanya apa yang kami lihat di dalam video, kita tidak tahu perkara lain yang mungkin berlaku."

Menurut kenyataan Kinderland, "selepas menyelesaikan siasatan tatatertib", ibu pejabatnya meminta Guru A dipecat pada Isnin.

"INSIDEN SEDEMIKIAN JARANG BERLAKU"

Rangkaian prasekolah itu menyatakan: "Meskipun insiden sedemikian jarang berlaku, Kinderland sudah, dan akan terus mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu-isu yang timbul dan akan terus menegakkan dasar tidak bertolak ansur sama sekali terhadap penganiayaan ke atas kanak-kanak mahupun dewasa."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan