Skip to main content

Singapura

Kim Heng Jewellers & Goldsmiths didenda S$35,000; tidak periksa pelanggan mencurigakan

Anggaran Waktu Membaca:
Kim Heng Jewellers & Goldsmiths didenda S$35,000; tidak periksa pelanggan mencurigakan

(Gambar fail: iStock/ozgurdonmaz)

Diterbitkan : 19 Nov 2024 06:59PM Dikemas Kini : 19 Nov 2024 07:00PM
SINGAPORE: Buat julung-julung kalinya, seorang tukang emas didenda S$35,000 kerana gagal melaksanakan usaha wajar yang diperlukan untuk memerangi pengubahan wang haram.

Kim Heng Jewellers and Goldsmiths mengakui pada Selasa (19 Nov) bahawa ia menjual produk emas bernilai lebih S$313,000 tanpa melakukan pemeriksaan yang diperlukan, walaupun mempunyai sebab untuk mengesyaki berlaku pengubahan wang haram.

Lebih S$140,000 daripada jumlah itu adalah daripada dana yang ditipu daripada dua mangsa penipuan perisian hasad.

Kim Heng mengaku bersalah atas satu tuduhan gagal melaksanakan usaha wajar. Dua lagi tuduhan serupa turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan itu adalah yang pertama di bawah Seksyen 16 Akta Batu Permata dan Logam Berharga (Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan).

Akta itu digubal pada 2019 untuk memperkenalkan langkah penyeliaan dan pengawalseliaan khusus bagi sektor tersebut, selaras dengan rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pengganasan di Singapura yang lebih luas.

Undang-undang itu baru-baru ini diperkukuhkan lagi melalui pindaan undang-undang pada Februari lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa Kim Heng, yang terletak di People's Park Complex di Chinatown, telah didaftarkan pada 1971 dan merupakan pengedar batu permata dan loga berharga yang dikawal selia.

PEKERJA TIDAK DILATIH DENGAN USAHA WAJAR

Pada 21 Okt 2019, Kementerian Undang-Undang (MinLAW) mengadakan taklimat mengenai rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pengganasan untuk peniaga terkawal dalam sektor itu.

Seorang akauntan sambilan yang diambil bekerja oleh Kim Heng menghadiri taklimat tersebut dan kemudian berkongsi apa yang dipelajarinya dengan pemilik Kim Heng Henry Ho Kwang Hah dan pekerja lain.

Encik Ho dan pekerjanya sedia maklum tentang tugas kawal selia mereka, dan Encik Ho juga sedia maklum tentang risiko warga asing melakukan pengubahan wang haram dengan membeli emas, kata Timbalan Pendakwa Raya Thaddeus Tan.

Tiada latihan diberikan kepada para pekerja Kim Heng untuk menjalankan usaha wajar terhadap pelanggan.

Encik Ho menyampaikan bahan daripada taklimat tersebut kepada para pekerjanya, tetapi memandangkan dia hanya mengarahkan mereka untuk merujuk kepada bahan-bahan itu, mereka tidak mengkajinya secara mendalam, kata pendakwa raya.

Encik Ho hanya secara lisan mengarahkan pekerjanya untuk mencatatkan butiran pelanggan yang melakukan urus niaga tunai bernilai S$20,000 dan ke atas, tambah Encik Tan.

Di bawah peraturan itu, peniaga terkawal sepatutnya mendapatkan maklumat pelanggan dan mengesahkan identiti pelanggan menggunakan sumber seperti kad pengenalan atau pasport.

Peniaga juga perlu bertanya sama ada pelanggan menggunakan wang tunai untuk melakukan transaksi itu, dan jika tidak, mestilah mengesahkan identiti pemilik wang tunai itu, antara langkah-langkah lain.

PELANGGAN TAK DIKENALI BELI EMAS

Pada 15 Sep 2023, seorang wanita lanjut usia yang memakai pelitup melanggani Kim Heng dan berkata bahawa dia mahu membeli 200g hingga 300g emas bagi pihak anak lelakinya.

Seorang pekerja, Cik Kang Yit Hooi, menunjukkan kepadanya sejumlah barang kemas yang diperbuat daripada emas. Wanita itu mengambil gambar barang kemas itu dan kononnya menghantarnya kepada anaknya melalui telefon.

Wanita itu kemudian memberitahu Cik Kang dia mahu membeli rantai emas bernilai S$28,000 dan akan membayarnya menggunakan PayNow.

Apabila Cik Kang memproses pembayarannya, dia menyedari bahawa pembayar adalah entiti yang diberi nama Globe Eximport, yang mempunyai nombor entiti yang unik.

Ini sebenarnya adalah akaun korporat yang sudah disalah guna, Encik Tan memberitahu mahkamah.

Beliau berkata bahawa Cik Kang mempunyai sebab untuk mengesyaki berlaku pengubahan wang haram memandangkan transaksi itu melibatkan jumlah besar dan identiti pembayar adalah sebuah entiti korporat, sedangkan pelanggan dan orang yang kononnya mengarahkan pelanggan untuk membeli emas adalah orang biasa.

Cik Kang bagaimanapun tidak melaksanakan usaha wajar yang diperlukan.

Keesokan harinya, anak lelaki wanita tua itu menghubungi Cik Kang melalui WhatsApp dan memberitahunya bahawa dia ingin membeli lebih banyak emas.

Apabila Cik Kang berkata dia tidak bekerja dan rakan sekerjanya mungkin tidak dapat melayannya, dia bertegas bahawa dia perlu membeli emas pada hari itu dan ibunya yang sepatutnya akan mengambil pembelian itu.

Cik Kang merujuk pelanggan itu kepada rakan sekerjanya, Cik Sheila Lo Mohd Miza.

Wanita tua itu kembali ke kedai tersebut pada hari itu dan Cik Lo menunjukkan kepadanya beberapa barang kemas. Dia membeli enam rantai emas dan loket emas bernilai S$173,295.

Apabila wanita itu membayar menggunakan PayNow, Cik Lo juga menyedari bahawa pembayar itu adalah Globe Eximport, dan mempunyai sebab untuk mengesyaki berlaku pengubahan wang haram, kata Encik Tan.

“Ketika itu, kebimbangan (Cik Lo) adalah untuk memastikan transaksi itu berjalan lancar dan tertuduh tidak ditipu.

“(Cik Kang) juga tidak bertanya apa-apa kerana takut dimarahi (dua pelanggan itu) dan khuatir akan kehilangan pelanggan,” kata pendakwa raya.

Pada 2 Okt 2023, anak lelaki yang sepatutnya menghubungi Cik Kang sekali lagi, membeli jongkong emas dan rantai emas bernilai S$112,332.

Semasa Cik Kang menjalankan transaksi itu, lelaki tersebut berulang kali mengarahkannya untuk memproses pembayaran dengan lebih cepat. Sekali lagi, dia tidak menjalankan pemeriksaan yang wajar.

Lelaki itu menghubungi Cik Kang sekali lagi pada 3 Okt 2023 untuk membeli lebih banyak emas, dan ibunya yang sepatutnya pergi ke kedai untuk mengambil semula pembelian itu.

Tetapi kali ini, Encik Ho memutuskan untuk meminta kad pengenalan wanita tua itu. Wanita itu menjawab bahawa dia perlu menggunakan tandas dan selepas itu terus meninggalkan kedai tersebut.

Identiti wanita warga emas itu dan lelaki tersebut - yang dikatakan ibu dan anak lelakinya - masih belum dapat dipastikan.

Perkara itu terbongkar selepas laporan dibuat mengenai penipuan perisian hasad.

TIADA TOLAK ANSUR TERHADAP PENGUBAHAN WANG HARAM

Pihak pendakwa menuntut denda S$38,500 hingga S$45,500. Hukuman kerana tidak melaksanakan usaha wajar pelanggan di bawah Akta tersebut ialah denda sehingga S$100,000.

Encik Tan berkata "mesej tegas" mesti disampaikan kepada peniaga terkawal, dan kegagalan untuk berbuat demikian akan membawa kepada eksploitasi sektor pengedar batu permata dan logam berharga.

Beliau menambah bahawa pemerintah bergantung kepada pihak berkepentingan untuk menjalankan pemeriksaan yang diperlukan, memandangkan sektor itu banyak melakukan urus niaga di Singapura.

Peguam bela Kelvin Lim berkata bahawa kakitangan Kim Heng melakukan carian internet untuk Global Eximporter dan mendapati bahawa syarikat itu telah ditubuhkan selama beberapa tahun. Lantaran itu, peruncit meneruskan dengan transaksi tersebut.

Ketua Hakim Daerah Toh Han Li menegaskan bahawa ia tidak boleh dianggap sebagai "urusan seperti biasa" kerana peraturan mensyaratkan piawai usaha wajar tertentu.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Toh berkata beliau mengambil kira kerjasama Kim Heng dengan siasatan dan pengakuan awal bersalah.

Beliau menambah bahawa kes-kes penipuan di Singapura sudah meningkat sejak Akta itu digubal pada 2019.

Tujuan usaha wajar itu adalah untuk memastikan pekerja para peniaga bertanya soalan yang betul dan mendapatkan maklumat yang relevan sebaik sahaja mereka dimaklumkan tentang sebarang salah laku, katanya.

"Kami tidak mahu peniaga menjadi suatu kelemahan dalam usaha memerangi pengubahan wang haram," kata hakim.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita