Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kilasan Parlimen 12 Sep: 4 perkara yang perlu anda tahu

Gaji purata bulanan pemegang Pas Kerja di Singapura meningkat hampir seganda sejak sedekad lalu kepada S$9,000 setakat Disember 2021 daripada S$4,700 pada Disember 2011.

Anggaran Waktu Membaca:
Kilasan Parlimen 12 Sep: 4 perkara yang perlu anda tahu

Sesi parlimen pada 12 September 2022. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 13 Sep 2022 11:35AM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 11:36AM
SINGAPURA: Gaji purata bulanan pemegang Pas Kerja di Singapura meningkat hampir seganda sejak sedekad lalu kepada S$9,000 setakat Disember 2021 daripada S$4,700 pada Disember 2011.

Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan di Parlimen pada Isnin (12 Sep) mengenai purata gaji bulanan pemegang Pas Kerja selama ini.

Soalan lain yang difailkan Anggota Parlimen (AP) termasuk penggunaan baucar yang diberikan kepada anggota perkhidmatan negara sempena sambutan 55 tahun Perkhidmatan Negara, pendekatan yang diambil Kementerian Pertahanan (MINDEF) terhadap pengambilan dadah dalam kalangan anggota NS serta jumlah pemilik flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) ditangkap menyewakan flat mereka secara haram.

Berikut adalah beberapa petikan jawapan bertulis kepada soalan-soalan tersebut.

1.Purata gaji bulanan yang dikeluarkan pemegang Pas Kerja

Soalan AP GRC Sengkang Louis Chua

-Berapakah purata gaji bulanan yang dikeluarkan pemegang Pas Kerja, setiap tahun dalam tempoh 10 tahun yang lalu?

Jawapan Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng

Kementerian Tenaga Manusia sentiasa menyemak gaji yang layak untuk pemohon Pas Kerja agar sejajar dengan gaji profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen yang merupakan penduduk Singapura.

Ini memastikan pemegang Pas Kerja berkaliber diambil bekerja dan tidak semata-mata kerana mereka lebih murah daripada pekerja tempatan.

Disebabkan itu, gaji bulanan pemegang Pas Kerja telah meningkat sejak 10 tahun lalu.

Dari Disember 2011 hingga Disember 2021, median gaji bulanan pemegang pas tersebut meningkat daripada S$4,700 kepada S$9,000.
2. Pakej Pengiktirafan NS55

Soalan Dr Wan Rizal, AP GRC Jalan Besar

-Berapa ramaikah anggota perkhidmatan negara yang tidak layak menerima Pakej Pengiktirafan NS55?

- Berapa banyakkah aduan diterima tentang kesukaran menuntut kredit?

- Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk menangani masalah tersebut?

Jawapan Menteri Pertahanan Ng Eng Hen

Lebih satu juta anggota NS, yang dahulu dan sekarang, diberi kredit NS55.

Kredit NS55 adalah sebahagian daripada Pakej Pengiktirafan NS55 untuk memperingati 55 tahun Perkhidmatan Negara di Singapura.

Hanya kira-kira 1 peratus daripada semua anggota perkhidmatan negara tidak layak bagi Pakej Pengiktirafan NS55, terutamanya disebabkan oleh kesalahan serius dan isu disiplin.

Semua penerima yang layak telah menerima kredit mereka pada akhir bulan Julai dan akhir Ogos, lebih separuh daripadanya menggunakan sebahagian atau semua kredit mereka.
3. Mengesan dan mencegah penyalahgunaan dadah dalam tentera

Bulan lalu, perenang negara Joseph Schooling mengaku mengambil ganja di luar negara. Beliau sedang menjalani Perkhidmatan Negara ketika ini dan menerima amaran daripada MINDEF selain dikehendaki menjalani rejim ujian air kencing selama enam bulan.

Soalan AP GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim

-Apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengesan dan mencegah penyalahgunaan bahan terkawal atau dadah dalam tentera atau semasa latihan di sini dan di luar negara, khususnya dalam kalangan anggota sepenuh masa dan anggota kerahan?

Jawapan Menteri Pertahanan Ng Eng Hen

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mengekalkan dasar yang sejajar dengan dasar negara bertoleransi sifar terhadap penyalahgunaan dadah.

Tumpuan utama terhadap pencegahan dan penguatkuasaan yang ketat terhadap penyalahguna dadah melalui ujian, hukuman yang sewajarnya dan pemulihan bagi memastikan budaya bebas dadah dalam SAF.

Pencegahan penyalahgunaan dadah dicapai melalui pendidikan dan menggalakkan mereka yang telah mengambil dadah untuk mendapatkan bantuan bagi menghentikan atau merawat ketagihan mereka.

Semua rekrut menghadiri ceramah mengenai kesan berbahaya dadah yang dikendalikan oleh Pusat Kaunseling SAF semasa mereka menjalani Latihan Asas Tentera.

Ceramah antidadah dijalankan secara berkala oleh Pusat Kaunseling SAF dan Biro Narkotik Pusat di kem dan unit SAF.

Sebelum latihan atau penempatan di luar negara, kakitangan SAF diberi taklimat dan diingatkan dengan tegas tentang akibat mengambil dadah di luar negara.

Untuk mengelakkan dikenakan hukuman berat akibat penyalahgunaan dadah, mereka yang telah mengambil dadah boleh memilih untuk mengaku tanpa dihukum di bawah Skim Pengampunan SAF.

Kakitangan ini kemudiannya akan menerima kaunseling dan sokongan pemulihan untuk membantu mereka menghentikan tabiat mereka dan menjalani ujian tetap.

Skim ini hanya disediakan sekali sahaja, selepas itu hukuman akan dikenakan bagi kesalahan dadah.

Untuk memantau penyalahgunaan dadah, ujian air kencing dijalankan di seluruh SAF secara meluas.

Ujian air kencing juga dilakukan tanpa notis awal di unit, pangkalan luar negara dan lokasi latihan, serta kakitangan perkhidmatan yang pulang ke tanah air.

Polis Tentera SAF juga menjalankan pemeriksaan mengejut bagi memastikan produk haram termasuk dadah terkawal tidak dibawa masuk ke dalam premis SAF.

Mana-mana askar atau wanita yang didapati positif semasa saringan air kencing akan didakwa.

Mereka biasanya dikenakan hukuman oleh mahkamah tentera sekurang-kurangnya lapan hingga sembilan bulan tahanan di Berek Tahanan SAF.

Penyalahguna dadah yang dikenali atau disyaki yang mengaku sendiri atau pernah disabitkan dadah akan dikenakan rejim ujian air kencing dan sesi kaunseling dadah, di mana mereka akan diperiksa sehingga tiga kali seminggu selama tempoh sehingga enam bulan.

Jika mereka positif semasa tempoh itu, mereka akan disiasat atas kesalahan dadah dan berpotensi didakwa di mahkamah tentera.

Langkah itu bagi mencegah dan bertindak sebagai satu bentuk pemulihan untuk membantu mereka menjauhi dadah.

4. Bilangan kes sewakan flat HDB yang tidak didedahkan

Soalan AP GRC East Coast oleh Cheryl Chan,

- Antara 2010 dan 2021, berapa banyakkah kes sewakan flat HDB yang tidak didedahkan?

-Apakah hukuman yang dikenakan kepada pemilik rumah dalam kes demikian?

-Bagaimanakah HDB boleh membaiki penguatkuasaan peraturan?

Jawapan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee

HDB memandang serius terhadap langkah menyewakan flat tanpa kebenaran dan akan mengambil tindakan terhadap pemilik flat terbabit.

Bergantung pada tahap dan keadaan di mana pelanggaran itu berlaku, HDB boleh mengeluarkan amaran bertulis, mengenakan denda sehingga S$50,000, atau merampas flat itu daripada pemilik.

Antara 2010 dengan 2021, HDB mengambil tindakan terhadap 730 kes di mana flat disewakan tanpa kebenaran, termasuk kira-kira 70 yang diperoleh semula.

Untuk mendedahkan sebarang perbuatan menyewakan flat tanpa kebenaran, HDB menjalankan pemeriksaan dan menyiasat semua maklum balas daripada orang awam mengenai kes yang disyaki.
Sumber : Today/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan