Kilang United Microelectronics Corporation dijangka cipta 700 pekerjaan baharu
Keupayaan pengeluaran cip Singapura mendapat rangsangan baharu menerusi peluasan kilang United Microelectronics Corporation (UMC) di Pasir Ris.
Langkah kilang semikonduktor Taiwan itu akan memperkukuh lagi kedudukan Singapura selaku lokasi pengeluaran cip, serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan memenuhi permintaan cip yang semakin meningkat.
Pada masa yang sama, peluasan tersebut juga dijangka mewujudkan sekitar 700 pekerjaan baharu di Singapura.
Fasa pertama kilang itu akan menelan belanja sehingga AS$5 bilion (S$6.7 bilion).
Kilang itu akan mulakan pengeluaran tahun hadapan dan mampu menghasilkan sehingga 30,000 wafer setiap bulan.
Ini meningkatkan jumlah kapasiti syarikat UMC di Singapura kepada lebih satu juta wafer setahun.
Cip yang dikeluarkan digunakan dalam telefon bijak, memori peranti dan keterhubungan isyarat 5G.
Semasa pelancaran kilang tersebut, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata kerjasama sedemikian adalah penting sedang Singapura mengharungi persekitaran global yang semakin kompleks.
"Singapura kekal komited kepada asas-asas yang mencorak pendekatan kami terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi sejak berdekad-dekad.
"Ini termasuk perancangan yang teliti dan jangka panjang, pelaburan berterusan dalam infrastruktur, mengekalkan persekitaran yang properniagaan, menegakkan peraturan berasaskan undang-undang yang kukuh dan kekal terbuka kepada pelaburan perdagangan dan bakat," kata Encik Gan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.