Kilang tepung didenda S$3,000 setelah lipas, tanda 'pembiakan tikus' ditemui
Sebuah kilang tepung tempatan didenda S$3,000 pada Rabu (9 Dis) kerana gagal menjaga kebersihan premisnya dan memastikan ia bebas daripada masalah pembiakan haiwan perosak.
(Gambar: SFA)
SINGAPURA: Sebuah kilang tepung tempatan didenda S$3,000 pada Rabu (9 Dis) kerana gagal menjaga kebersihan premisnya dan memastikan ia bebas daripada masalah pembiakan haiwan perosak.
Dalam satu kenyataan medianya, Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan ia menemui "lipas dan tanda-tanda pembiakan tikus di kawasan pemprosesan makanan" semasa pemeriksaan dijalankan di premis Dawood Flour Mill & Provision pada 29 Januari.
Beberapa kelemahan berkaitan dengan penjagaan kebersihan premis juga ditemui, kata agensi itu.
Lesen operasi kilang tersebut digantung oleh SFA selama 15 hari antara 30 Jan hingga 13 Februari.
Penggantungan itu ditarik balik setelah Dawood Flour Mill & Provision memperbaiki kelemahan dan mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kebersihan di premisnya, kata SFA.
"Keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama kerana makanan boleh tercemar di mana- mana tahap sepanjang rantai makanan," kata SFA.
Ia menekankan sementara agensi tersebut terus berwaspada dan berusaha untuk memastikan langkah-langkah kawal selia dilaksanakan, pihak industri dan pengguna juga harus memainkan peranan.
"Semua pengendali makanan harus memastikan bahawa premis mereka bersih dan dijaga dengan baik, dan kakitangan dilatih dengan secukupnya mengenai pengurusan keselamatan makanan yang betul," tambah SFA.
Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan atau syarat kebersihan makanan dan keselamatan makanan.
Pesalah boleh dikenakan denda hingga S$10,000, hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya.
Orang ramai yang menemui amalan kebersihan yang lemah di tempat makan juga dinasihati supaya tidak melangganinya. Mereka juga boleh memberi maklum balas melalui borang maklum balas online SFA di www.sfa.gov.sg/feedback atau menghubungi 6805 2871.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.