Skip to main content

Singapura

Kilang di Tuas berang; bas pelancong hadang trafik, sampah merata

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Terletak hanya lima minit dari pusat pemeriksaan Tuas, sebatang jalan dengan deretan kilang menjadi tempat pertukaran bas tidak rasmi bagi bas persiaran yang menawarkan khidmat antara Singapura dan Malaysia.

Setiap jam, bas pelacong dari Malaysia tiba di Tuas Link 2 dengan puluhan pelancong, kemudian bertukar bas untuk membawa mereka masuk ke kawasan lain di Singapura.

Keadaan sesak dan sering kali kecoh itu menjejas perniagaan di kawasan tersebut. Kehadiran bas berkenaan juga menghalang pergerakan kenderaan lain, menyekat pintu masuk ke kilang dan diletak menentang arus trafik.

Memburukkan lagi keadaan, pelancong membuang sampah merata-rata dan menceroboh kawasan kilang untuk menggunakan tandas.

Beberapa pelancong bahkan juga membuang air kecil dan besar di kawasan terbuka, kongsi beberapa perniagaan kepada Mediacorp.

Pengarah Urusan Steeltech Industries Tonie Ong berkata, bas tersebut turut sering menghalang keseluruhan jalan.
 
(Gambar: Tonie Ong)
Syarikatnya di 14 dan 16 Tuas Link 2 sudah lebih sedekad berniaga di sana, namun masalahtersebut semakin buruk menjelang hujung tahun lalu. Kini, Encik Ong menganggarkan sehingga 60 bas berada di kawasan itu setiap hari.

Pada mulanya, Encik Ong membenarkan pelancong untuk menggunakan tandas di kilangnya, namun sebahagian daripada mereka mula berlegar-legar di perkarangan kilangnya itu. Encik Ong terpaksa berhenti membenarkan mereka menggunakan tandasnya atas sebab keselamatan.

Dalam satu kejadian, seorang wanita masuk ke dalam kilangnya pada awal pagi dan apabila tidak menemui tandas, "dia mencangkung dan membuang air kecil", kata Encik Ong, yang terserempak wanita itu di koridor pejabatnya.

Pekerja di Mastergrip Adhesives, kilang di sebelah Steeltech, juga menemui najis manusia di kawasan rumput berhampiran pagarnya, kata pengarah syarikat itu Tommy Ong.

BAS TIDAK BERGERAK, PELANCONG TINGGALKAN SAMPAH

Di seberang jalan, pula kilang kimia EMK Technologies, yang berpindah ke Tuas Link 2 pada 2021, menutup pagarnya untuk menghalang pelancong masuk. Namun, tindakan itu tidak menghalang daripada cuba menolak pagar tersebut.

Pengarah perniagaan syarikat itu Terry Yap berkata, sehingga sembilan bas pelancong ada di jalan itu pada satu-satu masa.

Ketika Mediacorp pergi ke Tuas Link 2 sebanyak dua kali bulan lalu, tiga hingga empat bas dilihat diletakkan di tepi jalan. Ada yang menunggu lebih setengah jam untuk menjemput pelancong, manakala bas lain menurunkan dan menjemput pelancong dalam beberapa minit.

Bas yang menurunkan penumpang mempunyai nombor plat Malaysia, manakala bas yang mengambil penumpang mempunyai nombor plat Singapura.
(Gambar: EMK Technologies, Tonie Ong)
Pelancong dan pemandu bas juga dilihat meninggalkan kotak kadbod dan styrofoam, beg plastik dan botol di kawasan rumput.

PEMANDU BAS SEDAR TENTANG ADUAN

Pemandu bas yang ditemui berkata mereka hanya mematuhi arahan daripada agensi pelancongan mereka. Mereka bagaimanapun enggan dikenal pasti kerana takut ia akan menjejas kerja mereka. Namun, berkata mereka tahu tentang aduan terhadap mereka.

Menurut mereka kebanyakan pelancong yang dibawa adalah dari China, yang melawat Singapura sebelum ke Malaysia.

"Tiada tempat lain untuk kami letak bas. Kami sudah lakukan ini lebih 10 tahun," kata seorang pemandu bas dalam bahasa Mandarin.

Pemandu bas dari Malaysia pula berkata mereka tidak dibenarkan menghantar penumpang langsung ke lapangan terbang, dan pelancong tidak boleh terbang keluar dari Johor Bahru disebabkan penerbangan yang terhad.

Ketika dihubungi Mediacorp, beberapa agensi pelancongan bas Malaysia melahirkan rasa terkejut dan menyatakan mereka tidak sedar tentang aduan tersebut.

Pengendali pelancongan Malaysia Spring Travel Services menyatakan bas pernah menurunkan penumpang berdekatan stesen MRT Tuas Link sebelum ia dibina. Ia kemudian ditukar ke jalan Tuas Link 2 selepas stesen itu siap dan bas tidak lagi boleh berhenti di situ.
 
(Gambar: EMK Technologies, CNA/Koh Wan Ting)

LOKASI SESUAI


Semua bas yang dilihat diletakkan di Tuas Link 2 merupakan milik agensi pelancongan berlesen dengan Lembaga Pelancongan Singapura.

Seorang pengarah syarikat pengendali bas, Cik Summer Neo, berkata pemindahan penumpang pernah dilakukan di pusat pertukaran bas Tuas, namunia tidak dibenarkan lagi selepas kawasan tersebut menjadi sesak.

Ketika ditanya mengapa Tuas Link 2 dipilih, Cik Neo berkata ia "mudah" dan pemandu bas tidak mengadu tentang kawasan itu.

KILANG MINTA BANTUAN

Pengarah urusan Steeltech Industries, Encik Ong menunjukkan Mediacorp emelnya kepada pihak berkuasa dan tangkapan skrin tiket yang dihantar ke OneService, iaitu aplikasi pemerintah yang mengumpul maklum balas tentang isu perbandaran, atas arahan pegawai agensi.

Selepas membuat aduan, seorang warden trafik datang ke kawasan tersebut untuk memeriksa pelanggaran tempat letak kereta. Tetapi pemandu bas akan meninggalkan tempat itu sebaik sahaja mereka melihat warden datang dan akan kembali semula kemudian, kata Encik Ong.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberitahu Mediacorp bahawa ia akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak mematuhi peraturan.

LTA juga merancang untuk melibatkan pengusaha pelancongan tempatan berhubung situasi itu.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita