Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KidSTART diperluas, sokong lebih ramai kanak-kanak keluarga bergaji rendah

Program KidSTART yang membantu kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah akan diperluas ke tiga kawasan lain, demikian diumumkan Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling pada Jumaat (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
KidSTART diperluas, sokong lebih ramai kanak-kanak keluarga bergaji rendah

(Gambar fail: MCI)

Diterbitkan : 05 Mar 2021 10:19PM Dikemas Kini : 05 Mar 2021 10:22PM

SINGAPURA: Program KidSTART yang membantu kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah akan diperluas ke tiga kawasan lain, demikian diumumkan Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling pada Jumaat (5 Mac).

Ia sekarang akan merangkumi Choa Chu Kang, Bukit Panjang dan Bukit Batok.

KidStart, yang dilancarkan pada 2016, menyediakan sokongan tambahan kepada kanak-kanak berusia sehingga enam tahun dari keluarga berpendapatan rendah.

Program tersebut pertama kali dirintis di Kreta Ayer, Bukit Merah, Taman Jurong, Boon Lay dan Geylang Serai, yang memberi manfaat kepada lebih 1,000 kanak-kanak di kawasan-kawasan itu, kata Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA).

Ia kemudian diperluas ke Woodlands dan Bedok, dengan ECDA mengumumkan tahun lalu bahawa KidSTART juga akan diperkenalkan di Ang Mo Kio, Sembawang dan Yishun pada 2021.

Untuk menyokong program yang diperluaskan itu, sebuah pejabat khas KidSTART Singapore dibentuk yang akan bekerjasama dengan agensi khidmat sosial utama di setiap kawasan.

LEBIH BANYAK LATIHAN BAHASA IBUNDA UNTUK PENDIDIK

Cik Sun juga mengumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya bahawa ECDA dan Institut Nasional bagi Pembangunan Awal Kanak-kanak akan memperkenalkan kursus pengajaran bahasa Cina pada hujung tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong perkembangan profesional pendidik.

Para pendidik akan diajar kemahiran berbahasa Cina dan pengetahuan mengenai budaya dan warisan Cina tempatan, dan dilengkapi dengan pedagogi untuk membantu kanak-kanak menikmati pembelajaran bahasa tersebut.

Kursus tidak wajib bagi bahasa Melayu dan Tamil dilancarkan pada 2019, dengan bonus latihan S$2,000 diberikan kepada guru dalam perkhidmatan yang mengambil pengajaran bahasa ibunda dan menamatkan kursus itu.

Sebelum ini, pendidik hanya dapat menerima bonus sekiranya mereka menjalani latihan sebelum 31 Disember 2020. ECDA kini akan memperluas jendela kelayakan untuk pendidik bahasa Melayu dan Tamil sehingga 31 Disember 2022.

Pendidik yang mendaftar bagi sijil baru untuk pengajaran bahasa Cina, dan yang terus mengajar bahasa Cina, juga layak mendapat bonus tersebut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan