Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kian ramai suspek pengganas remaja, wanita; ISD sesuaikan pendekatan bagi pastikan pemulihan lebih berkesan

“Daniel” (bukan nama sebenar) pertama kali disiasat oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada September 2017.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: “Daniel” (bukan nama sebenar) pertama kali disiasat oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada September 2017 setelah remaja yang berusia 15 tahun ketika itu memuat naik beberapa gambar Presiden Halimah Yacob yang dicacati ke lelaman media sosial lalu menggesa ISIS supaya memenggal kepala beliau.

Remaja itu didapati menjadi radikal setelah terpengaruh dengan kumpulan di media sosial yang menyebarkan propaganda yang menyokong dan mengagung-agungkan kumpulan pelampau itu.

Meskipun pelbagai usaha sudah dijalankan untuk membimbingnya, “Daniel” tetap berpegang teguh kepada ajaran ISIS dan akhirnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Januari 2020. Pada usia yang mencecah 17 tahun, dia merupakan tahanan ISA yang paling muda ketika itu.

Namun dalam masa setahun menjalani program pemulihan pengganas di bawah ISD, perubahan pada diri “Daniel” amat ketara. Berkat bantuan guru-guru serta para relawan daripada Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang memastikan “Daniel” dapat meneruskan pelajarannya walaupun dalam tahanan, “Daniel” berjaya meraih empat gred A dan satu gred B bagi peperiksaan peringkat GCE N tahun lalu – perkara yang dia sendiri mengakui bahawa keputusan yang memberangsangkan itu tidak mungkin tercapai sekiranya dia tidak ditahan.

“Daniel” juga kini lebih terbuka untuk menerima kaunseling keagamaan dan dari segi psikologi pula, dia sedang berusaha untuk membina keyakinan diri serta mempelajari cara-cara untuk berfikir dengan lebih kritis.

Walaupun “Daniel” masih belum dibebaskan, harapan agar “Daniel” dapat mengintegrasikan diri dan kembali ke pangkuan masyarakat pada masa akan datang, kelihatan cerah dan terbentang luas.

Demikianlah antara kajian kes yang dikongsi ISD dalam satu sidang media hari ini (3 Feb). Ia merupakan kali pertama jabatan itu memberikan perincian tentang program pemulihan yang dijalani para suspek pengganas di Singapura sejak program itu dimulakan pada 2002 menyusuli penangkapan beberapa penyokong kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

PENDEKATAN HOLISTIK, BERTERUSAN DAN TERTUMPU

Menerangkan strategi pemulihannya, ISD mengambil pendekatan yang holistik, berterusan dan lebih fokus berdasarkan keperluan setiap kes.

Dari segi pendidikan keagamaan misalnya, semua tahanan dan individu yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) mesti menghadiri sesi kaunseling yang menyampaikan ajaran agama yang sebenar di samping menangkis sebarang ideologi radikal. Para tahanan juga diberi akses kepada khutbah Solat Jumaat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) serta ceramah video atau buku tambahan yang menolak ajaran songsang kumpulan-kumpulan pengganas seperti ISIS.

Sepanjang tempoh mereka berada dalam tahanan malah setelah dibebaskan dengan RO, pakar-pakar psikologi akan terus mendampingi individu-individu ini untuk memantau dan menangani kecenderungan mereka terhadap keganasan dan kebencian. Perkembangan dari segi kognitif dan tingkah laku sering dinilai, dan cara pemikiran yang membawa kepada radikalisasi akan ditangani dengan sewajarnya.

Peranan keluarga dalam proses pemulihan juga dititikberatkan dengan para tahanan dibenarkan bertemu dengan anggota keluarga mereka setiap minggu. Seorang pegawai jagaan susulan akan dipadankan dengan setiap keluarga untuk memberi sokongan yang diperlukan.

Selain itu, para pegawai kes ISD juga kerap berinteraksi dengan para tahanan sebagai sumber sokongan tambahan, di samping memantau proses integrasi mereka dengan masyarakat umum.
“Dari segi pemulihan pengganas, kami lebih maju ke hadapan berbanding beberapa negara lain kerana kami bernasib baik mempunyai masyarakat Muslim yang bersedia untuk bekerjasama dengan pemerintah untuk menangani pengganasan. Sepanjang beberapa tahun yang lalu, kami sentiasa memperhalusi dan mengemas kini pendekatan pemulihan kami seiring dengan amalan terbaik pada peringkat antarabangsa dan mengikuti profil tahanan pengganas yang kian berubah-ubah,” kongsi jurucakap ISD.

PROFIL TAHANAN KIAN BERUBAH: LEBIH RAMAI REMAJA, WANITA

Menurut statistik yang didedahkan, ISD telah mengeluarkan arahan ISA terhadap 129 rakyat Singapura atas kesalahan-kesalahan berkaitan pengganasan sepanjang 19 tahun yang lalu. Seramai 88 daripada mereka dikenakan Perintah Tahanan (DO) manakala 41 lagi dikenakan Arahan Sekatan (RO). Daripada 88 yang ditahan, 68 sudahpun dibebaskan.

Namun trend membimbangkan menunjukkan lebih ramai remaja mudah terjerumus ke dalam kancah radikalisme sejak 2015, dengan tujuh remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan sejauh ini. Ini berbanding antara 2007 hingga 2014, di mana individu termuda yang ditahan berusia 20 tahun.

Hanya seminggu yang lalu (27 Jan), Singapura digemparkan dengan penangkapan seorang remaja berusia 16 tahun yang ditahan kerana merancang untuk menyerang dua masjid dan umat Islam sempena ulang tahun serangan berdarah Christchurch di New Zealand.

Kaum wanita juga tidak terkecuali dengan enam wanita Singapura sudah ditahan di bawah ISA sejak kes pertama pada 2016.

Mengikuti perkembangan itu, ISD menyesuaikan program pemulihannya demi memenuhi keperluan kumpulan tahanan yang lebih rencam.

PENDEKATAN PEMULIHAN BERUBAH BERDASARKAN ANCAMAN

Bagi kes-kes yang melibatkan belia, lebih banyak tumpuan diberikan kepada faktor-faktor bukan ideologi yang menyumbang kepada radikalisasi seperti semangat kekitaan dan identiti diri, kemahiran berfikir secara kritis apabila berdepan dengan retorik radikal secara online selain kekuatan mental untuk menangani cabaran kehidupan.

Sebuah program mentor turut diperkenalkan pada 2016 di mana para pembimbing akan terus mendampingi belia itu setelah dia dibebaskan untuk memberi sokongan sosial dan mengurangkan risiko belia berkenaan terjebak sekali lagi dengan aktiviti-aktiviti berkaitan pengganasan.

Merujuk kepada kes tahanan remaja terkini yang taksub dengan fahaman berhaluan kanan, relawan dan anggota sekretariat RRG Encik Salim Mohamed Nasir berkata RRG bersedia mengongsi pengalamannya.

“Setelah hampir 20 tahun kami di lapangan ini, kami rasakan yang kami boleh berkongsi pengalaman kami dengan mana saja komuniti-komuniti lain yang memerlukan. Saya rasa dengan kejadian tempoh hari mengenai anggota masyarakat kita yang remaja ini yang ditahan, saya percaya yang kami boleh berkongsi cabaran-cabaran yang kami hadapi, kami boleh kongsi kejayaan-kejayaan kami dan ia boleh dijadikan sebagai satu contoh untuk digunakan oleh sesiapa sahaja yang mahukannya. Dan kami rela untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mahu menyelesaikan masalah ini”. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan