Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kian ramai sukarelawan Melayu/Islam tampil sebar mesej Dadah Itu Haram

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam memuji pelibatan yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam untuk menyebarkan mesej antidadah menerusi kempen Dadah itu Haram.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam memuji pelibatan yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam untuk menyebarkan mesej antidadah menerusi kempen Dadah itu Haram.

Namun, tegas beliau, usaha memerangi najis dadah perlu terus dipergiatkan, lebih-lebih lagi sedang jumlah pesalah dadah Melayu yang ditangkap naik hampir 10 peratus pada tahun lalu.

Encik Shanmugam menyertai Setiausaha Parlimen Kanan Amrin Amin dalam satu majlis makan tengah hari bagi meraikan 90 sukarelawan kempen Dadah Itu Haram, hari ini (9 Mac).

Encik Shanmugam menekankan bahawa mesej Dadah Itu Haram amat penting kerana ia bukan sahaja menjejas individu-individu yang menyalahgunakan dadah, malah seluruh anggota keluarga dan generasi-generasi seterusnya.

Sejak dilancarkan pada April 2017, kempen Dadah Itu Haram sudah berjaya memikat lebih 300 sukarelawan dan 300 pertubuhan serta perniagaan untuk sama-sama menyebarkan mesej antidadah.

Usaha-usaha mereka juga sejauh ini sudah sudahpun mendampingi hampir 100,000 anggota masyarakat. Encik Shanmugam turut mengucapkan terima kasih kepada dua selebriti kelahiran Singapura, Aaron Aziz dan Sufi Rashid kerana sama-sama membantu menyebarkan mesej antidadah bagi kempen tersebut.

Sekalipun demikian, pelibatan dan sokongan para sukarelawan dalam kempen ini semakin genting sedang jumlah pesalah dadah yang ditangkap tahun lalu meningkat kepada lebih 1,700 orang.

"Gerakan ini telah menerima sambutan yang baik. Tetapi ada banyak yang perlu kita lakukan. Kita lihat angka yang mengambil dadah tahun lepas agak meningkat terutama bagi masyarakat kita.

"Jadi bayangkan jika kita tidak ada kempen seperti ini, jika kita tidak mengambil tindakan yang tegas, jika kita tidak memujuk, memberitahu dan memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan. Situasinya mungkin lebih buruk," kata Encik Amrin.

Encik Amrin mendedahkan bahawa tahun ini, program-program di bawah kempen Dadah Itu Haram akan diperluaskan lagi.

Antara lain, ia akan lebih tertumpu kepada program-program mendampingi keluarga selain terus menajamkan kemahiran para asatizah dalam menyebarkan mesej antidadah serta membimbing pesalah dadah.

Konsert rock di bawah kempen Dadah Itu Haram juga akan diperluaskan, dengan yang pertama bagi tahun ini dijadual diadakan pada hujung bulan Mac ini.

Hakikatnya, untuk menyebarkan mesej Dadah Itu Haram bukanlah sentiasa mudah.

Seperti yang dilalui oleh tukang gunting, Encik Giman Kairoman, yang mengedarkan risalah Dadah Itu Haram kepada para pelanggannya.

"Satu masalah bila kita nak kasi pelanggan, ada pelanggan bangsa asing, tengok ini dia tak nak. Ada yang nak, ada yang bising. 'Eh saya datang sini untuk gunting rambut bukan untuk diberi ceramah'. Ini semua kita cuba yang terbaik untuk menyelesaikan. Masalah ini dari dulu sampai sekarang tak selesai selesai, insya-Allah kita sama-sama bekerjasama," cerita Encik Giman kepada BERITAmediacorp.

Bagi seorang Mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Jefnilham Jamaludin, beliau bukan sahaja menyumbang masa dan tenaga seorang diri bagi kempen tersebut.

Malah, beliau turut menggembleng tenaga rakan-rakan sebayanya untuk mendampingi pesalah dadah kali pertama dalam kalangan remaja.

Encik Jefnilham, merupakan Pengarah Projek Paradigma, iaitu sebuah program bagi mendampingi pesalah dadah dalam kalangan remaja menerusi pelbagai kegiatan.

Ini termasuk sesi perbincangan dan program yang dapat mengeratkan semula hubungan antara pesalah dadah dengan keluarga mereka, khususnya ibu bapa.

"Sebagai anak Melayu Singapura, saya amat terkesan bila dapat tahu yang orang Melayu kita yang paling terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Sebab itulah saya rasa itu sebagai tanggungjawab untuk kami, bukan saja saya, sebagai sebuah masyarakat untuk lagi melibatkan diri dalam kempen Dadah Itu Haram," kata Encik Jefnilham, 24 tahun.

(Gambar: PARADIGMA/NUS)

(Gambar: PARADIGMA/NUS)

Beliau menyifatkan pengalamannya itu sebagai pembuka mata dan menyeru agar lebih ramai belia dan masyarakat Melayu/Islam Singapura amnya tampil menjadi sukarelawan.

"Tolonglah, tolonglah cuba berusaha untuk menjadi sukarelawan untuk kami semua kerana kalau bukan kita, siapa? Kita perlu lagi meningkatkan status Melayu kita di Singapura ini," rayu beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan