Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kian ramai pesakit di SG, termasuk belia, dapatkan ubat antikemurungan

Kementerian Kesihatan (MOH) mendedahkan sekitar 53,000 pesakit diberi ubat antikemurungan "selective serotonin reuptake inhibitors" atau SSRI.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mendedahkan sekitar 53,000 pesakit diberi ubat antikemurungan "selective serotonin reuptake inhibitors" atau SSRI.

Perangkaan itu dicatat pada tahun 2022 mahupun 2023, melepasi purata 50,000 pesakit setahun sepanjang tempoh antara 2017 dengan 2021.

SSRI wujud sejak lewat 1980-an dan merupakan ubat antikemurungan paling lazim diberikan kepada pesakit. Pada dasarnya, ia membolehkan pesakit mengawal perasaan dengan meningkatkan paras serotonin dalam otak.

SSRI boleh digunakan untuk merawat kemurungan dan beberapa penyakit mental lain seperti keresahan dan kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).

LEBIH RAMAI BELIA DAPATKAN SSRI

Secara keseluruhan, preskripsi bagi SSRI meningkat pada "kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 5 peratus" antara 2018 dengan 2022, tambah MOH.

Ini bersamaan dengan kenaikan sekurang-kurangnya 20 peratus dalam tempoh tersebut.

Sekalipun 2023 menyaksikan penyusutan 3.8 peratus dalam semua preskripsi SSRI, beberapa doktor keluarga (GP) dan klinik pakar memberitahu Mediacorp bahawa mereka melihat lebih ramai anak muda mendapatkan bantuan bagi masalah kesihatan mental seperti kemurungan, sejak terjadinya pandemik COVID-19.

Jika tumpuan diberikan kepada usia pesakit yang diberi SSRI, kadar belia berusia antara 18 dengan 24 tahun terus-menerus meningkat - daripada 11.2 peratus pada 2017, kepada 15.5 peratus pada 2021, sebelum menyusut kepada 14 peratus pada tahun lalu.

Kenaikan dalam preskripsi ubat antikemurungan secara keseluruhan, sememangnya satu perkara yang dijangkakan atas beberapa sebab, kata pakar-pakar.

Antaranya, penyakit mental tidak lagi sering dipandang serong dalam masyarakat.

Pengarah perubatan di Private Space Medical, Dr Victor Kwok, berkongsi beliau melihat "kian ramai" anak muda ke klinik atas inisiatif sendiri selepas pandemik. Mereka semuanya, tambah beliau, biasanya sangat sedar tentang apa yang sedang dialami.

"Pesakit-pesakit muda ini dapat mengenal pasti gejala yang dialami dengan lebih baik, menganalisis sebab-sebab yang boleh membuat mereka bertindak secara tidak wajar. Mereka juga sangat berhati-hati dengan kata-kata yang digunakan - seakan-akan ahli terapi," ujarnya.

BAHAYA SSRI

Bertambahnya jumlah doktor keluarga yang arif dalam bidang kesihatan mental juga dikenal pasti sebagai salah satu faktor preskripsi ubat antikemurungan meningkat.

Doktor keluarga semakin yakin apabila mendiagnosis gangguan kesihatan mental, kata konsultan emeritus di Hospital Universiti Nasional (NUH) Dr Kua Ee Heok.

Buat masa ini, hampir 480 doktor keluarga telah menjalani latihan di bawah Program Perkongsian Kesihatan Mental GP untuk mengenal pasti, mendiagnosis dan menguruskan pelbagai isu kesihatan mental rumit dalam masyarakat, menurut MOH dalam responsnya terhadap pertanyaan daripada Mediacorp.

Sekalipun ubat antikemurungan tidak akan membuat pesakit ketagih, ia boleh menyebabkan seseorang mengalami kesan psikologi dan fizikal jika dosnya dikurangkan atau beliau sama sekali tidak diberikan ubat itu lagi, kata pakar-pakar jagaan kesihatan.

Dr Kua menegaskan bahawa masalah pesakit terlalu bergantung kepada ubat antikemurungan ini satu kebimbangan yang wajar.

Beliau lantas menggesa agar ubat antikemurungan hanya diberikan jika perlu di mana doktor yang merawat pesakit turut memberikan perhatian kepada pendekatan lain yang tidak melibatkan penggunaan ubat.

"Saya rasa sebilangan pesakit menyedari mereka asyik mahu mengambil ubat antikemurungan sebaik sahaja diberikan ubat itu. Jadi ia menjadi satu kebergantungan psikologi, dan bukannya farmakologi."
Sumber : CNA/AQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan