Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kian ramai pelajar Melayu/Islam teroka bidang baru bernilai tinggi ekonomi pada masa depan

Bidang-bidang yang dimaksudkan itu termasuk kajian barah dan onkologi jitu, kesihatan penduduk, bantuan dan pembangunan antarabangsa serta kejuruteraan prasarana berdaya mampan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah penerima dermasiswa Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) tahun ini, yang melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang yang kurang diwakili anak-anak Melayu/Islam, naik dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Bidang-bidang yang dimaksudkan itu termasuk kajian barah dan onkologi jitu, kesihatan penduduk, bantuan dan pembangunan antarabangsa serta kejuruteraan prasarana berdaya mampan.

Trend ini disifatkan sebagai sesuatu yang baik sebagai mempersiap masyarakat Melayu/Islam untuk berdepan cabaran-cabaran baru dalam tempoh 10 tahun mendatang.

Tahun ini, seramai 563 pelajar menerima dermasiswa LBKM bernilai $1.1 juta. Ini meskipun dalam keadaan tidak menentu dalam tempoh 10 bulan lalu dek cabaran pandemik COVID-19.

Tidak seperti tahun lalu di mana acara pengagihan kepada ratusan pelajar dijalankan dalam satu majlis penuh gah dengan kehadiran ratusan orang, tahun ini buat pertama kalinya, wang dermasiswa disalurkan secara langsung ke dalam akaun para penerimanya.

Satu majlis online diadakan malam semalam (23 Dis), di mana video-video rakaman segelintir penerima dermasiswa mengucapkan terima kasih ditayangkan.

Dalam ucapannya, Presiden LBKM, Suhaimi Salleh berkata LBKM menyaksikan lebih banyak permohonan daripada para pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang-bidang yang lebih pelbagai.

Daripada lebih 500 pelajar yang menerima dermasiswa mereka semalam, 21 merupakan mereka yang menyambung pendidikan dalam bidang-bidang yang jarang diteroka pelajar Melayu/Islam.

Ini berbanding hanya 10 penerima dermasiswa yang berbuat sedemikian pada tahun lalu.

LBKM menyambut baik perkembangan ini dan mahu menyokong serta menggalak lebih ramai anak Melayu/Islam supaya melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang yang tinggi nilainya pada masa hadapan, bukan bidang-bidang pengajian biasa.

Maka itu LBKM kini menyusun strategi baru.

"Jika kita tidak dapat bergerak cepat dalam menghadapi trend baru dan bersedia untuk menghadapi cabaran serta isu-isu yang mungkin timbul pada masa hadapan, masyarakat kita mungkin akan terus ketinggalan ke belakang.

"Oleh itu saya rasa penting untuk kita mula membina keupayaan masa depan masyarakat kita dengan menggalakkan para pelajar kita untuk meneroka bidang-bidang pengajian yang baru ataupun bidang yang mungkin kurang diwakili masyarakat kita, sesuai dengan keperluan ekonomi masa depan," kata Encik Suhaimi.

Petikan gambar dari video.

Encik Suhaimi berharap dengan adanya pelibatan para pelajar Melayu/Islam dalam bidang-bidang baru, ia akan memberi sumbangan yang baik kepada ekonomi masa depan negara sekali gus mewakili masyarakat Melayu/Islam dalam industri-industri yang jarang ditembusi itu.

NURAMALINA MAHU BANTU PESAKIT BARAH MENERUSI KAJIAN

Antara bidang yang dimaksudkan adalah kajian barah dan onkologi jitu - jurusan yang sedang diikuti salah seorang penerima dermasiswa LBKM, Siti Nuramalina Mohd Noor.

Dia sebelum ini mengambil kursus diploma dalam bidang sains farmaseutikal di Politeknik Republik dan kemudian menggenggam segulung ijazah dari Universiti Murdoch dalam bidang Sains Bioperubatan.

Nuramalina (tengah) bersama ibu bapanya. (Gambar: Nuramalina Mohd Noor)

Nuramalina (tengah) bersama ibu bapanya. (Gambar: Nuramalina Mohd Noor)

Minatnya dalam bidang kajian barah timbul setelah menjalani latihan amali di Pusat Barah Singapura semasa menuntut di politeknik.

"Di situlah di mana minat saya terhadap kajian barah lebih mendalam. Oleh itu selepas saya menerima diploma saya, saya memutuskan untuk menyambung pelajaran di Universiti Murdoch dalam bidang Sains Bioperubatan.

"Dan ketika saya berada di sana saya diberikan peluang untuk mengambil salah satu kursus iaitu kajian lanjut perubatan barah di mana di situ saya diberikan peluang untuk mempelajari pelbagai faktor yang menyebabkan barah," kongsi Nuramalina kepada BERITAmediacorp.

Nuramalina (depan, kiri) bersama keluarga. (Gambar: Nuramalina Mohd Noor)

Nuramalina (depan, kiri) bersama keluarga. (Gambar: Nuramalina Mohd Noor)

Oleh kerana minat yang mendalam itu, Nuramalina kini menyambung pengajian peringkat possiswazah dalam bidang kajian barah dan onkologi jitu di Universiti Glasgow, Scotland. Namun buat masa ini dia mengikuti kursus-kursus secara online kerana belum dapat ke Scotland disebabkan perkembangan COVID-19 yang kurang baik di UK.

Siswazah berusia 25 tahun itu percaya bahawa setiap penyakit ada penawarnya. Maka itu, Nuramalina berharap untuk menyumbang kembali kepada masyarakat selepas tamat pengajiannya nanti dan berharap untuk menjadi seorang saintis yang dapat membantu para pesakit barah menerusi penemuan-penemuan baru dalam kajan perubatan.

"Terima kasih kepada LBKM saya selangkah lebih dekat untuk mencapai matlamat pendidikan dan kerjaya saya. Saya berharap dengan pertolongan LBKM suatu hari nanti saya dapat menolong pelajar-pelajar Melayu di Singapura untuk mencapai matlamat dan cita-cita mereka.

"Tanpa sokongan ibu bapa dan LBKM saya tidak akan berada di sini hari ini untuk melanjutkan pengajian saya dalam bidang kajian barah," kata Nuramalina. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan