Kian ramai orang muda buat perancangan akhir hayat
(Gambar hiasan: Rodnae Productions/Pexels)
SINGAPURA: Keperluan pada saat-saat akhir hayat memang jarang dibicarakan apatah lagi isu kematian seolah-olah satu tabu dalam masyarakat Asia Tenggara, termasuk Singapura.
Namun tahukah anda, terdapat beberapa penyedia jagaan kesihatan yang menyediakan khidmat perancangan bagi masa-masa seperti itu? Sata CommHealth umpamanya, menawarkan khidmat perancangan tersebut. Badan amal itu juga membantu memproses permohonan Surat Kuasa Berkekalan (LPA).
Khidmat perancangan itu melibatkan satu siri perbincangan di mana seseorang individu boleh berkongsi antara keperluan yang ingin dipenuhi sekiranya mereka tidak dapat berbuat keputusan sedemikian pada masa akan datang.
LPA pula merujuk kepada satu dokumen sah yang membolehkan individu berkenaan melantik sekurang-kurangnya satu orang dewasa berusia 21 tahun dan ke atas untuk membantunya membuat pilihan dalam urusan kebajikan, harta pusaka dan sebagainya, sekiranya beliau hilang keupayaan mental kelak.
Menariknya, golongan muda kian menunjukkan keinginan untuk mendapatkan khidmat seperti ini.
Sata CommHealth menyatakan, permintaan dalam kalangan individu berusia 50 tahun dan ke bawah bagi khidmatnya itu, menjulang dari enam individu tahun lalu kepada sekitar 49 orang tahun ini.
Jumlah individu berusia lebih 50 tahun yang mendaftar juga naik dari 147 pada 2020 kepada 380 pada 2021.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) juga mendedahkan bahawa ia turut menyaksikan jumlah pendaftaran bagi LPA meningkat dengan begitu ketara pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama pada 2020 dan 2019.
Terdapat sekitar 21,000 pendaftaran bagi LPA pada enam bulan pertama 2021.
Ini satu lonjakan 202 peratus jika dibandingkan dengan 7,000 permohonan yang diterima pada separuh pertama 2020. Jumlah ini juga 93 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang dicatatkan pada separuh pertama 2019.
Golongan muda berusia bawah 50 tahun membentuk sekitar 23 peratus mereka yang mendaftar bagi LPA antara 2019 hingga Jun 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.