Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kian ramai berpendapat isu perkauman masalah penting di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Kian ramai berpendapat isu perkauman masalah penting di S'pura

Orang ramai memakai pelitup di Orchard di Singapura pada 5 Jan 2022. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Semakin ramai orang bertanggapan bahawa perkauman kekal sebagai satu masalah penting walaupun sebahagian besar percaya semua orang di Singapura boleh menjadi kaya atau berjaya tanpa mengira kaum mereka.

Demikian menurut tinjauan mengenai hubungan kaum yang dijalankan oleh CNA dan Institut Kajian Dasar (IPS) .

Lebih separuh daripada responden (56.2 peratus) tinjauan itu merasakan rasisme adalah satu masalah penting, yang merupakan satu peningkatan berbanding tinjauan CNA-IPS lalu yang dijalankan pada 2016 (46.3 peratus).

Sungguhpun demikian, sebahagian besar responden percaya bahawa meritokrasi tidak bergantung kepada kaum, dengan lebih 80 peratus responden bersetuju bahawa setiap orang boleh menjadi kaya atau berjaya tanpa mengira kaum mereka. Ini konsisten dengan dapatan daripada tinjauan pada 2016.

Dijalankan pada tahun lalu, tinjauan CNA-IPS yang kedua mengenai hubungan kaum meninjau lebih 2,000 penduduk Singapura berusia 21 tahun dan ke atas.

Komposisi kaum dan jenis rumah yang didiami mereka mencerminkan penduduk Singapura. Namun, kira-kira lagi 350 responden Melayu dan India turut ditinjau supaya pandangan mereka dapat digambarkan dengan betul.

Dalam laporan setebal 240 muka surat itu, para penyelidik menarik perhatian mereka yang berpendapat bahawa rasisme adalah satu masalah penting lebih cenderung kepada responden yang berusia bawah 50 tahun dan mempunyai tahap pendidikan melepasi peringkat sekolah menengah.

Meskipun kebanyakan responden (88.8 peratus) berkata ia adalah penting bagi para pemimpin politik untuk berbincang secara terbuka tentang perkauman, lebih separuh (58.6 peratus) juga berpendapat bahawa wacana awam boleh mencetuskan ketegangan yang tidak perlu.

Mereka mungkin merasakan bahawa pemimpin politik yang menerajui perbincangan sedemikian boleh mengelakkan beberapa ketegangan yang berkemungkinan berlaku, menurut laporan itu.

Ia menarik perhatian responden Cina (54.9 peratus) sedikit lebih berkemungkinan merasakan etnik minoriti menjadi terlalu sensitif dalam perbincangan berhubung kaum berbanding responden India (42.7 peratus) dan responden Melayu (47.8 peratus).

Tinjauan itu juga mendapati responden terbahagi sama rata tentang sama ada terdapat hak istimewa bagi kaum majoriti di Singapura, dengan 53.9 peratus daripada mereka merasakan menjadi anggota sesebuah kaum majoriti adalah satu kelebihan. Ini setanding dengan dapatan daripada tinjauan pada 2016 di mana 52.7 peratus responden turut merasakan sedemikian.

Mereka yang berusia antara 12 hingga 35 tahun, terutama responden-responden Melayu dan India, secara amnya lebih berkemungkinan merasakan bahawa hak istimewa kaum majoriti wujud.

Dari segi budaya mana yang dirasakan mempunyai lebih banyak hak istimewa, kebanyakan responden (70.2 peratus) berkata mereka tidak percaya bahawa budaya kaum majoriti adalah satu hak istimewa. Bagaimanapun, etnik minoriti lebih berkemungkinan merasakan bahawa yang sebaliknya adalah benar.

Berbanding dengan responden Cina, mereka juga lebih berkemungkinan bertanggapan bahawa orang Cina boleh menjalani kehidupan mereka tanpa mempunyai banyak pengetahuan tentang budaya kaum minoriti.

Sekitar tiga suku daripada responden berkata mereka tidak percaya bahawa mana-mana kaum bertindak terlalu menuntut dalam gesaannya bagi hak kebudayaan dan berasa keperluan semua kaum seharusnya diberikan keutamaan yang sama rata.

Tinjauan itu juga mendapati "hanya sebahagian kecil" responden berdepan diskriminasi perkauman di tempat kerja (kurang 9 peratus) dan dalam pasaran perumahan (3 peratus), dengan etnik minoriti lebih terjejas berbanding kaum Cina.

Sebagai tindak balas terhadap layan tidak adil dan bersifat diskriminasi itu, para responden berasa kecewa, pasrah atau marah, menurut tinjauan tersebut.

Lebih 40 peratus responden berkata mereka tidak terjejas oleh insiden berkaitan kaum yang dipaparkan dalam berita. Para penyelidik menarik perhatian "tahap sikap tidak peduli yang sederhana" terhadap insiden seumpama itu terutama sekali dalam kalangan responden lebih berumur.

Responden - terutama sekali daripada kaum minoriti dan golongan lebih muda - secara amnya bersetuju tentang tindakan membuat aduan polis selepas berdepan dengan rasisme manakala responden lebih berumur cenderung bersikap lebih bercampur-campur mengenai hal ini.

Sungguhpun begitu, tinjauan tersebut mendapati para responden kurang berkemungkinan untuk menegur rasisme dalam apa cara sekalipun dan mereka terutamanya tidak bersetuju dengan perbuatan doxxing.

Kurang separuh daripada kesemua responden yang ditinjau bersetuju bahawa orang ramai patut mengutuk secara langsung individu yang membuat ucapan berbaur perkauman atau melakukan tindakan rasis mahupun menulis catatan untuk menegur insiden rasis yang diperhatikan atau dialami sendiri.

Sebab-sebab utama untuk tidak menyentuh tentang perkauman termasuk ketidakpastian tentang konteks di sebalik tindakan yang disaksikan atau berasa bahawa ia adalah satu masalah antara pihak-pihak yang terlibat saja.

Sementara itu, kebanyakan responden berkata ia akan memberi manfaat buat kaum minoriti sekiranya anggota masyarakat daripada kaum majoriti mempelajari tentang sambutan kebudayaan mereka dan bersimpati terhadap mereka yang mengalami diskriminasi.

Bagaimanapun, lebih separuh responden (57.6 peratus) - terutamanya responden lebih berusia - berkata mereka sudah bosan bercakap tentang isu kaum dan perkauman. Manakala mereka yang menantikan lebih banyak dialog awam berkemungkinan besar adalah responden yang lebih berpendidikan tinggi serta juga daripada kaum minoriti.

Sekalipun ramai yang acuh tak acuh tentang potensi perkembangan isu berkaitan dengan kaum di Singapura pada masa akan datang, pemahaman silang budaya tetap dinilai sebagai perkara penting dalam kalangan responden, dengan 62.9 peratus daripada mereka berkata bahawa perihal ini adalah "baik" atau "sangat baik".

Bagaimanapun, terdapat sentimen bercampur-campur tentang mengurangkan sensitiviti dalam wacana melibatkan isu perkauman. Sekitar separuh daripada responden berpendapat langkah itu adalah "baik" atau "sangat baik" manakala sebahagian besar daripada baki responden berasa ia tidak akan membuat sebarang perbezaan.

Ramai responden menyokong langkah menghargai latar belakang kaum dan budaya yang lebih rencam tetapi tidak selesa jika kategori CMIO (Cina, Melayu, India dan Lain-Lain) oleh Pemerintah digugurkan daripada dokumen pengenalan diri.

Sumber : CNA/FZ/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan