Skip to main content

Singapura

Khutbah Ustaz Ahmad Sonhadji dekad 1970-an sudah bincang isu emansipasi wanita, ekonomi

 Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha ketika diwawancara tentang kajian tesisnya yang berjudul “Pemikiran Sosio-Agama Ahmad Sonhadji Mohamad Melalui Khutbah 1971-1980”.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: “Agamawan kita dahulu juga membincangkan dan mengkedepankan isu-isu sosial seperti isu wanita, ekonomi dan pendidikan. Saya ingin memecahkan stereotaip. Bahawa golongan asatizah kita tidak terkebelakang dalam hal-hal ini.”

Begitu hujah Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha ketika diwawancara tentang kajian tesisnya yang berjudul “Pemikiran Sosio-Agama Ahmad Sonhadji Mohamad Melalui Khutbah 1971-1980”.

Ustaz Dr Qusairy adalah Ketua Darul Quran Singapura di Masjid Kampung Siglap. Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kajian tesisnya menyelidik tentang pemikiran seorang tokoh agama terkemuka Singapura, Ustaz Ahmad Sonhadji, dan kaitannya terhadap isu-isu sosio-agama.

Siapakah Ustaz Ahmad Sonhadji? Mengapakah pemikiran beliau penting untuk dikaji semula? Bagaimanakah kesan ilmiah yang dibawanya itu masih relevan dalam konteks hari ini?


Namun Ustaz Dr Qusairy berkongsi, menjangkaui peranannya sebagai seorang ahli tafsir, Ustaz Ahmad Sonhadji juga layak digelar sebagai seorang pengkritik masyarakat yang setanding dengan para gergasi intelektual lain pada zamannya itu, seperti Prof Syed Hussein Alatas.


Manakan tidak, dakwah Ustaz Ahmad Sonhadji - menerusi penulisan, khutbah, serta ceramah di masjid mahupun radio - mengandungi pelbagai mesej yang dikaitkan dengan keadaan masyarakat daripada lewat tahun-tahun 1950-an hingga ke 1980-an.

“Daripada tafsirnya itu kita dapati beliau banyak menyentuh isu-isu agama masyarakat Islam Singapura sebagai contoh, jadi dari isu-isu yang saya dapati beliau sentuh dengan komprehensif adalah tentang wanita.

“Contohnya pendidikan wanita, nasib wanita kemudian pendidikan anak-anak perempuan. Ini adalah isu-isu yang disentuh oleh reformis sosial pada waktu itu selain daripada mungkin Syed Hussein Alatas dan Sheikh Fadhlullah Suhaimi,” tekan beliau.

Isu-isu tentang integriti, jurang sosial dalam masyarakat dan isu rasuah juga disentuh dalam khutbah-khutbah Ustaz Sonhadji, terang Dr Qusairy.

Ustaz Dr Qusairy berkongsi, Ustaz Ahmad Sonhadji amat menitikberatkan soal kebajikan seorang wanita dalam banyak perkara, baik dari segi pendidikan, ekonomi, dan taraf mereka sebagai seorang wanita. Pada konteks zaman Ustaz Ahmad Sonhadji, ramai wanita tidak berpendidikan tinggi, lantas peranan mereka itu lebih tercenderung dan terikat untuk menjaga anak, kata Ustaz Dr Qusairy.

“Jadi saya kira perlu ditingkatkan kembali, saya rasa lebih segar dalam suasana ekonomi dan masalah isu gender dan memberikan kredit yang sepatutnya,” tekannya lagi.

Ustaz Dr Qusairy juga berkongsi terdapat banyak karya Ustaz Ahmad Sonhadji yang tidak mendapat perhatian serius. Antaranya termasuklah koleksi khutbahnya sebanyak 112 naskhah. Manuskrip itu menurut Ustaz Qusairy “belum terusik”. Ia berada dalam simpanan Arkib Perpustakaan Negara Singapura (NLB) dan simpanan ahli keluarga Allahyarham.

“Ustaz Sonhadji menulis ribuan muka surat. Contohnya tafsirnya lebih daripada 4,000 muka surat, khutbahnya lebih daripada 1,000 muka surat. Kalau kita cantumkan ada lagi 50 karya beliau yang kita diterbitkan. Jadi kalau ini tidak dipanggil wacana, apakah istilah yang boleh kita gantikan untuk menggambarkan?” hujah Ustaz Dr Qusairy.

Tesis beliau akan diterbitkan sebagai sebuah naskhah oleh PERGAS pada akhir tahun ini. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita