Skip to main content

Singapura

Khutbah: Tanggapan peranan bapa sebagai pencari nafkah saja tidak lagi relevan

Tanggapan bahawa golongan bapa hanya berperanan sebagai pencari nafkah tidak lagi relevan.

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah: Tanggapan peranan bapa sebagai pencari nafkah saja tidak lagi relevan

Gambar hiasan. (Gambar hiasan: Edric Sng)

SINGAPURA: Tanggapan bahawa golongan bapa hanya berperanan sebagai pencari nafkah tidak lagi relevan.

Demikian mesej yang ditekankan semasa khutbah Jumaat hari ini (12 Apr) bertajuk 'Kepentingan Penglibatan Bapa dalam Kehidupan Anak'.

Peranan bapa lebih-lebih lagi penting memandangkan kajian menunjukkan betapa pentingnya penglibatan bapa dari peringkat awal kehidupan seorang anak.

"Hubungan dan interaksi yang positif antara bapa dan anak dapat membina kestabilan emosi dalam diri anak-anak kita, membuat diri mereka rasa selamat dan dilindungi. Pada masa yang sama, hubungan rapat antara bapa dan anak dapat membantu meningkatkan keyakinan dalam diri mereka."

Para jemaah dinasihati agar berusaha sebaik mungkin, mengimbangi masa dengan keperluan agama dan anggota keluarga meskipun berdepan kesibukan demimencari sesuap nasi buat keluarga.

Sekalipun rumahtangga yang dibina dan diharapkan berkekalan tidak kesampaian, kasih sayang dan penglibatan bapa dalam kehidupan anak-anak tidak akan pernah berakhir.

Khutbah di masjid di serata Singapura hari ini juga mengingatkan walaupun anak-anak masih mempunyai seorang ibu, mereka masih memerlukan kasih sayang ayah mereka.

"Adakalanya rumahtangga yang dibina berakhir di tengah jalan di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Sungguhpun begitu, tanggungjawab dan peranan seorang bapa tidak seharusnya berakhir dengan perceraian."

Itulah antara inti khutbah yang disampaikan para khatib di masjid-masjid di sini.

Sekiranya berdepan isu-isu kekeluargaan, pasangan digalakkan mendapatkan nasihat dan pendapat pakar. Pasangan boleh merujuk kepada agensi-agensi tertentu untuk mendapatkan sokongan.

Ini seperti Pusat Khidmat Keluarga PPIS As-Salaam, yang menawarkan pelbagai program sokongan untuk membantu diri kita, serta untuk mendapatkan nasihat berkaitan kekeluargaan. Bahkan juga bagi membentuk anak-anak kita dalam menjalani kehidupan ini.

Hakikatnya, kedua-dua ibu dan ayah perlu memainkan peranan dalam membentuk peribadi anak-anak.

Pembinaan keluarga yang harmoni bersangkut paut dengan peranan yang dimainkan oleh setiap anggota keluarga, khususnya ibu bapa.

Ibu bapa merupakan orang pertama yang memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang baik kepada anak-anak. Malah, ibu bapa mempunyai pengaruh yang kuat kepada anak-anak, dan merupakan cerminan kepada anak-anak, tegas khutbah itu lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita