Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khutbah Hari Raya: Mufti Negara bentangkan tiga pengajaran, perkukuhkan lagi kekuatan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Apr 2023 09:34AM Dikemas Kini : 23 Apr 2023 11:40PM
SINGAPURA: Teguhkan azam dan tekad untuk terus berjaya dan cemerlang dalam kehidupan dengan sikap rendah diri.

Demikian seruan Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir kepada masyarakat Islam dalam khutbah solat Aidilfitri yang bertajuk 'Kemenangan yang Berkekalan' yang disampaikan di Masjid Al-Muttaqin pagi tadi (22 Mei).
Dalam meraih kemenangan di Aidilfitri, Dr Nazirudin menyeru masyarakat Islam supaya terus menyebarkan kebaikan, saling bantu membantu antara satu sama lain, serta yakin membuat pelbagai penyesuaian positif demi mengatasi cabaran.

Namun, kemenangan yang diinginkan harus sesuatu yang berpanjangan dan berkekalan.

"Ini hanya dapat kita raih, sekiranya kita menghayati pengajaran dari pengalaman. Jika kita belajar dari kelemahan, dan memperkukuhkan lagi kekuatan kita bersama.

"Maka untuk mengecapi kejayaan sejati dan yang berterusan, janganlah kita terlupa akan keinsafan yang menjadi pemacu semangat untuk kita mengatasi kesusahan dan krisis satu ketika dahulu. Adalah amat rugi jika sekiranya keadaan kita sebelum dan selepas ujian adalah sama sahaja," kata Mufti Negara.

Beliau juga membentangkan tiga pengajaran utama dalam khutbahnya itu.
SIKAP BERTANGGUNGJAWAB

Dr Nazirudin berkata sikap bertanggungjawab adalah penting untuk terus disemai kerana Islam tidak pernah memisahkan akhlak dan tanggungjawab terhadap orang lain.

"Alhamdulillah, kita telah melihat betapa pentingnya menjaga kebajikan dan keselamatan individu serta masyarakat. Sikap peduli kita terhadap keadaan orang lain amat terserlah. Lantas, kita bersedia membuat penyesuaian, walaupun sukar, demi memelihara kesejahteraan bersama," kata Dr Nazirudin.

KEYAKINAN DALAM KEHIDUPAN BERAGAMA

Pengajaran kedua yang Mufti Negara bentangkan adalah keyakinan dalam kehidupan beragama kita.

Ujian yang ditempuhi bersama membuktikan bahawa masyarakat Muslim mampu untuk mencari, memahami dan menyokong huraian tersendiri bagi masalah dan cabaran di Singapura.

"Banyak yang kita kongsi sama dengan masyarakat dan negara lain, tetapi banyak juga yang unik dalam keadaan dan situasi kita. Oleh itu, kita harus berani mengambil keputusan dan membuat penyesuaian sendiri, dengan berpendirian teguh mengikut panduan Allah swt dan Rasul-Nya, dan bukan bergantung kepada autoriti agama lain atau masyarakat lain."

Oleh itu, beliau menggesa umat Islam agar terus pertingkatkan ilmu serta pemahaman agama mereka, untuk membina tahap keupayaan serta keyakinan masyarakat berhadapan dengan cabaran masa depan.
PELIHARA INSTITUSI-INSTITUSI AGAMA

Dr Nazirudin berkata masjid-masjid di merata negara menerima semua jemaah tanpa tidak kira latar belakang.

Walau bagaimanapun, masjid-masjid mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kesejahteraan dan keselamatan para jemaah.

"Mereka telah memikirkan pelbagai inisiatif baru bagi mempermudahkan ibadat saudara-saudari. Tiada yang dilakukan dengan tujuan menyekat ibadat. Sebaliknya, semua usaha bertujuan melindungi jemaah dari bahaya atau kemudaratan yang boleh dielakkan.

"Namun, masjid-masjid sebagai institusi agama penting di negara memerlukan sokongan, pemahaman dan kerjasama anda semua. Sebagai contoh, pada pagi ini, masjid-masjid kita inginkan sebanyak mungkin jemaah menunaikan solat Hari Raya. Sebab itu mereka sanggup mengadakan sesi solat berganda, walaupun ini bermakna pegawai dan sukarelawan terpaksa lewat menyambut Hari Raya bersama keluarga tersayang," ujar beliau.

KUKUHKAN DAYA TAHAN DAN KEYAKINAN KEAGAMAAN

Dalam khutbahnya, Dr Nazirudin turut menekankan kepentingan ilmu dan daya tahan agama dalam menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.

"Kehidupan kita ini tidak terlepas dari cabaran dan dugaan tetapi cabaran tidak semestinya melemahkan kita kecuali apabila kita tidak bersedia, tidak yakin dan tidak mempunyai bekalan ilmu dan daya tahan agama untuk mengatasinya.

"Keadaan sedemikian akan mendatangkan kecelaruan, kebingungan dan perpecahan kerana apabila setiap golongan berkeras dengan pandangan dan pegangan masing-masing, lantas umat akan berpecah-belah dan dipalingkan dari cabaran sebenar yang dihadapi. ni adalah amat penting, saudara saudari sekalian kerana hidup di dalam dunia yang tidak menentu dengan pelbagai cabaran besar hari ini dan di hari muka. Kita tidak mampu untuk bersifat lemah jika kita inginkan kejayaan dan kemenangan," jelas Dr Nazirudin.

Lantaran itu, beliau menyeru kepada masyarakat Islam untuk terus memperkukuhkan daya tahan dan keyakinan keagamaan mereka di samping memelihara kebaikan yang ada pada masyarakat agar ia berkekalan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan