Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khutbah Hari Raya: Kefahaman agama yang tepat dorong penyesuaian ketika kesulitan

Penyesuaian yang dilakukan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana luar biasa buat dua tahun berturut-turut menunjukkan masyarakat Islam setempat mempunyai kefahaman agama yang tepat.

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah Hari Raya: Kefahaman agama yang tepat dorong penyesuaian ketika kesulitan

Mufti Negara, Dr Nazirudin Nasir, menyampaikan Khutbah Aidilfitri di Masjid Yusof Ishak pada pagi Hari Raya (13 Mei). (Gambar: Petikan skrin dari video SalamSG TV)

SINGAPURA: Penyesuaian yang dilakukan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana luar biasa buat dua tahun berturut-turut menunjukkan masyarakat Islam setempat mempunyai kefahaman agama yang tepat.

Ini terserlah apabila orang ramai menyahut baik seruan untuk terus menghidupkan ajaran agama yang tidak terpisah daripada realiti kehidupan sekarang yang mana pandemik COVID-19 terus mencengkam dunia.

Hasilnya, ia mendidik jiwa untuk berdaya tahan dan tabah menghadapi musibah serta ujian, kata Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir dalam Khutbah Aidilfitri yang disampaikan sepenuhnya secara online pada Khamis (13 Mei).

Khutbah Aidilfitri yang bertajuk 'Agama Menjana Harapan dan Kesejahteraan' disiarkan secara langsung di SalamSG TV, bermula sekitar 7.50 pagi, sejurus selepas takbir raya bergema.

Dr Nazirudin menyampaikan khutbah itu di Masjid Yusof Ishak, tempat beliau turut memimpin sesi pertama solat Aidilfitri yang disertai seramai 100 jemaah, terbahagi dalam dua zon berasingan dengan 50 orang setiap zon.

Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir memimpin solat Aidilfitri di Masjid Yusof Ishak pada 13 Mei 2021. (Gambar: Petikan skrin dari video SalamSG TV)

Dalam khutbahnya, Dr Nazirudin mengatakan cabaran serta dugaan adalah lumrah kehidupan dan bagaimana manusia berusaha mengatasinya tatkala diuji membezakan antara orang-orang yang beriman.

Andai masyarakat memilih untuk 'beku dalam ketakutan' saat dilanda krisis atau musibah, keadaan akan berlarutan dan akibatnya hanya membawa lebih banyak kesakitan serta kemudaratan.

"Begitu juga dalam kehidupan beragama. Tanpa sebarang perubahan dan pembaharuan untuk membantu masyarakat mengatasi situasi sukar seperti ini, setentunya kita akan
berhadapan dengan kelayuan dan kelesuan," ujar beliau.

Meskipun mengakui bahawa perubahan serta pembaharuan kadangkala boleh menimbulkan kecemasan dan kebimbangan, Dr Nazirudin menekankan ia juga sebenarnya merupakan tuntutan agama dan satu amanah yang dipikul bersama.

"Di sinilah letaknya tanggungjawab pemikiran dan kepimpinan agama yang rancak dan teliti – yang dibina di atas pemahaman yang baik terhadap nas-nas dan tradisi keilmuan Islam."

PENYESUAIAN BUKAN BERERTI LEMAH DARI SEGI IMAN, ILMU AGAMA

Namun, Dr Nazirudin menegaskan segala penyesuaian yang dibuat bukanlah kerana kelemahan iman mahupun ilmu tetapi atas sikap yakin bahawa agama mendorong kita untuk mencari huraian.

"Kitalah umat yang melalui krisis dan ujian ini, dan kitalah yang bertanggungjawab mencari huraiannya," ungkap beliau.

"Agama menjadikan kita insan mulia yang berdaya tahan dalam mengharungi keadaan
susah mahupun senang. Bahkan, sifat dan nilai keagamaan kita akan lebih terserlah tatkala menghadapi krisis dan ujian."

Beliau memberi contoh bagaimana kefahaman agama yang tepat berjaya membentuk seseorang individu menjadi insan yang mulia dan bukannya lemah apabila berdepan kesulitan.

Ini kerana apabila seseorang mempunyai kefahaman agama yang cenderung ke arah positif, mereka akan terdorong untuk melihat setiap kesusahan sebagai peluang untuk bangkit semula, membina diri dan membuat penyesuaian.

"Lihat sahaja penyesuaian yang telah diusahakan sejauh ini. Walaupun ada penjarakan saf, sesi Jumaat yang berganda, namun hati kita tetap kekal bersatu di dalam mengamalkan agama. Ini kerana masyarakat memahami tuntutan agama dan ingin menjaga kemaslahatan umum," ujar Dr Nazirudin.

Akhirnya, tambah beliau, kehidupan agama akan tetap mekar dan subur biarpun dihimpit musibah dan bukannya yang menyukarkan mahupun menyulitkan situasi lanjut keadaan.

Beliau berkata Nabi (s.a.w.) juga pernah menegur orang yang menyukarkan urusan agamanya.

"Sebagai contoh, apabila ada yang bertekad untuk berjalan kaki untuk menunaikan haji dan tidak mahu menggunakan tunggangan. Nabi (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:
'Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memerlukan perbuatan menyeksa diri seperti kelakuan orang ini terhadap dirinya.'" (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Bahkan, tambah Dr Nazirudin, setelah lebih setahun masyarakat berhadapan dengan COVID-19 yang menimbulkan pelbagai cabaran dalam segala aspek kehidupan, ia seharusnya membentuk jiwa dan hati yang lebih berdaya tahan, lebih berkasih sayang serta penuh dengan keihsanan.

TONJOLKAN SEMANGAT PERJUANGAN LAWAN COVID-19

Tatkala meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, Dr Nazirudin berpesan agar orang ramai terus berhati-hati dan mengambil serius semua langkah-langkah keselamatan yang dikuatkuasakan khususnya jika berziarah orang tua.

Beliau menggesa masyarakat agar terus mempamerkan semangat perjuangan untuk menewaskan penularan COVID-19 yang kian menular.

"Saya akui, pastinya setiap di antara kita merindui dan ingin bertemu dengan mereka (orang tua). Namun, kita perlu berwaspada agar tidak membahayakan mereka. Jadikanlah hari raya tahun ini raya yang sangat selamat. Marilah kita berazam agar tidak berlaku sebarang jangkitan di musim raya ini dan selanjutnya. Inilah sumbangan kita," katanya.

Beliau mengakhiri Khutbah Aidilfitri dengan mengajak seluruh masyarakat Islam setempat untuk memanjatkan doa buat saudara-saudara di negara-negara lain yang diuji musibah.

"Ramai yang berhadapan dengan situasi yang tidak terkawal dan sangat menyedihkan. Semoga Allah (s.w.t.) memelihara umat manusia daripada segala ancaman dan kemudaratan insya-Allah," doanya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa