Skip to main content

Singapura

Khutbah Aidilfitri tekankan nilai kesyukuran, sabar hadapi ujian

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Umat Islam Singapura diseru untuk mensyukuri keamanan dan kedamaian yang dinikmati pada Syawal ini.

Ini sedang ramai di belahan dunia lain diuji dengan peperangan yang masih berterusan.

Dalam khutbah Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang disampaikan Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir di Masjid Sultan pagi tadi (21 Mac), beliau berpesan kepada masyarakat untuk meneruskan amal kebaikan serta memelihara nilai-nilai murni seperti rahmah dan ihsan menjangkaui bulan Ramadan sebagai tanda syukur.

Namun, di sebalik nikmat yang dirasakan, beliau turut mengingatkan bahawa ia sebenarnya juga satu ujian kerana menurutnya setiap manusia diuji dengan cara yang berbeza.

Itulah antara dua pengajaran tentang ujian yang turut disorot dalam khutbah Aidilfitri tahun ini.

"Pada pagi ini dan pada hari ini bergembiralah kita sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi s.a.w tetapi jangan kita lupa dalam kegembiraan bahawa setiap nikmat yang kita hadapi dan dianugerahkan Allah adalah ujian dan jangan juga kita lupa dengan nasib saudara saudari kita yang Muslim yang pada pagi ini dan pagi Aidilfitri menyambutnya dalam ketakutan dan kegelisahan serta kekhuatiran," kata Dr Nazirudin.

Beliau turut berpesan tanggungjawab para Muslim apabila menerima nikmat kebaikan dan kesenangan adalah untuk meneruskan amal kebaikan.

Pengajaran kedua pula ialah tentang tindak balas seseorang itu terhadap ujian yang dihadapinya.

Bagi menghadapi masalah yang dihadapi dalam kehidupan seorang insan, Dr Nazirudin menjelaskan bahawa seorang mukmin tidak seharusnya cepat berputus asa serta berasa cemas.
Related article image
Umat Islam diingatkan tanggungjawab untuk meneruskan amal kebaikan ketika menerima nikmat kebaikan dan kesenangan. (Gambar: Hidir Ezat)
Bagi menghadapi masalah yang dihadapi dalam kehidupan seorang insan, Dr Nazirudin menjelaskan bahawa seorang mukmin tidak seharusnya cepat berputus asa serta berasa cemas.

"Apabila kita menghadapi ujian dalam bentuk kesusahan, seseorang Muslim tidak cepat berputus asa mahupun merasa cemas. Dia terus meletakkan keyakinannya kepada Allah," kata Dr Nazirudin

"Dia memohon bantuan dan bimbingan Allah serta terus berusaha untuk memperbaiki dan mempersiapkan diri untuk hari hari yang akan datang. Dia belajar dari kesilapan dan kelemahannya agar dia menjadi Muslim yang lebih baik yang mampu menghadapi cabaran yang lebih besar," katanya lagi.

PELIHARA AMALAN BAIK YANG DISEMAI PADA BULAN RAMADAN

Solat Aidilfitri yang dipimpin Dr Nazirudin itu turut disertai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim.

Dalam menikmati kemakmuran dan keamanan di sini, beliau berharap masyarakat tidak melupakan mereka yang diduga dengan konflik yang melanda di negara mereka.

"Sedang kita menyambut Hari Raya, kita juga harus ingati bahawa keadaan di luar negara masih belum menentu. Kita doakan yang terbaik buat mereka yang menyambut jauh dari tanah air, serta mereka yang sedang menghadapi cabaran yang lebih sukar daripada apa yang kita sedang lalui dalam kehidupan kita," kata Dr Faishal.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, ketika di Masjid Sultan pada 21 Mac. (Gambar: Hidir Ezat)
Di samping itu, beliau turut berharap masyarakat dapat terus memelihara amalan baik yang disemai sepanjang Ramadan iaitu kesyukuran, kesopanan dan kesantunan.

"Marilah kita maju bersama, dengan satu hati. Semoga bulan Syawal ini membawa keamanan dan keharmonian kepada kita semua, serta mendekatkan kita dengan keluarga dan orang-orang yang kita sayangi. Semoga ia juga mengingatkan kita untuk terus menghargai nikmat yang kita kecapi di Singapura, agar setiap anggota masyarakat dapat terus berkembang dan berjaya pada setiap peringkat kehidupan," tambahnya lagi.

Dr Faishal turut tersentuh melihat rasa kesyukuran yang dipaparkan oleh masyarakat sepanjang Ramadan dan sambutan positif terhadap tambahan ruang solat tarawih dan Aidilfitri oleh kumpulan-kumpulan Qaryah.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita