Skip to main content

Singapura

Khutbah Aidilfitri: Mufti Negara tekankan tiga nilai untuk bantu masyarakat terus istiqamah dalam membuat kebaikan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Mar 2025 07:57AM Dikemas Kini : 31 Mar 2025 09:44PM

SINGAPURA: Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir menyeru umat Islam untuk terus beristiqamah dan melakukan kebaikan sepertimana yang dipaparkan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

Dalam khutbah solat Aidilfitri yang disampaikannya di Masjid Al-Iman pagi tadi (31 Mac), beliau menekankan tiga nilai untuk membantu masyarakat terus beristiqamah.

1. KESYUKURAN

Nilai pertama yang digariskan Dr Nazirudin dalam khutbah bertajuk 'Nilai-nilai Mukmin: Kesyukuran, Keihsanan dan Keikhlasan" ialah kesyukuran.

Menurut Dr Nazirudin, kesyukuran itu bukan sekadar pengiktirafan dalam hati atau ungkapan dengan kata-kata.

Bahkan, ia perlu ditunjukkan menerusi kelakuan baik dan ketaatan yang berterusan.

"Di negara kita, institusi-institusi agama memainkan peranan besar dalam membentuk kehidupan beragama masyarakat Islam. Kita semua, tanpa pengecualian, bertanggungjawab memelihara nikmat ini dan menyokong usaha-usaha untuk memelihara dan membangun institusi sedemikian, khusus bagi generasi-generasi akan datang," kata Dr Nazirudin.

"Kita perlu bersatu menyokong usaha ini agar kepimpinan dan kehidupan beragama kita sentiasa berpaksikan keihsanan, rahmah, dan kesantunan, seperti yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. agar anak-anak dan remaja-remaja kita menjadi insan acuan Al-Quran. Menjadi teladan kerana berakhlak mulia, menjunjung nilai murni, menjalin hubungan baik sesama insan dan menyumbang ke arah kemaslahatan jagat," tambahnya.

2. KEIHSANAN & RAHMAH

Selain kesyukuran, Dr Nazirudin berpendapat nilai keihsanan dan rahmah juga boleh membantu seseorang untuk terus beristiqamah dalam melakukan kebaikan.

Menurutnya, latihan kerohanian semasa Ramadan telah melahirkan sikap keihsanan dan rahmah di dalam jiwa.

Masyarakat juga tambahnya, lebih peka akan keadaan manusia yang berada dalam kesempitan dan memerlukan bantuan.

Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp/Hakim Irwan)
"Tidakkah sepatutnya kita, sebagai hamba yang bergantung pada bantuan Ilahi, wajar bersikap prihatin dan mengambil berat tentang keadaan manusia yang dihimpit kesempitan?Apatah lagi dalam suasana pergolakan dunia yang menyemai bibit-bibit kebencian yang semakin berleluasa. Antara lain, ia disebabkan lenyapnya nilai ihsan dalam jiwa manusia, digantikan dengan sikap hanya mementingkan diri sendiri.

"Sifat belas ihsan hilang sama sekali, sehinggakan ia begitu daif untuk menyaksikan penderitaan manusia sebagai satu undangan untuk membantu dan membela. Dengan itu, sebagaimana seorang Muslim mukmin yang berusaha menjaga setiap keperluannya, kita juga perlu mengambil berat dan cuba membantu mereka yang dalam kesusahan, di mana sahaja mereka berada," ujar Dr Nazirudin.

3. KEIKHLASAN

Setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan dalam Ramadan, Dr Nazirudin berkata ia juga telah melatih dan juga menyuburkan lagi keikhlasan dalam diri masyarakat.
 
Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp/Hakim Irwan)
Beliau menjelaskan bahawa keihklasan itu bermaksud masyarakat tidak melakukan kebajikan kerana menantikan penghargaan dan pandangan orang lain.

Keikhlasan itu juga malah menjadi "kunci" untuk usaha dan amalan yang istiqamah yang berterusan.

"Hari ini, kita sering terpanggil untuk membuat atau melaungkan sesuatu kerana desakan orang atau kepentingan tertentu. Melalui wadah media sosial, kita sendiri menyaksikan manusia berlumba-lumba memperlihatkan kebajikan yang dilakukannya. Sehinggakan taubat yang seharusnya rahsia di antara kita dan Tuhan juga diiklankan dan ditayangkan kepada semua," ujar Dr Nazirudin.

"Ingatlah, keikhlasan perlu dijadikan landasan untuk memperbaiki diri dan membangun masyarakat dan negara, kerana sifat ikhlas yang akan membantu kita untuk terus istiqamah dalam apa sahaja yang kita lakukan," tambah beliau.

Beliau juga berharap agar kesyukuran yang diucapkan itu tidak hanya "membasahi lidah tetapi meresap ke dalam hati dan dan dilahirkan melalui amal perbuatan".
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita