Khutbah Aidilfitri: Mufti Negara seru masyarakat harungi kehidupan dengan keimanan & ketabahan di sebalik cabaran
SINGAPURA: Masyarakat perlu sentiasa berusaha mencipta peluang di sebalik cabaran yang melanda.
Dalam khutbah solat Aidilfitri yang disampaikan di Masjid Omar Kampong Melaka pada Rabu (10 Apr), Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata meski terus diuji dengan cabaran, masyarakat dinasihatkan supaya terus mengharungi kehidupan dengan penuh keimanan, keyakinan dan ketabahan.
"Ramadan telah mendakapi kita tetapi di saat perpisahan seperti kekasih yang ditinggalkan. Namun tanpa mengabaikan kekasihnya, ia meninggalkan pesanan kepada mereka agar kita terus bertakwa agar kita terus bersikap ehsan supaya kita cekal, berusaha dan bersemangat untuk terus membina masyarakat dan umat yang gemilang, yang yakin, yang berdaya tahan, dan yang perkasa," kata Dr Nazirudin.
(Facebook/Masagos Zulkifli)
Khutbah bertajuk 'Memupuk Kehidupan Beragama Yakin dan Berdaya Tahan' itu juga mengingatkan para jemaah bahawa pergolakan yang melanda memerlukan masyarakat untuk lebih memperbaiki diri.
"Ia meyakinkan kita sekalian bahawa kita harus pertingkatkan lagi diri dan masyarakat. Semakin hebat cabaran dan suasana, semakin bertambah persiapan dan usaha kita," ujar beliau.
Dalam pada itu, Dr Nazirudin mengajak semua untuk sama-sama bermuhasabah diri untuk memperkukuhkan lagi perpaduan sesama masyarakat.
Untuk itu, beliau menggariskan tiga tunggak bagi membina masyarakat gemilang, yakin, berdaya tahan dan perkasa.
1. ILMU DAN PEMAHAMAN AGAMA YANG MENDALAM
Pertama, Dr Nazirudin menekankan perlunya ilmu dan pemahaman agama yang mendalam.
Menurut beliau, ilmu itu dapat menjadi pertahanan kukuh daripada sebarang kekeliruan.
"Kita mudah disibukkan kadang kala sehingga dilalaikan oleh cebisan maklumat di media sosial sehingga ada yang menyangka hiburan itu sama seperti ilmu pengetahuan. Tidak salah kita mendengar nasihat yang baik tidak kira platform mahupun sumbernya. Namun pencarian ilmu memerlukan kesungguhan dan pengorbanan dari setiap lapisan masyarakat.
"Ilmu yang baik, ilmu yang bermanfaat tiada batasannya. Sama ada ilmu agama mahupun kemahiran-kemahiran baru yang membantu dalam kehidupan. Ini agar kita terus kekal relevan dalam memberi sumbangan bermakna hari ini dalam dunia yang cepat berubah," jelas Dr Nazirudin.
Beliau juga menasihatkan masyarakat untuk terus menimba pengetahuan dan kemahiran hidup dengan sebaiknya agar dapat terus kekal relevan dalam memberi sumbangan.
2. AKHLAK DAN ADAB YANG LUHUR
Tunggak seterusnya merupakan akhlak dan adab yang luhur.
Dr Nazirudin menyifatkan akhlak dan peradaban sebagai sangat akrab dengan hubungan kemanusiaan dan ketamadunan.
Ia juga kata beliau tidak mengira bangsa, agama mahupun latar belakang.
(Facebook/Masagos Zulkifli)
"Dunia di mana manusia mudah sahaja menghina, bahkan menganiaya sesiapa sahaja yang dianggap lain atau berbeza atau tidak disukai olehnya. Ini bukan sikap kita sama sekali umat yang beriman," kata Dr Nazirudin.
"Sebaliknya kita disuruh oleh agama agar peduli dan prihatin terhadap keadaan manusia di sekeliling kita serta sentiasa sentiasa mempamerkan keihsanan dan rahmah. Akhlak dan adab yang luhur ini akan membantu kita memberikan kekuatan mengharungi masa masa yang sukar dengan penuh hikmah dan bijaksana.," tambah beliau.
3. BUDAYA MENYUMBANG DAN MENJADI SUMBER KEBAIKAN
Dalam kesempatan itu, Mufti turut memuji masyarakat di atas sifat keprihatinan serta semangat kemasyarakatan yang dipamerkan kepada usaha-usaha kemanusiaan dan kemasyarakatan di dalam dan luar negara.
Budaya menyumbang ini juga merupakan tunggak ketiga bagi membina masyarakat gemilang.
"Alhamdulillah kita amat bersyukur di atas semangat menyumbang masyarakat kita di Singapura. Sama ada buat golongan yang memerlukan di tanah air mahupun di luar negara. Setiap tahun umat Islam di Singapura memberi sumbangan kewajipan membayar zakat. Menyahut seruan Allah s.w.t berbekalkan azam untuk membantu golongan golongan yang memerlukan. Untuk merancakkan kegiatan dakwah di dalam negara. Mengajak orang kepada arah kebaikan untuk membantu golongan golongan yang memerlukan lagi lemah.
"Pada masa yang sama juga, semangat umat Islam di Singapura bersama masyarakat Singapura secara amnya membantu mereka yang memerlukan di luar negara. Kita telah bersatu menghulurkan bantuan kemanusiaan di Gaza kerana kita amat sedih dan hiba dengan keadaan mereka. Saudara saudari sekalian, sikap dan nilai rahmah dalam hati yang menyelubungi segala usaha usaha ini," kata Dr Nazirudin.
Beliau juga berharap agar masyarakat dapat terus membina keyakinan, memupuk kebijaksanaan serta memperoleh kemenangan yang dapat dirasai buat semua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.