Skip to main content

Singapura

Khutbah Aidiladha: Tonjolkan sifat ihsan & jauhi sikap rakus demi keamanan, kesejahteraan alam sekitar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat Islam diajak meniti kehidupan dengan sifat keihsanan dan menghapuskan sikap rakus dalam diri.

Demikian antara intipati khutbah Aidiladha bertajuk 'Pengorbanan Melahirkan Ketakwaan dan Keihsanan' yang disiapkan Pejabat Mufti dan disampaikan di masjid-masjid tempatan hari ini (17 Jun).

FAHAMI ERTI SEBENAR PENGORBANAN, DEMI KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN SEJAGAT

Khutbah itu antara lain mengingatkan masyarakat tentang erti sebenar pengorbanan, demi keamanan dan kesejahteraan sejagat.

"Marilah kita semua memberi dengan ihsan. Menerima dengan kesyukuran. Ingatlah, pengorbanan sebenar adalah dengan mengorbankan sikap kerakusan kita. Kesediaan untuk mendahulukan kepentingan lain yang lebih besar atas kepentingan peribadi kita. Ini semua kita lakukan dengan penuh ihsan, dengan penuh murah hati dan keindahan, dan dengan penuh rahmah.

"Memelihara keamanan dunia dan kesejahteraan alam sekitar adalah antara peranan penting kita sebagai manusia, khususnya umat Islam, sebagai pengamanah atau khalifah di bumi ini. Ini adalah antara inti keimanan kita kepada Allah yang mencipta kita dan alam ini."

Khutbah itu juga menarik perhatian tentang bagaimana sifat rakus, tamak, mementingkan diri sendiri dan mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan menjadi penyebab kemusnahan terhadap kehidupan dan alam sekitar.

Ia menyeru masyarakat Islam tempatan untuk memelihara alam sekitar demi kepentingan masyarakat sekarang dan generasi akan datang.

"Ketika kerakusan manusia telah menyebabkan kebinasaan terhadap kehidupan dan alam sekitar ini, kita bertanggungjawab mengorbankan kerakusan ini. Berasa takwa kepada Allah dalam hal alam sekitar, dan berlaku ihsan terhadap alam sekitar bermakna memelihara alam sekitar ini demi kemaslahatan kita dan generasi masa hadapan."

"Sebagai Muslim yang bertakwa dan berihsan, tidak kah kita rasa terkejut dengan dapatan kajian? Bahawa sepanjang hampir dua ratus tahun lalu, suhu terpanas yang pernah tercatat adalah pada sepuluh tahun terakhir ini? Dan tahun 2023 mencatatkan suhu paling panas yang pernah dicatatkan sejarah."

"Di peringkat peribadi, tanpa kita sedar, kita mungkin menyumbang kepada masalah ini. Di Singapura sahaja, pihak Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melaporkan sebanyak 813,000-ton sisa makanan terbuang pada tahun 2022. Dan jumlah ini meningkat semenjak lima tahun dahulu."

MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DISERU FIKIRKAN HURAIAN

Ia juga mengajak masyarakat untuk sama-sama memikirkan huraian bagi menyelesaikan masalah-masalah dunia.

"Nilai keihsanan sepatutnya mendorong kita sebagai Muslim untuk bertindak mulai sekarang, bukan hanya mula bertindak apabila keburukan sudah berlaku.

"Sebagai umat Islam yang mengaku dirinya khalifah di muka bumi ini. Kita perlu memelihara alam sekitar ini. Kita seharusnya berada di barisan hadapan dalam menyumbang kepada penyelesaian terhadap cabaran kewujudan ini. Antara yang boleh dilakukan ialah: Pertama, di peringkat peribadi, ayuh kita bangkitkan kesedaran dan kefahaman dalam usaha memelihara alam sekitar. Belajar dan fahamkan masalah pencemaran alam dan perubahan iklim.

Yang kedua adalah bagi umat Islam untuk mendahului usaha-usaha kreatif dan melakukan kajian dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

"Ketiga, kepimpinan masyarakat dan agama perlu bersatu dalam mendorong dan mendidik masyarakat ke arah ini. Usaha memelihara alam sekitar ini adalah satu ibadah. Ia adalah usaha memelihara salah satu tujuan dan prinsip syariah. Kita bersama mendidik jiwa untuk bertakwa dan menghayati ihsan."
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita