Skip to main content

Singapura

Khutbah Aidiladha seru umat Islam SG hayati semangat pengorbanan dan ketabahan

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah Aidiladha seru umat Islam SG hayati semangat pengorbanan dan ketabahan

Mufti Singapura, Dr Naziruddin Mohd Nasir, menyampai khutbah Aidiladha di Masjid Darul Makmur. (Gambar: Hidir Ezat)

SINGAPURA: Keimanan dan keyakinan merupakan asas utama dalam menghadapi ujian serta melakukan pengorbanan, baik di peringkat individu mahupun masyarakat.

Demikian antara intipati khutbah Aidiladha bertajuk '“Keimanan dan Keyakinan Teras Pengorbanan”, yang disampaikan oleh Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, di Masjid Darul Makmur pada Sabtu (7 Jun).

Beliau menegaskan bahawa pengorbanan sejati bukan sekadar melibatkan tuntutan fizikal, tetapi turut merangkumi aspek kerohanian.

Masyarakat diseru untuk mengamalkan sikap positif seperti berbaik sangka, bersabar, dan sentiasa berusaha memperbaiki diri demi kebaikan bersama.

"Jika kita dapat hayati bersama erti sebenar pengorbanan dan kita berusaha melakukannya dalam kehidupan kita hari demi hari minggu demi minggu bulan demi bulan dan tahun demi tahun, pastinya mereka yang berada di sekeliling kita akan merasakan dan menikmati kewujudan kita bersama mereka. Kerana pengorbanan itu akan mensucikan hati dan mencapaikan kita kepada peringkat 'Qalbun Salim', yakni hati yang bersih" kata Dr Nazirudin.

"Hati yang penuh dengan keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan keyakinan kepada Allah. Maka orang lain akan senang untuk mendampingi kita. Begitulah keadaan baginda Rasulullah saw dan para sahabat yang mengikuti petunjuknya. Mereka sangat disenangi orang tidak kira kawan mahupun lawan. Kerana hati mereka yang penuh dengan rahmah dan keihsanan. Dan hati yang selalu mencari kebaikan hanya akan mendatangkan ketenteraman dan kesejahteraan pada orang lain. Dan dengan hati-hati yang suci lagi murni, hati-hati yang penuh dengan sifat mengejar kebaikan, hati-hati kita sebagai umat baginda Nabi saw, dapat bersatu sebagai satu masyarakat. Bersatu bersama dalam mencari kebaikan untuk masyarakat dan untuk bangsa dan negara" tambahnya lagi.

Masjid Darul Makmur dibuka untuk solat Hari Raya Aidiladha. (Gambar: Hidir Ezat)

Menurut Dr Nazirudin, pengorbanan masa kini turut merangkumi usaha menjadi insan yang lebih adil, sabar dan bertanggungjawab bukan hanya terhadap diri sendiri, tetapi juga keluarga dan masyarakat.

Beliau turut mengingatkan tentang kepentingan untuk terus berpegang pada kepercayaan dan harapan walaupun berdepan dugaan yang berat.

Dr Nazirudin akur bahawa tidak semua usaha akan membuahkan hasil segera, namun ketabahan dan keyakinan adalah asas untuk terus melangkah ke hadapan.

"Kita perlu mengingatkan diri kita, keimanan dan keyakinan yang teguh dalam hati, hanya akan terhasil dari usaha dan tindakan. Iman yang mencerminkan keyakinan dalam hati akan melahirkan perbuatan yang suci dan pengorbanan yang mulia dalam kehidupan. Maka perhati diri kita masing-masing. Sejauh mana kita benar benar berusaha memperbaiki diri dalam semua aspek kehidupan" katanya.

Beliau turut menyentuh tentang kekuatan inspirasi yang boleh lahir daripada seseorang yang teguh dan tenang dalam menghadapi cabaran. 

Nilai-nilai positif seperti itu harus dikongsi dan disuburkan secara bersama dalam kalangan komuniti.

Mengakhiri khutbah, Dr Nazirudin mengajak para jemaah untuk sama-sama membentuk sebuah masyarakat yang bersatu, penyayang dan tabah menghadapi dugaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita