Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khutbah Aidiladha: Mufti Negara kongsi ciri pengorbanan "cara yang terbaik"

Tidak cukup untuk melakukan pengorbanan. Sebaliknya pengorbanan hendaklah dilakukan dengan penuh ketelitian dan cekap. Atau dalam erti kata lain, "dengan cara yang terbaik".

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah Aidiladha: Mufti Negara kongsi ciri pengorbanan "cara yang terbaik"

Khutbah Aidiladha di Masjid Al-Mawaddah. (Gambar: BERITAmediacorp/Muhammad Ruzaini Mohamed Rashid)

SINGAPURA: Tidak cukup untuk melakukan pengorbanan. Sebaliknya pengorbanan hendaklah dilakukan dengan penuh ketelitian dan cekap. Atau dalam erti kata lain, "dengan cara yang terbaik".

Malah, dalam melakukan pengorbanan, umat Islam juga "tidak boleh mengabaikan keihsanan dan rahmah".

Demikian tegas Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram, dalam khutbah Aidiladha yang beliau sampaikan di Masjid Al-Mawaddah di Sengkang pagi ini tadi (22 Ogos). Khutbah beliau itu turut disampaikan di masjid-masjid serata negara.

Ciri-ciri tersebut kata Dr Fatris lagi, merupakan ciri-ciri pengorbanan para Nabi, dan ia boleh diterapkan oleh masyarakat Muslim.

Dr Fatris kemudian merujuk kepada kisah pengorbanan pertama yang dilaksanakan oleh anak Nabi Adam, iaitu Habil dan Qabil. Menurut sejarah, pengorbanan Habil diterima oleh Allah manakala pengorbanan Qabil ditolak. Kisah tersebut kata beliau menekankan betapa pentingnya untuk bukan sahaja ikhlas dalam melakukan pengorbanan, tetapi juga melakukannya dengan cara yang sangat baik:

"Seandainya kita mengharapkan penerimaan serta bantuan daripada Allah (s.w.t.), pastikanlah kita memberikan kualiti yang terbaik yang termungkin dan termampu daripada diri kita untukNya. Ingatlah sabda Nabi (s.a.w.) yang berbunyi: “Sesungguhnya Allah itu baik, dan Dia tidak menerima melainkan yang baik.” 

Mufti Singapura itu kemudian menerapkan prinsip-prinsip tersebut kepada ibadah korban yang mula dijalankan hari ini. Singapura membawa masuk 3,700 ekor kambing dari Australia bagi ibadah korban.

Golongan fuqaha kata Dr Fatris sudahpun menjelaskan ciri-ciri yang perlu ada pada haiwan yang ingin dikorbankan.

"Seperti binatang tersebut sihat dan bebas daripada sebarang penyakit, tidak mempunyai kecacatan, sama ada tempang, buta, patah sebelah tanduk, cedera pada tubuh badan, kurus sehingga tidak mempunyai lemak, atau kecacatan yang lain sepertinya," terang beliau mengenai konsep mutu yang baik dalam Islam.

Gambar fail khutbah di Masjid Al-Mawaddah. (Gambar: BERITAmediacorp/Taufiq Hussein Zalizan)

Khutbah Aidiladha di Masjid Al-Mawaddah. (Gambar: BERITAmediacorp/Taufik Hussein Zalizan)

SIFAT IHSAN, RAHMAH TIDAK BOLEH DIABAIKAN

Dr Fatris juga menegur sikap sebahagian anggota masyarakat kita yang melakukan pengorbanan, tetapi dalam berbuat demikian, mereka mengabaikan sikap keihsanan dan rahmah sehingga mengenepikan perasaan anggota keluarga.

"Ada di kalangan kita yang ingin berkorban merubah gaya hidup dan mendekatkan diri pada Allah. Namun dalam proses itu, keghairahan mereka merubah tidak mengambil kita kesediaan pasangan mahupun anak-anak," kata beliau.

Ini, menurut Dr Fatris, boleh mengakibatkan ketegangan, trauma dan kesukaran dalam hubungan kekeluargaan.

Lantaran itu, Dr Fatris mengingatkan bahawa sebenarnya pengorbanan yang disertai keihsananlah yang akan meninggalkan kesan yang lebih baik dan berpanjangan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan