Skip to main content

Singapura

Khutbah Aidiladha: Mufti Dr Fatris tegur sikap-sikap buruk yang perlu "disembelih" dan "dikorbankan"

Mufti Fatris juga dengan tegas menegur sikap sebahagian anggota masyarakat muslim yang hanya merungut dan menyalahkan orang lain, serta tergopoh gapah dalam membuat perubahan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Sep 2017 06:31PM Dikemas Kini : 01 Sep 2017 10:55PM

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram hari ini menekankan peri pentingnya memperkukuh ikatan masyarakat dan menjauhi persaingan tidak sihat yang boleh memecah belahkan masyarakat.

Dalam khutbah Aidiladha beliau pagi tadi, Mufti Fatris juga dengan tegas menegur sikap sebahagian anggota masyarakat muslim yang hanya merungut dan menyalahkan orang lain, serta tergopoh gapah dalam membuat perubahan.

Perbuatan tersebut tegas beliau perlu "disembelih" dan "dikorbankan" daripada diri kita.

Khutbah Aidiladha Dr Fatris itu disampaikan di Masjid Petempatan Melayu di mana beliau turut memimpin 850 jemaah bagi solat Aidiladha di sana pagi tadi. Turut hadir ialah Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli.

PERUBAHAN MEMERLUKAN PENGORBANAN

Related article image

Antara jemaah solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Petempatan Melayu Sembawang. (Gambar: MUIS)

Dalam khutbah beliau yang bertajuk 'Perubahan Memerlukan Pengorbanan', Mufti berpesan agar umat Islam memiliki semangat pengorbanan yang sebenar.

Memang, ada kalanya cabaran yang dihadapi "terasa terlalu memeritkan" sehingga berasa seolah-olah "dunia tidak berlaku adil dengan kita" sama ada di pentas global, serantau mahupun tempatan.

Lantaran itu, Mufti bertanya, apakah reaksi selayaknya daripada masyarakat muslim?

"Wajarkah sebagai umat yang beriman kita memilih untuk hanya merungut, menyalahkan semua pihak yang kita rasa wajar dipersalahkan di atas keadaan dan nasib kita? Kita salahkan sejarah. Kita salahkan sistem politik dunia. Kita salahkan agenda jahat musuh.

"Habis masa dan usia kita memikirkan siapa lagi yang patut dipersalahkan, tanpa ingin membuat pembaikan yang positif. Sikap sedemikian kalau ada dalam diri kita, perlu segera kita korbankan, saudara," ujar beliau.

Dr Fatris menekankan, setiap ujian harus disambut sebagai peluang dari Allah untuk umat Islam memperbaiki keadaan.

Bagaimanapun kata Mufti, ada pula sebahagian orang yang apabila berdepan dengan cabaran sedemikian, mereka bersemangat dan ghairah untuk membuat perubahan.

Malangnya, mereka "tergopoh gapah dalam semangat ingin membuat perubahan", sehingga mengabaikan nilai-nilai dan akhlak yang menjadi pegangan Islam.

"Malah sehingga ada yang tidak menghormati undang-undang mahupun peraturan hidup bermasyarakat sehingga menyebabkan kerosakan atau kesan negatif yang lebih berpanjangan kepada kehidupan. Dunia hendak mereka ubah dalam sekelip mata.
Semua orang hendak dipaksa untuk bersetuju dan mengikut pendirian mereka. Saudara, kalau sikap ini wujud di dalam diri kita, maka ia juga perlu dikorbankan segera," tegas Dr Fatris lagi dalam khutbah tersebut.

Teks khutbah Mufti itu juga disampaikan di masjid-masjid di serata Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/DIWAI/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita