Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khutbah Aidiladha: Jaga adab dalam utarakan perbezaan pendapat demi perpaduan ummah

Anggaran Waktu Membaca:
Khutbah Aidiladha: Jaga adab dalam utarakan perbezaan pendapat demi perpaduan ummah

Khutbah Aidiladha disampaikan Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa. (Gambar: Nurfazirah Azman)

SINGAPURA: Umat Islam diseru untuk terus menjaga adab dalam mengetengahkan perbezaan pendapat masing-masing.

Ini agar dapat memelihara kesatuan dan perpaduan dalam menangani kepelbagaian dan kerencaman pandangan.

Dalam khutbah yang disampaikan Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa Kamar di Masjid Kassim pagi tadi (29 Jun), beliau mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam mengutarakan perselisihan pendapat.

"Sekiranya kita mendapati sukar untuk bersetuju dengan sesuatu pendapat, kita seharusnya berusaha untuk memahami dahulu dan bukan cepat menghukum. Apatah lagi dengan mengucapkan kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah swt seperti mengherdik atau menggunakan kata-kata kesat," kata Dr Izal.

Beliau berkata jika perbezaan pendapat tidak dikawal dengan akhlak dan etika, ia akan menuju kepada fitnah dan perpecahan.

Dr Izal menegaskan, "Meskipun kita tidak menafikan hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, keinginan serta hasratnya. Akan tetapi,
jangan kerana kita ingin orang mendengar dan menerima pendapat kita, kita terlupa diri, sehingga mengabaikan aspek kesatuan antara
kita yang lebih diutamakan oleh agama"

Beliau juga berkata masyarakat perlu menumpukan pada persamaan dan usah terbawa-bawa dengan emosi.

Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa menyampaikan khutbah di Masjid Kassim. (Gambar: Syawal Yusoff)
"Daripada hanya menumpukan kepada perbezaan yang wujud, kita sepatutnya mencari titik-titik persamaan di antara kita. Inilah yang diajarkan oleh agama dan inilah yang menjadi akhlak para ulama terdahulu. Jangan biarkan syaitan menipu kita sehingga apa yang asalnya merupakan perbincangan intelektual dan ilmiah menjadi fitnah yang didasari hasad dan dengki, lalu menghasilkan permusuhan antara kita," tambah beliau.

Dr Izal juga menekankan peri pentingnya untuk meletakkan keutamaan sesuatu perkara pada kedudukannya yang sebenar.

Kata beliau, "Perkara yang sepatutnya diberikan keutamaan perlu diutamakan".

MAKMURKAN MASJID SEBAGAI PUSAT KEROHANIAN

Dalam khutbah bertajuk "Memelihara Kesatuan dan Perpaduan Sebagai Asas Keutamaan Hidup Beragama" itu, Dr Izal juga melahirkan harapan agar masyarakat dapat memakmurkan masjid.

"Perkara yang paling utama yang perlu kita berikan tumpuan ialah pengukuhan institusi keagamaan kita, atau lebih khusus lagi masjid kita. Ia bukan sahaja merupakan tempat untuk dilaksanakan solat berjemaah, bahkan masjid merupakan nadi dan pusat kegiatan keagamaan yang menyatukan ummah," katanya.

Beliau juga mengajak para jemaah untuk mengimbau sejenak waktu pandemik COVID-19 bila masjid-masjid ditutup.

Dr Izal berkata ianya mengingatkan masyarakat betapa pentingnya masjid dalam kehidupan seorang Muslim dan fungsinya sebagai pusat kerohanian yang menyatukan jemaah yang mengunjunginya.

"Oleh itu, adalah wajar untuk kita terus menyokong masjid-masjid kita dan memakmurkannya serta terus mengajak masyarakat untuk mendekatinya sebagai sebuah pusat kerohanian yang telah diwakafkan khas untuk memenuhi keperluan beribadah. Bahkan jemaah yang mengunjunginya boleh meraih ganjaran tambahan seperti pahala beriktikaf. Segala usaha gigih untuk memakmurkan masjid-masjid dan menjadikannya pusat kerohanian dan kesatuan bagi masyarakat perlu dipelihara," tegas Dr Izal.

Beliau mengingatkan para jemaah bahawa keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil usaha dan penghayatan generasi awal dulu tentang makna perpaduan.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan