Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat tempah imam tarawih ke rumah dapat sambutan menggalakkan

Khidmat tempah imam tarawih datang ke rumah dapat sambutan menggalakkan. Beit Quran menyatakan ia menerima 150 tempahan sedemikian sepanjang Ramadan ini, khususnya tempahan banyak bagi 10 malam terakhir Ramadan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Disebabkan pandemik COVID-19 dan pelbagai langkah pengurusan selamat, bilangan jemaah solat tarawih yang boleh ditampung masjid-masjid cukup terhad.

Akibatnya, ramai yang tidak dapat ke masjid untuk bertarawih.

Menyedari keperluan di sebalik batasan-batasan itulah, muncul khidmat tempahan imam datang ke rumah untuk memimpin solat tarawih seperti yang ditawarkan syarikat Beit Quran.

Para asatizah yang datang menawarkan khidmat itu di rumah pelanggan bukan sahaja memimpin solat tarawih, tetapi juga menyampaikan tazkirah Ramadan.

Beit Quran dipercayai syarikat penyedia sedemikian yang pertama muncul di negara ini.

DARI 8 KEPADA 15 IMAM DEK PERMINTAAN TINGGI

Ternyata, permintaan yang diterimanya cukup baik. Kumpulan yang bernaung di bawah syarikat Sangkar Emas itu sudahpun menerima sejumlah 150 tempahan sepanjang Ramadan sejauh ini.

Bagi 10 malam terakhir Ramadan ia sudah menerima sehingga 10 tempahan sehari. Malah ada juga yang menempah khidmat tersebut selama 30 hari sepanjang bulan ini.

"Hampir setiap hujung minggu kami ada dalam 5-6 'booking' (tempahan) ataupun permintaan. Hari-hari biasa kami ada 2-3 'booking'. Namun 15 Ramadan sampai akhir Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir, booking yang kami dapatkan 7-10.

"Kami ada keluarga yang ibu tunggal, ada keluarga yang berantai. Mungkin dia seorang anak lelaki, ataupun ada keluarga yang menjaga orang tua, ada yang bayi kecil, anak kecil yang mungkin tak sesuai untuk mereka bawa ke masjid," terang Pengarah Kreatif Sangkar Emas, Ustaz Ahmad Mundzir Jasmani tentang sebahagian daripada profil pelanggan-pelanggannya.

Disebabkan sambutan yang baik dari masyarakat, bermula dengan lapan imam, tenaga imam Beit Quran juga ditambah dan ia kini mempunyai 15 imam kesemuanya.

Yang penting kata Ustaz Mundzir, semua khidmat imam ditawarkan mengikut langkah-langkah selamat, dengan imam digantikan sekiranya beliau mengalami tanda-tanda selesema atau batuk.

"Jadi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. Seperti apa yang pemerintah tetapkan, lapan pelawat ke rumah, kami benarkan itu. 'Inclusive' atau termasuk imam-imam kami, kata Ustaz Mundzir.

JELASKAN MENGAPA PERLU BAYARAN

Sebenarnya, semasa khidmat ini dihebahkan ke media sosial menjelang Ramadan, ia pada awalnya menerima reaksi bercampur-baur dari sebilangan anggota masyarakat.

Pihak Beit Quran mengaku khidmat tersebut tidak sunyi daripada komen-komen yang tidak menyenangkan. Ini kerana Beit Quran mengenakan bayaran S$85 untuk mengimamkan solat. Sedangkan ada suara-suara sinis yang percaya khidmat tersebut sepatutnya percuma. Timbul pula tuduhan memperdagangkan agama kerana ia berbayar.

Ustaz Mundzir menjelaskan: "Kami perlu letakkan harga tersebut kerana kalau kita ada tempahan jauh di Tiong Bahru, dan imam tinggal di Woodlands atau di Tampines, kalau naik bas memanglah tak sampai, sebab itu kami ambil kira juga harga teksi ataupun Grab dalam harga tersebut."

Beit Quran menyatakan ia mendapat sokongan daripada "asatizah-asatizah senior" untuk menawarkan khidmat ini.

"Mereka memberi kami semacam dorongan untuk kami sambung program ini," kata Ustaz Mundzir lagi.
Semasa dihubungi pihak kami, pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menjelaskan pihaknya "tiada kedudukan rasmi" dalam hal ini yang "didorong permintaan pasaran". Dalam erti kata lain, MUIS juga tidak menolak tawaran perkhidmatan seperti ini.

Bagi Beit Quran, tidak semuanya berkisar kepada wang.

"Yang kalau betul-betul tak mampu, kami boleh berikan secara percuma, dan Alhamdulillah kami ada beberapa keluarga yang kami berikan secara percuma, dan Alhamdulillah mereka sangat-sangat berterima kasih," kata Ustaz Mundzir yang menambah bahawa keluarga sedemikian adalah dari golongan yang memerlukan.

"Kerana kami rasa semarak Ramadan itu tak perlu tertakluk kepada mereka yang hanya mampu bayar tetapi kepada semua insya-Allah." 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan