Skip to main content

Singapura

Khidmat psikiatri akut diperluas ke semua kelompok jagaan kesihatan penuhi permintaan meningkat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Jul 2025 06:28PM Dikemas Kini : 29 Jul 2025 01:04PM
  • Khidmat psikiatri akut akan diperluaskan kepada kesemua kelompok jagaan kesihatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat serta memberi akses lebih luas kepada pesakit.
  • Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan, gangguan kesihatan mental adalah di antara penyumbang utama beban penyakit di Singapura.
  • Kadar rakyat Singapura yang bersedia untuk mendapatkan bantuan pakar kesihatan mental meningkat kepada hampir 63 peratus pada 2023.
  • Panduan tersebut memberi tumpuan kepada pengurusan gejala kemurungan, keresahan dan kecenderungan untuk membunuh diri.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Khidmat psikiatri akut akan diperluaskan kepada kesemua kelompok jagaan kesihatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat serta memberi akses lebih luas kepada pesakit.

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan, gangguan kesihatan mental adalah di antara penyumbang utama beban penyakit di Singapura.

Kadar rakyat Singapura yang bersedia untuk mendapatkan bantuan pakar kesihatan mental meningkat kepada hampir 63 peratus pada 2023.

Ini berbanding sekitar 56 peratus pada tahun sebelumnya.

Demikian menurut laporan terkini Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS).

Bagi memenuhi jumlah lebih ramai orang memerlukan bantuan, MOH sedang meningkatkan saluran sokongan.

Menteri Negara Kanan Kesihatan, Dr Koh Poh Koon mengumumkan langkah tersebut di Persidangan Kesihatan Mental Singapura.

Dr Koh berkata: "Khidmat kesihatan mental di hospital akut kekal sebagai tempat rujukan utama dan penting bagi individu dengan keperluan kesihatan mental akut, yang perlukan jagaan pakar dan mereka yang berada dalam krisis."

Buat masa ini, wad jagaan psikiatrik disediakan di enam daripada 11 hospital awam tempatan, termasuk Institut Kesihatan Mental (IMH) dan Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Khidmat kesihatan mental bagi pesakit luar turut tersedia di IMH dan semua hospital akut yang lain.

Langkah terbaharu ini dijangka membantu mengurangkan stigma terhadap mereka yang menerima rawatan, terutama di IMH.

Sempena persidangan tersebut, panduan amalan baharu untuk karyawan bidang kesihatan mental turut dilancarkan.

Ia bertujuan menyeragamkan penilaian dan rujukan, berdasarkan gejala dan rawatan yang diperlukan pesakit.

Panduan tersebut memberi tumpuan kepada pengurusan gejala kemurungan,
keresahan dan kecenderungan untuk membunuh diri.

Pengarah Eksekutif, Filos Community Services Dr Foo Fung Fong berkata: "Saya fikir buku panduan ini berguna kerana ia menggalakkan kaedah yang seragam bagi seluruh sektor, dari penyedia khidmat masyarakat kepada penyedia jagaan kesihatan utama.

"Melalui kaedah seragam yang digunakan untuk menilai pesakit, kita boleh tempatkan mereka ke peringkat yang berbeza-beza."

Sebuah panduan mudah juga akan dilancarkan bagi membantu orang awam dengan mudah mengenal pasti jenis-jenis sokongan kesihatan mental yang tersedia.
 
Sumber : CNA/IQ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita