Skip to main content

Singapura

Khidmat 'personal shopper' kian popular, permintaan naik jelang musim perayaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kalau sebelum ini, mengirim barangan melalui media sosial kelihatan seperti sesuatu yang tidak dijangkakan.

Kini, dengan adanya perkhidmatan pembeli peribadi atau personal shopper, para pembeli boleh mendapatkan bantuan untuk memperoleh barangan tanpa perlu keluar rumah.

Perkhidmatan ini juga memudahkan pembelian, terutamanya apabila seseorang tidak mempunyai masa untuk membeli-belah di acara yang diadakan dalam tempoh terhad.

Situasi inilah yang pernah dialami oleh Cik Norasheila Sahlan ketika beliau dijangkiti Covid-19.

Dari situ, beliau mengambil keputusan untuk menyediakan khidmat pembeli peribadi.

"Saya bermula dalam bidang pembeli peribadi ini sekitar tahun 2023 apabila acara-acara telah kembali selepas Covid. Jadi pada waktu itu saya terkena jangkitan Covid dan saya tidak dapat pergi ke acara Twilight," kongsi Cik Norasheila.

"Jadi saya carilah pembeli peribadi yang boleh bantu saya untuk membeli barang tapi tak ada yang boleh bantu walaupun saya ingin memberi upah. Jadi dari situ saya fikir macam ini adalah idea yang baik untuk saya mulakan bidang pembeli peribadi," tambahnya lagi.

Menurut Cik Norasheila, beliau memberi tumpuan kepada jualan seperti pakaian dan makanan tahan lama kerana lebih mudah dibawa, memandangkan beliau biasanya berada di sesuatu acara sepanjang hari.
Related article image
Cik Norasheila memberi tumpuan kepada penjualan barangan seperti pakaian serta makanan tahan lama. (Gambar: Norasheila Sahlan)
Walaupun pelanggan tidak berada di lokasi, mereka memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Cik Norasheila untuk memilih barangan yang sesuai dengan kehendak mereka.

"Saya rasa bidang ni sangat sesuai untuk saya kerana apabila saya membeli barang untuk orang lain, saya rasa seperti saya sedang membeli-belah untuk diri saya sendiri dan bukan hanya sebagai seorang pembeli peribadi," kata Cik Norasheila.

"Kadang-kadang saya pun jadi seperti seorang penasihat fesyen atau penganalisis warna untuk para pelanggan. Apabila pelanggan saya mengirim barang, mereka akan memberi kepercayaan kepada saya untuk memilih warna atau corak baju untuk mereka," kata beliau lagi.

Beliau turut mengakui bahawa jumlah pesanan meningkat menjelang musim perayaan, dengan pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.

"Saya rasa dengan adanya Hari Raya Cina dan juga Hari Raya yang akan datang, ramai yang sangat sibuk bekerja atau tidak dapat keluar rumah untuk membeli sendiri. Jadi mereka akan menggunakan perkhidmatan saya," kata Cik Norasheila.

LEBIH PILIHAN, HARGA MAMPU MILIK DI LUAR NEGARA

Perkara ini turut diakui oleh seorang lagi pembeli peribadi, Cik Rosmini Zainal, yang menyatakan bahawa peranan pembeli peribadi adalah untuk membantu mereka yang sibuk dan tidak mempunyai masa untuk membeli-belah.

"Kadang-kadang memang sukar untuk keluar mencari baju Raya, lebih-lebih lagi apabila dalam keadaan tergesa-gesa atau pada saat akhir. Di sinilah peranan pembeli peribadi, di mana kami membantu mencarikan baju Raya. Bukan sahaja untuk orang dewasa, tetapi juga untuk kanak-kanak, termasuk anak-anak mereka," kata Cik Rosmini.

Cik Rosmini, yang sebelum ini menjual barangan stok seperti pakaian, memulakan perjalanan sebagai pembeli peribadi sejak tahun 2024.
Related article image
Cik Rosmini telah ke Indonesia baru-baru ini bagi mendapatkan barangan untuk persiapan Hari Raya yang akan datang. (Gambar: Rosmini Zainal)
Beliau telah menjalankan perkhidmatan ini selama kira-kira setahun dan sangat meminati kerjaya tersebut kerana berpeluang menjelajah ke negara lain serta memperkenalkan pelbagai jenama luar negara kepada pelanggan.

Antara negara yang pernah dikunjungi ialah China, Thailand, Vietnam dan Indonesia, bagi mendapatkan pelbagai barangan seperti pakaian, makanan, solekan dan produk kosmetik sebagai alternatif yang lebih pelbagai dan berpatutan.

"Kami cuba mendapatkan barangan yang tidak ada di Singapura. Tambahan pula, keadaan ekonomi kini agak tinggi dan harga pasaran juga mahal. Oleh itu, ada pelanggan yang mencari pilihan yang lebih mampu milik, dan kami berusaha untuk mengekalkan harga yang berpatutan," kongsi Cik Rosmini.

Malah, beliau juga melihat peningkatan pesanan ketika berada di Indonesia selama 10 hari baru-baru ini.

"Semasa saya berada di Indonesia selama kira-kira 10 hari pada bulan Ramadan, ia agak luar jangkaan kerana ramai juga yang membeli baju Raya. Ini kerana saya lebih memberi tumpuan kepada baju Raya, kasut Raya dan beg Raya," kata Cik Rosmini.

Menurut beliau, perkara ini didorong oleh harga yang lebih mampu dimiliki berbanding di Singapura.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa tugas sebagai pembeli peribadi mempunyai cabarannya tersendiri.

"Sebagai seorang pembeli peribadi, sudah tentu ia memang mencabar dan juga agak memenatkan. Ini kerana kita perlu belajar, bukan sahaja menjual tetapi juga memahami perniagaan di Indonesia. Perniagaan tersebut sudah berapa lama beroperasi ataupun sudah berapa lama mereka menghasilkan produk mereka. Dari situ, kita cuba untuk memasarkan jenama tempatan dari Indonesia," kata Cik Rosmini.

Namun begitu, beliau menyifatkan pekerjaan ini sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan memberi kepuasan kepada beliau kerana dapat membantu pelanggan daripada pelbagai latar belakang.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita