Khidmat perbualan teks AWARE sediakan lebih banyak sokongan kepada mangsa dera, keganasan
Wanita mangsa dera atau yang terkait dengan situasi ganas kini mempunyai satu lagi wadah untuk mendapatkan bantuan

(Gambar ilustrasi: Ngau Kai Yan)
SINGAPURA: Wanita mangsa dera atau yang terkait dengan situasi ganas kini mempunyai satu lagi wadah untuk mendapatkan bantuan selepas Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) melancarkan satu khidmat online baru hari ini (8 Mei).
Khidmat baru itu merupakan satu lanjutan kepada talian bantuan untuk wanita yang sudah disediakan AWARE sejak sekian lama.
Khidmat berbentuk perbualan sembang itu diperkenalkan setelah AWARE mengumumkan minggu lalu bahawa pihaknya menerima jumlah panggilan yang mencecah 'paras rekod' sejak pandemik COVID-19 tercetus di sini.
"Dengan orang ramai dikehendaki duduk di rumah semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan ini, wanita yang menjadi mangsa dera lebih berkemungkinan dianiaya oleh suami mereka, pasangan atau anggota keluarga, tanpa peluang untuk melindungi diri mereka yang sebelum ini dapat berlindung di sebalik pekerjaan, sekolah atau aktiviti harian yang lain," menurut AWARE dalam kenyataan medianya.
Mangsa yang tertekan boleh menekan pautan pada laman web AWARE dan mengadakan janji temu selama 30 minit bersama dengan seorang relawan atau kakitangan terlatih.
Sesi tersebut dibuka antara jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang dari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.
Khidmat tersebut akan menggunakan fungsi perbualan teks dan bukan fungsi video atau audio yang disediakan oleh Zoom. Mereka yang mahu merahsiakan identiti mereka boleh berbuat demikian dengan menggunakan nama samaran.
Khidmat perbualan teks online itu akan menyediakan sokongan yang sama dengan talian bantuannya. Sokongan emosi, maklumat praktikal, rujukan kepada para kaunselor AWARE dan klinik khidmat guaman serta nasihat daripada sumber-sumber lain - dari pusat perlindungan krisis hingga ke Mahkamah Keadilan Keluarga - turut disediakan.
Khidmat baru itu dilancarkan setelah talian bantuan AWARE menerima sebanyak 619 panggilan yang meminta bantuan pada bulan Mac, iaitu yang tertinggi dalam tempoh sebulan sejak talian bantuan AWARE itu diperkenalkan 29 tahun yang lalu.
Panggilan-panggilan yang diterima termasuk kiriman mesej WhatsApp, emel, mereka yang mendapatkan bantuan secara langsung dan juga mereka yang dirujukkan kepada AWARE.
AWARE juga menerima sebanyak 43 panggilan pada 14 April lalu, jumlah tertinggi dalam tempoh sehari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.