Skip to main content

Singapura

Khidmat penumpang Laluan RTS JB-SG ditangguhkan, dijangka bermula Feb 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat penumpang Laluan RTS JB-SG ditangguhkan, dijangka bermula Feb 2027

Rel sedang menjalani ujian bagi Laluan RTS Johor Bahru-Singapura pada 15 Jun 2026. (Gambar fail: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 06:42PM
  • Perkhidmatan penumpang Laluan RTS Johor Bahru-Singapura kini dijangka bermula pada Februari 2027, bukan akhir 2026, menurut LTA Singapura dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
  • RTSO memerlukan masa tambahan untuk melengkapkan ujian akhir, operasi percubaan, pensijilan keselamatan bebas dan kelulusan kawal selia sebelum operasi dibuka.
  • Laluan 4 kilometer antara Woodlands North dan Bukit Chagar itu dijangka membawa sehingga 10,000 penumpang sejam setiap arah dengan perjalanan sekitar lima minit.
  • Projek yang diumumkan pada 2010 pernah digantung dan disambung semula, dengan harapan mengurangkan kesesakan Koswe serta menyokong pelancongan, runcit dan makanan.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Perkhidmatan penumpang Laluan RTS Johor Bahru-Singapura kini dijangka bermula pada Februari 2027 berbanding sasaran asal untuk memulakan operasi menjelang akhir 2026.

Lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan ujian, mendapatkan pensijilan keselamatan bebas dan kelulusan kawal selia sebelum perkhidmatan rel rentas sempadan itu boleh dibuka, menurut pihak berkuasa Singapura dan Malaysia pada Jumaat (2 Okt).

Dalam kenyataan bersama, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Kementerian Pengangkutan Malaysia menyatakan bahawa RTS Operations (RTSO), iaitu pengendali rangkaian rel itu, sudah memaklumkan mereka mengenai garis masa yang disemak semula.

Kedua-dua pihak menambah bahawa sasaran Februari 2027 masih tertakluk kepada pensijilan keselamatan bebas dan kelulusan akhir pihak berkuasa.

Kerja-kerja prasarana di kedua-dua belah sempadan sebahagian besarnya sudah siap dan kekal mengikut jadual untuk menyokong perkhidmatan penumpang sebaik sahaja baki aktiviti ujian dan pentauliahan selesai dengan memuaskan.

Rangkaian rel sepanjang 4 kilometer itu, yang akan menghubungkan stesen Woodlands North di Singapura dengan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru, sebelum ini dijangka memulakan perkhidmatan pada penghujung 2026.

RTSO kini menjangkakan dapat menyelesaikan ujian sistem akhir dan operasi percubaan menjelang 31 Disember 2026.

Ia kemudian perlu mendapatkan pensijilan keselamatan daripada penilai keselamatan bebas. Pihak berkuasa kedua-dua negara akan menilai pensijilan tersebut sebelum kelulusan kawal selia untuk memulakan operasi penumpang diberikan.

Dalam kenyataan berasingan, RTSO menyatakan tempoh yang dijangka diperlukan untuk menyiapkan baki kerja, selain masa yang diperlukan bagi pensijilan keselamatan pihak ketiga dan kelulusan, bermakna perkhidmatan penumpang kini dijangka bermula pada Februari 2027.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai di Laluan RTS,” tambahnya.

Apabila beroperasi, perkhidmatan rel rentas sempadan itu mempunyai kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan perjalanan antara kedua-dua stesen dijangka mengambil masa sekitar lima minit.

Kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin akan ditempatkan bersama di kedua-dua stesen, membolehkan penumpang menjalani pemeriksaan imigresen di tempat mereka.

TERLEPAS SASARAN, PROJEK DIGANTUNG

Rancangan bagi Laluan RTS pertama kali diumumkan pada 2010 sebagai projek bersama antara Singapura dan Malaysia.

Kedua-dua negara memeterai perjanjian yang mengikat dari segi undang-undang pada Januari 2018, dengan projek itu pada awalnya dijadualkan siap menjelang 31 Disember 2024.

Tarikh akhir itu kemudiannya ditangguhkan selepas beberapa sasaran tidak tercapai dan projek tersebut digantung pada April 2019 atas permintaan Malaysia untuk membolehkan negara tersebut menilai semula projek berkenaan.

Kerja-kerja disambung semula secara rasmi pada Julai 2020, dengan beberapa perubahan utama kepada projek tersebut, termasuk perubahan pada depot di pihak Malaysia.

Projek itu menyelesaikan operasi percubaan pertamanya pada Disember 2025. Pada pertengahan Ogos tahun ini, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata stesen dan prasarana rel di pihak negaranya sudah siap, manakala fasa ujian akhir sedang dijalankan.

Pihak berkuasa berharap rangkaian rel baharu itu dapat melancarkan keadaan trafik di Koswe, yang merupakan antara lintasan sempadan paling sibuk di dunia.

Ia juga dijangka memberi kesan ketara dari segi ekonomi, mempengaruhi perbelanjaan pengguna, aliran pelancongan serta daya saing perniagaan dalam sektor runcit serta makanan dan minuman.

Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita