Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat PCR di rumah rancak dek VTL; ada syarikat penuh ditempah hingga Jan 2022

Permintaan bagi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang dilakukan di rumah sebelum berangkat ke luar negara, mendapat sambutan memberangsangkan sempena musim cuti sekolah ini, sedang Singapura membuka lebih 20 Laluan Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksin (VTL). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Permintaan bagi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang dilakukan di rumah sebelum berangkat ke luar negara, mendapat sambutan memberangsangkan sempena musim cuti sekolah ini, sedang Singapura membuka lebih 20 Laluan Perjalanan bagi Penumpang Sudah Divaksin (VTL).

Ujian tersebut bertujuan mengesan virus COVID-19.

Tinjauan BERITAmediacorp mendapati, ada syarikat sudah penuh slotnya hingga Januari 2022 dan ada yang melihat permintaannya kini menjulang sehingga 75 peratus.

SPEEDOC TAWARKAN HARGA LEBIH 'BERBALOI' JIKA LAKUKAN PDT SEKELUARGA

Antara sekurang-kurangnya tujuh syarikat jagaan kesihatan yang menawarkan khidmat ujian PCR dari rumah itu ialah Speedoc.

Ia menawarkannya pada harga hampir S$200 seorang. Bagaimanapun harganya turun kepada S$146 seorang jika empat orang serumah melakukannya.

Bagi Speedoc, pelanggannya boleh mendapat keputusan ujian seawal empat jam hingga 20 jam selepas ujian di rumah itu. Hasil ujian kemudian dihantar melalui emel dan akan tertera di aplikasi Health Hub.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Speedoc mendedahkan pihaknya mengendalikan sehingga 50 permintaan ujian PCR sebelum keberangkatan (PDT) yang dilakukan di rumah setiap hari. Kebanyakan mereka adalah dari kalangan peniaga dan invidividu yang mahu pulang bertemu keluarga.

"Respons agak tinggi. Jadi permulaan daripada VTL ini, iaitu dalam dua bulan yang lepas sehingga sekarang, ada nampak kenaikan dalam 75 peratus dan kami juga melakukan PDT di klinik kami yang terletak di Alexandra Road.

"80% pelanggan kami memilih untuk melakukan ujian sebelum keberangkatan ini di rumah mereka sendiri," kata Pengurus Jururawat syarikat itu, Encik Khairul Hakim Abdul Hamid.

Menurut Speedoc lagi, dengan permintaan yang kian meningkat, pasukan pegawai swab yang seramai 10 orang buat masa ini perlu berkejar dengan masa dan trafik untuk memenuhi semua janji temu yang ditetapkan.

Oleh kerana perlu memakai alat perlindungan peribadi (PPE) tiap kali memasuki rumah pelanggan, Encik Khairul berkongsi terkadang perlu berdepan dengan jiran tetangga pelanggan yang menyangka ia kes COVID-19.

"Kami harus memakai PPE daripada luar rumah. Jadi ianya mungkin menarik perhatian daripada masyarakat. Adakah orang yang ini mempunyai COVID-19 kerana melihat anggota seperti kami memakai PPE sebelum memasuki ke rumah mereka?

"Jadi kami harus menerangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian untuk menjaga keselamatan kami dan juga keselamatan diri mereka juga," jelas Encik Khairul.

Antara pelanggan Speedoc yang mengambil khidmat itu ialah Encik Marcus Tan. Selepas hampir dua tahun tidak ke luar negara, Encik Tan antara rakyat Singapura yang tidak sabar untuk melancong semula.

Dengan jadualnya yang padat, dia memilih untuk melakukan PDT dalam keselesaan rumahnya sendiri - bukan di klinik. Ibu bapa Encik Tan juga mengambil ujian itu secara serentak.

Yang pasti ada beberapa pertimbangan lain mengapa dia mengambil khidmat itu selain daripada faktor keselesaan tidak perlu keluar rumah.

"Kami tidak pasti kalau kami ke klinik ada pesakit lain yang mungkin sakit (COVID-19). Dan kedua kami juga tidak pasti berapa lama perlu tunggu. Jadi saya fikir kemudahan memilih masa dan mendapatkan petugas datang kepada anda adalah lebih pantas," kata Encik Tan yang ke Malaysia selama lapan hari selepas ujian itu untuk menghadiri satu sidang perniagaan.

Lebih memuaskan lagi kata Encik Tan, syarikat penyedia berkenaan juga membantunya memastikan bahawa ujian itu berada dalam tempoh 48 jam sebelum penerbangan.

ACUMEN DIAGNOSTICS BUAT 100 KUNJUNGAN KE RUMAH SEHARI

Syarikat Acumen Diagnostics pula menyaksikan sehingga 100 janji temu sehari ke rumah pelanggan bagi khidmat PCR itu sejak ia mula ditawarkan awal November.

Malah ia memberitahu BERITAmediacorp, permintaan begitu baik sehingga slot-slotnya sudah penuh ditempah sehingga Januari 2022.

Menariknya, di kalangan syarikat-syarikat yang menawarkan khidmat sebegini di Singapura, Acumen menawarkan harga terendah iaitu S$138 seorang.

Ini boleh disifatkan berbaloi kerana harga ujian PCR yang dijalankan di klinik-klinik atau pusat-pusat perubatan adalah antara S$100 hingga S$200 setiap satu.

Jadi mengapa ia mampu menawarkan harga yang cukup bersaing seperti itu?

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Saintis Acumen Diagnostics, Dr Ong Siew Hua menjelaskan:

"R&D (kajian dan pengembangan) menghasilkan kit-kit ujian, pembuatan, semuanya dilakukan di Singapura oleh kakitangan kami. Ujian klinikal makmal, logistik untuk menghantar sampel, para pegawai swab yang melakukan swab, semuanya kakitangan Acumen, semuanya dibawah satu bumbung.

"Jadi kami ada ekonomi skala untuk dimanfaatkan klien-klien kami."

Khidmat itu juga ditawarkan kedua-dua syarikat 24 jam sehari.

Bagi Encik Simon Monteiro yang perlu kerap berulang alik ke luar negara dek tugasnya dalam bidang hartanah, jumlah masa yang boleh dijimatkan adalah faktor penting baginya menggunakan khidmat PCR di rumah itu.

"Ia menjimatkan masa perjalanan saya, meletak kereta, dan menunggu di klinik. Dengan mereka datang ke rumah saya, saya boleh melakukan perkara lain. Sebab apabila mereka datang, ia sangat jelas," kata Encik Monteiro.

Antara pegawai swab di Acumen Diagnostics ialah Cik Nurain Abdul Rahman yang melakukan lebih 20 ujian swab dari rumah-ke-rumah. Dia melakukan ujian itu secara solo setiap hari.

"Perbezaan ialah di rumah pelanggan kita mesti segera mendapatkan tempat bersih untuk melakukan swab sebab kita harus memakai PPE dan juga mendapatkan tempat yang sesuai untuk melakukannya.

"Kalau di klinik memang sudah ada khas tempatnya untuk melakukan. Tapi di rumah agak sukar pasal ada rumah yang sempit, ada rumah yang tidak bersih," kata Cik Nurain.

Jadi kalau sesebuah rumah itu tidak bersih, ini boleh menjadi suatu masalah.

Selain itu, kadangkala timbul pelaksanaan PCR tidak licin jika pelanggan tidak menyiapkan keterangan dan maklumat seperti pasport dan kad pengenalan kerana semua itu boleh membuang masa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan