Skip to main content

Singapura

Khidmat MRT Tanah Merah-Tampines dijangka beroperasi semula 11 Dis; 40% kerja sudah selesai

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Dec 2024 06:03PM Dikemas Kini : 08 Dec 2024 10:23PM
SINGAPURA: Kerja-kerja di bahagian Laluan Timur-Barat (EWL) di mana khidmat MRT digantung sejak Sabtu (7 Dis) sudah 40 peratus siap, dengan khidmatnya dijangka disambung semula pada Rabu depan (11 Dis), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

"Sekitar 100 jurutera dan kontraktor LTA dan SMRT telah bekerja sejak pukul 1.00 pagi semalam untuk menggantikan landasan MRT sedia ada dengan landasan baharu," kata Pengarah Kumpulan Rel (Elektrik dan Mekanikal) LTA Chia Choon Poh.

Kerja-kerja tersebut adalah untuk persimpangan yang menghubungkan landasan baharu yang menuju dari Depoh Bersepadu East Coast (ECID) dengan landasan-landasan lain di EWL.

"Setakat ini, kami sudah menanggalkan landasan sedia ada. Kami juga sudah menanggalkan peralatan sedia ada. Kami sudahpun memasang landasan baharu. Dan setakat pagi ini, kami telah menyelesaikan semua kerja kimpalan untuk sambungan rel," tambah Encik Chia semasa melakukan lawatan ke tapak kerja bersama pihak media pada Ahad (8 Dis).

Para wartawan juga telah ditunjukkan kerja-kerja yang sedang dijalankan di jejambat Tanah Merah, agak jauh dari ECID.

Buat masa ini, para pekerja masih memasang peralatan, yang melibatkan pemasangan rel ketiga, peralatan isyarat dan kabel bekalan tenaga.

Encik Chia berkata kerja-kerja sedang berjalan mengikut jadual.

Kerja-kerja yang dijalankan pada segmen EWL adalah sebagai persediaan untuk pembukaan ECID pada tahun 2026.

LTA sebelum ini menyatakan bahawa kerja-kerja yang dijalankan itu perlu dilaksanakan kerana sambungan EWL ke ECID memerlukan masa untuk menyelesaikan kerja-kerja tersebut.

ECID baharu, yang disebut-sebut sebagai depoh empat dalam satu pertama di dunia, akan menempatkan tiga depoh MRT yang disusun di atas satu sama lain bersama satu depoh bas, semuanya dalam satu lokasi. Ia akan dapat memuatkan sehingga 220 MRT dan lebih 500 bas.

Kerja-kerja luaran untuk depoh itu sudah 98 peratus siap, manakala kerja-kerja dalaman, seperti pemasangan landasan MRT, berada pada tahap 83 peratus siap.

Para penumpang boleh menjangkakan lebih banyak pelarasan khidmat MRT pada tahun depan dan 2026 apabila kerja-kerja pemasangan untuk depoh baharu selesai kelak.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita