Khidmat MRT Laluan Timur-Barat pulih susuli gangguan 5 jam
Penumpang di stesen Jurong East station menunggu MRT menghala ke bandar semasa gangguan khidmat di Laluan Timur-Barat pada 6 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Justin Ong)
- Khidmat MRT di Laluan Timur-Barat sudah pulih selepas mengalami gangguan selama lima jam pada Rabu pagi (6 Ogos).
- Kerosakan pada suis penukar landasan yang menyebabkan kelengahan diselesaikan pada 10.58 pagi, dan khidmat MRT disambung semula pada 11.05 pagi.
- Presiden SMRT Trains, Lam Sheau Kai, berkata kerosakan berpunca daripada mesin suis berhampiran stesen Jurong East.
- “Bagi memastikan keselamatan operasi, MRT dipandu perlahan apabila melalui mesin suis yang rosak ini,” kata Encik Lam, sambil menambah bahawa perkhidmatan MRT di bahagian lain Laluan Timur-Barat masih berjalan seperti biasa dalam kedua-dua arah.
Menurut pengendali pengangkutan SMRT, kerosakan pada suis penukar landasan yang menyebabkan kelengahan diselesaikan pada 10.58 pagi, dan khidmat MRT disambung semula pada 11.05 pagi.
Kerosakan tersebut mula dilaporkan sekitar pukul 6.00 pagi dan para penumpang yang melakukan perjalanan dari Boon Lay ke Buona Vista ke arah Pasir Ris dinasihatkan supaya menambah 25 minit kepada masa perjalanan mereka.
Perkhidmatan bas biasa percuma dan bas penghubung percuma yang disediakan kini sudah ditamatkan.
Penumpang turut dinasihatkan supaya memuat turun 'e-Travel Chit' sebagai bukti perjalanan sekiranya perjalanan mereka terjejas.
SMRT pada awalnya mengeluarkan amaran pada pukul 6.03 pagi agar penumpang menambah 15 minit masa perjalanan antara Boon Lay ke Clementi.
Pada pukul 7.17 pagi, amaran itu dikemas kini kepada kelengahan selama 25 minit antara Boon Lay dan Buona Vista.
Kemas kini lanjut pada pukul 9.42 pagi menyatakan bahawa kelengahan masih kekal selama 25 minit.
Semasa Mediacorp berada di stesen Jurong East pada pukul 8.30 pagi, orang ramai dilihat menunggu MRT menuju ke arah bandar.
Barisan terbentuk di setiap pintu apabila MRT tiba.
Setiap MRT berhenti selama beberapa minit di platform ketika pintu skrin terbuka dan tertutup beberapa kali.
MRT kemudian dilihat bergerak perlahan.
Kakitangan stesen dilihat membantu penumpang dan menerangkan situasi kepada mereka.
Pada pukul 8.45 pagi, MRT mula tiba dengan lebih kerap dan bergerak lebih cepat.
Kelihatan beberapa MRT beratur menunggu giliran untuk masuk ke platform dan mengambil penumpang di stesen Jurong East.
Barisan penumpang juga mula berkurangan apabila lebih ramai berjaya menaiki MRT.
Pada pukul 9.15 pagi, Mediacorp memerhati MRT mula bergerak dari Jurong East pada kadar yang lebih pantas, walaupun masih terdapat beberapa MRT yang menunggu untuk memasuki stesen.
Jumlah orang ramai juga mula berkurangan, mungkin disebabkan tamatnya waktu sibuk.
Apabila Mediacorp menaiki MRT dari Jurong East ke Buona Vista pada pukul 9.30 pagi, MRT tersebut bergerak perlahan dan beberapa kali berhenti di tengah perjalanan.
Kelajuan normal kembali seperti biasa berhampiran stesen Clementi, dan MRT beroperasi seperti biasa selepas itu.
Perjalanan dari Jurong East ke Buona Vista yang biasanya mengambil masa 9 minit, kali ini mengambil masa kira-kira 16 minit.
Presiden SMRT Trains, Lam Sheau Kai, berkata kerosakan berpunca daripada mesin suis berhampiran stesen Jurong East.
Mesin suis ini berfungsi untuk mengawal pergerakan MRT di persimpangan apabila MRT itu bertukar landasan.
“Bagi memastikan keselamatan operasi, MRT dipandu perlahan apabila melalui mesin suis yang rosak ini,” kata Encik Lam, sambil menambah bahawa perkhidmatan MRT di bahagian lain Laluan Timur-Barat masih berjalan seperti biasa dalam kedua-dua arah.
“Kami mohon maaf kerana menjejas perjalanan pagi anda.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.