Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat MRT Laluan Timur-Barat disambung semula sepenuhnya pada 1 Okt

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Sep 2024 08:01PM Dikemas Kini : 02 Oct 2024 05:26AM
SINGAPURA: Perkhidmatan MRT di Laluan Timur-Barat (EWL) akan disambung semula sepenuhnya bermula dari waktu operasi pada Selasa (1 Okt), hampir seminggu selepas kereta api rosak menyebabkan gangguan bekalan tenaga dan kerosakan pada landasan mahupun peralatan lain.

Ini selepas segmen-segmen rel yang baru retak sudahpun berjaya digantikan, jelas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali kereta api SMRT pada Isnin (30 Sep).

"LTA mahupun jurutera dan teknisyen SMRT sudah berjaya menggantikan 10 segmen rel yang mengalami keretakan baharu, setakat malam tadi. Mereka kemudian bekerja sepanjang malam untuk menjalankan ujian menyeluruh terhadap trek dan peralatan di tepi landasan," menurut LTA dan SMRT dalam satu kenyataan media bersama.

"Ini merangkumi satu sistem ujian fungsi dan keselamatan pada trek, bekalan kuasa, dan sistem isyarat kereta api. Beberapa ujian beban dan pemeriksaan ultrabunyi juga dijalankan di trek, disusuli dengan ujian ketahanan menggunakan kereta api penumpang yang diisi dengan beg pasir.

"Kami menjalankan pemeriksaan keselamatan ini dengan teliti demi menjamin keselamatan penumpang, sebelum kami menyambung semula sepenuhnya perkhidmatan penumpang."

LTA dan SMRT menambah, atas sebab-sebab keselamatan, had kelajuan akan dibataskan buat sementara waktu (TSR) bagi kereta api yang beroperasi di bahagian barat dan melalui bahagian trek yang sudah diperbaiki.

"Ini adalah sebahagian daripada proses standard selepas rel digantikan, di mana kereta api akan bergerak dengan lebih perlahan pada kelajuan 40km sejam," terang LTA dan SMRT.

"TSR akan dikenakan selama tiga hari, sehingga Khamis, 3 Okt. Kami menasihati penumpang yang melakukan perjalanan ke barat di Laluan Timur-Barat agar menambah lima minit kepada waktu perjalanan masing-masing."

LTA dan SMRT meluahkan penghargaan kepada pekerja mereka "yang telah bekerja siang malam untuk menyelesaikan kerja-kerja pembaikan dan ujian agar perkhidmatan kereta api dapat disambung semula sepenuhnya."

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan pengendali bas di lapangan, polis serta para relawan atas usaha mereka, dan penumpang atas kesabaran mereka.

Gangguan perkhidmatan MRT bermula Rabu lalu (25 Sep) selepas sebuah kereta api yang rosak menyebabkan gangguan bekalan tenaga dan kerosakan pada trek serta peralatan lain.
PEMULIHAN TERTANGGUH

Pihak berkuasa sebelumnya menyatakan ia sedang berusaha untuk menyambung semula sepenuhnya perkhidmatan pada Isnin (30 Sep).

Namun, tarikh sasaran diubah kepada Selasa (1 Okt) setelah LTA dan SMRT melaporkan keretakan baharu yang muncul pada segmen rel semasa menjalankan ujian tekanan pada hujung minggu.

Sebanyak 12 keretakan baharu ditemui pada segmen rel yang belum diganti dan terjejas oleh kereta api yang rosak pada Rabu (25 Sep).

Maka itu, jurutera LTA dan SMRT memerlukan lebih banyak masa untuk menggantikan 10 segmen rel pada Ahad (29 Sep) sebelum menjalankan lebih banyak ujian tekanan.

Keretakan baharu dikesan di trek sepanjang 800m, dari stesen Clementi menghala ke Depoh Ulu Pandan.

Secara keseluruhan, 46 keretakan dikesan sejauh ini, meliputi jarak 2.55km antara stesen Dover hingga melangkaui stesen Clementi.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan