Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat MRT Laluan Timur-Barat disambung semula hari ini susuli gangguan selama 6 hari

Khidmat MRT antara Stesen MRT Jurong East dan Buona Vista disambung semula pada pagi Selasa (1 Okt) selepas mengalami gangguan selama enam hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat MRT Laluan Timur-Barat disambung semula hari ini susuli gangguan selama 6 hari

Penumpang di stesen MRT Buona Vista pada 1 Okt, 2024 selepas perkhidmatan kereta api disambung semula. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 01 Oct 2024 07:31AM Dikemas Kini : 01 Oct 2024 10:16AM
SINGAPURA: Perkhidmatan MRT antara Stesen MRT Jurong East dan Buona Vista disambung semula pada pagi Selasa (1 Okt) selepas mengalami gangguan selama enam hari.

Semasa Mediacorp mengunjungi Stesen MRT Buona Vista dan Boon Lay pada sekitar pukul 6.30 pagi, operasi berjalan lancar dan kakitangan SMRT dilihat membantu dan menjawab pertanyaan sesetengah penumpang.
 
Keadaan di stesen MRT Buona Vista yang semakin sibuk jelang masuk waktu kerja, pada 1 Okt, 2024. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Mereka bertanya sama ada perkhidmatan MRT telah disambung semula sepenuhnya sebelum meneruskan perjalanan mereka.

Gangguan perkhidmatan MRT bermula Rabu lalu selepas kereta api yang rosak menyebabkan gangguan kuasa dan kerosakan pada landasan serta peralatan lain.

Pada petang Isnin, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali MRT, SMRT mengumumkan bahawa pwekhidmatan di Laluan Timur-Barat akan disambung semula pada Selasa, selepas berjaya menggantikan 10 segmen rel yang mengalami keretakan baharu.

Ujian menyeluruh ke atas peralatan kereta api dan tepi landasan juga dijalankan untuk memastikan keselamatan penumpang, sebelum perkhidmatan MRT disambung semula sepenuhnya.
Kereta api menghala ke timur tiba di stesen MRT Buona Vista pada 1 Okt, 2024. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Atas sebab keselamatan, kelajuan MRT diperlahankan buat sementara waktu sehingga Khamis, ke atas kereta api menghala ke barat yang bergerak di bahagian landasan yang dibaiki.

"Ini adalah sebahagian daripada proses standard berikutan penggantian rel, di mana kereta api akan bergerak lebih perlahan pada kelajuan 40kmj," menurut LTA dan SMRT.
"Kami menasihatkan penumpang yang melakukan perjalanan ke barat di Laluan Timur-Barat untuk menambah lima minit pada masa perjalanan mereka."

APA YANG BERLAKU SEMASA GANGGUAN

Pihak berkuasa pada mulanya berkata mereka sedang berusaha ke arah pemulihan penuh khidmat MRT pada Isnin (30 Sep).

Bagaimanapun, tarikh tersebut ditangguhkan ke Selasa selepas keretakan baharu muncul pada segmen rel semasa ujian tekanan dijalankan pada hujung minggu lalu.
 
(Gambar: CNA/Abigail Ng)

12 keretakan baharu dikesan pada segmen rel yang tidak diganti yang turut terjejas akibat kereta api yang rosak minggu lalu. Keretakan-keretakan itu ditemui di sepanjang 800m selepas Stesen Clementi menghala ke Depot Ulu Pandan.

Para jurutera menggantikan segmen rel pada Ahad sebelum menjalankan ujian tekanan lanjut.

Selepas gangguan MRT berlaku pada Rabu lalu, para jurutera pada mulanya menemui 34 keretakan di sepanjang 1.6km antara Stesen MRT Dover dan Clementi.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan