Skip to main content

Singapura

Khidmat MRT Laluan Timur-Barat akan disambung semula pada 8 Dis

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Dec 2025 07:16PM Dikemas Kini : 26 Dec 2025 12:45AM
SINGAPURA: Khidmat MRT biasa akan disambung semula di Laluan Timur-Barat (EWL) pada Isnin (8 Dis), sehari lebih awal daripada jadual.

Khidmat MRT tidak beroperasi antara stesen Bedok dan Tampines, serta antara stesen Tanah Merah dan Expo sejak 29 November. Ini adalah untuk memudahkan kerja-kerja penyambungan landasan ke Depoh Bersepadu East Coast yang baharu.

Kerja-kerja tersebut dijangka siap menjelang Isnin, dengan khidmat biasa disambung semula menjelang 9 Dis.

Dalam kemas kini pada Ahad (7 Dis), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan bahawa khidmat MRT biasa akan disambung semula pada Isnin (8 Dis) pada permulaan waktu khidmat penumpang.

"Kami telah memasang landasan baharu untuk menghubungkan EWL ke Depoh Bersepadu East Coast dan ke platform baharu di Stesen Tanah Merah," katanya dalam catatan Facebook.

"Kami telah menyelesaikan ujian komprehensif, termasuk pemeriksaan keselamatan dan ultrasonik pada landasan, bekalan tenaga dan sistem isyarat MRT," tambah kenyataan tersebut.

Penutupan itu adalah sebahagian daripada fasa kedua untuk menghubungkan EWL ke Depoh Bersepadu East Coast. Fasa ini melibatkan 12 tapak kerja, berbanding hanya satu semasa fasa pertama pada Disember tahun lalu, yang menyaksikan penggantungan khidmat selama tiga hari.

Kerja-kerja tersebut termasuk menyambungkan landasan baharu kepada landasan sedia ada, menanggalkan dan memendekkan landasan, dan memasang hentian penampan untuk menghalang MRT daripada bergerak melepasi hujung laluan.

Laluan sepanjang 4.8km itu memerlukan penutupan tanpa gangguan bagi memastikan pemasangan yang selamat.

LTA sebelum ini menyatakan bahawa menghubungkan EWL ke depoh tersebut akan menyumbang kepada keandalan keseluruhan rangkaian MRT dengan menyediakan titik pelancaran alternatif untuk MRT. Ini akan membolehkan fleksibiliti yang lebih besar dalam melaraskan perkhidmatan dan bertindak balas terhadap insiden, katanya lagi.

Setelah siap, depoh itu akan menyediakan perkhidmatan kepada EWL, Laluan Thomson-East Coast dan Laluan Downtown, mengintegrasikan tiga depoh MRT dan satu depoh bas.

Depoh Changi, yang kini menyediakan perkhidmatan kepada EWL, akan diberhentikan sepenuhnya dalam fasa terakhir kerja pada separuh pertama tahun depan, dengan operasi dipindahkan sepenuhnya ke Depot Bersepadu East Coast.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita