Skip to main content

Singapura

Khidmat MRT Laluan Thomson-East Coast disambung semula susuli gangguan akibat kerosakan sistem isyarat

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat MRT Laluan Thomson-East Coast disambung semula susuli gangguan akibat kerosakan sistem isyarat

Kerosakan sistem isyarat menyebabkan kelengahan di Laluan Thomson-East Coast pada pagi 17 September 2025. (Gambar: CNA/Alvin Chong)

Diterbitkan : 17 Sep 2025 08:35AM Dikemas Kini : 17 Sep 2025 09:22AM

SINGAPURA: Khidmat MRT di Laluan Thomson-East Coast (TEL) "disambung semula" berikutan kerosakan sistem isyarat yang menyebabkan gangguan pada pagi Rabu (17 Sep).

"Para penumpang boleh kembali ke stesen-stesen TEL dan meneruskan perjalanan anda," menurut SMRT dalam kemas kini sekitar pukul 8.50 pagi.

SMRT memuat naik catatan di Facebook sebelum ini yang menyatakan bahawa tiada khidmat MRT "antara Woodlands North dan Bayshore di kedua-dua arah untuk memudahkan kerja-kerja memulihkan khidmat".

Khidmat bas ulang-alik percuma, yang disediakan bermula pukul 7.55 pagi, juga sudah ditamatkan, menurut SMRT dalam kemas kininya.

Pada sekitar pukul 8.40 pagi, SMRT memberikan kemas kini yang menyatakan bahawa khidmat MRT antara Woodlands North dan Bayshore sedang "kembali beroperasi seperti biasa secara bertahap-tahap".

Kerosakan sistem isyarat itu menyebabkan kelengahan kepada penumpang di TEL bagi kedua-dua arah pada pagi Rabu, dengan SMRT mula memaklumkan tentang isu tersebut pada pukul 7.30 pagi.

Related article image
Paparan skrin di stesen MRT Bright Hill pada 17 September 2025. (Gambar: Pembaca CNA)
Para pengguna Facebook menyatakan bahawa gangguan itu bermula seawal pukul 6.15 pagi.

Seorang penumpang berkata pada sekitar pukul 7.20 pagi bahawa beliau berada dalam MRT sejak pukul 6.35 pagi, namun MRT hanya bergerak satu stesen sahaja.

Seorang lagi melihat begitu "ramai orang" di platform Stesen MRT Outram Park, dan menambah bahawa terdapat arahan bercanggah daripada kakitangan sama ada penumpang dibenarkan menaiki MRT atau tidak.

Insiden ini berlaku selepas khidmat MRT mengalami gangguan antara Aljunied dan Tanah Merah di Laluan Timur-Barat (EWL) pada Selasa malam.

Pada Julai lalu, kerosakan pada sistem isyarat menyebabkan kelengahan di TEL, dengan khidmat antara stesen Napier dan Great World terhenti selama lebih satu jam.

TEL juga mengalami tiga gangguan dalam masa seminggu pada Disember dan Januari. SMRT menyatakan bahawa gangguan-gangguan tersebut tidak saling berkaitan.

SMRT sebelum ini didenda sebanyak S$2.4 juta oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) atas kelemahan yang menyebabkan gangguan selama enam hari di EWL pada September 2024.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita