Skip to main content

Singapura

Khidmat MRT Laluan Circle akan tamat awal pada beberapa hari antara 15 Jun-30 Jul

Khidmat MRT di Laluan Circle (CCL) akan berakhir lebih awal pada beberapa hari antara 15 Jun dan 30 Jul sebagai persiapan bagi pembukaan laluan lengkap CCL pada separuh pertama tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat MRT Laluan Circle akan tamat awal pada beberapa hari antara 15 Jun-30 Jul

(Gambar: winhorse/iStock)

Diterbitkan : 22 May 2025 12:39PM Dikemas Kini : 22 May 2025 12:52PM
SINGAPURA: Khidmat MRT di Laluan Circle (CCL) akan berakhir lebih awal pada beberapa hari antara 15 Jun dan 30 Jul sebagai persiapan bagi pembukaan laluan lengkap CCL pada separuh pertama tahun depan.

Bagi memudahkan kerja-kerja itu, khidmat MRT akan berakhir pada pukul 11.00 ​​malam dari Ahad hingga Rabu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SMRT pada Khamis (22 Mei).

"Khidmat MRT pada Khamis, Jumaat dan Sabtu akan kekal tidak berubah," menurut kenyataan bersama itu.

LTA dan SMRT turut mendedahkan bahawa satu siri kerja akan dijalankan pada laluan CCL sedia ada untuk memperbaharui Sistem Kawalan Penyeliaan Bersepadu (ISCS) bagi memastikan sistem tersebut serasi dengan laluan baharu itu yang akan menghubungkan Stesen HarbourFront ke Stesen Marina Bay.

Peringkat 6 CCL akan melengkapi laluan antara Stesen Marina Bay dan Harbourfront melalui tiga stesen baharu - Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road. Apabila siap kelak, terdapat sejumlah 33 stesen di sepanjang Laluan Circle.

ISCS

LTA dan SMRT menyatakan bahawa ISCS memantau dan mengurus sistem CCL, termasuk bekalan kuasa, komunikasi dan kemudahan stesen. Ia juga menyokong komunikasi antara stesen, pusat kawalan dan MRT.

"Sistem semasa telah digunakan sejak CCL mula beroperasi pada 2009, dan perlu diperbaharui untuk memastikan ia serasi dengan sistem CCL6 yang baharu," menurut LTA dan SMRT.

Penutupan khidmat MRT lebih awal "diperlukan untuk menyediakan waktu kerja kejuruteraan yang lebih lama yang diperlukan untuk menjalankan ujian dan pentauliahan server dan peralatan baharu untuk dijalankan dengan selamat," kata LTA dan SMRT.

LTA dan SMRT menasihatkan para penumpang supaya merancang perjalanan mereka lebih awal dan menimbangkan laluan alternatif termasuk laluan MRT yang lain dan perkhidmatan bas untuk sampai ke destinasi mereka.

Para pengguna juga boleh merujuk kepada aplikasi MyTransport.SG LTA dan platform media sosial LTA dan SMRT untuk mendapatkan butiran lanjut.

Poster-poster juga akan dipasang di semua stesen MRT CCL dan stesen-stesen pertukaran dengan CCL untuk memaklumkan para penumpang tentang penyelarasan khidmat, manakala kakitangan stesen juga akan ditempatkan di stesen yang terjejas untuk membantu sepanjang tempoh penyelarasan khidmat.

LTA dan SMRT turut menarik perhatian bahawa penyelarasan khidmat selanjutnya "diperlukan untuk melengkapkan ujian penyepaduan sistem di seluruh CCL, dan memastikan CCL6 disepadukan dengan baik dengan CCL sedia ada.

“Buat masa ini, kami merancang secara tentatif untuk melaksanakan penyelarasan ini dari September hingga Disember 2025,” menurut LTA dan SMRT.

“Penyelarasan khidmat sementara ini diperlukan, sedang kami bersiap sedia untuk pembukaan CCL6, supaya kami mempunyai masa yang mencukupi untuk menjalankan ujian menyeluruh memastikan keselamatan penumpang kami.

"Kerja-kerja ini akan membawa kami lebih dekat kepada penyiapan sambungan CCL6, yang akan meningkatkan ketersambungan, menyingkatkan masa perjalanan dan membawa lebih banyak kemudahan kepada penumpang kami," kata LTA dan SMRT.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita