Khidmat MRT Jurong East-Buona Vista digantung buat hari ketiga; sasar pulih khidmat sepenuhnya pada Isnin
SINGAPURA: Tiada khidmat kereta api di Laluan Timur-Barat (EWL) antara stesen MRT Jurong East dengan Buona Vista pada Jumaat (27 Sep), sekali gus melanjutkan gangguan khidmat tersebut yang bermula sejak Rabu pagi.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali kereta api SMRT pada mulanya berharap untuk memulihkan sebahagian khidmat kereta api itu pada Jumaat (27 Sep), sambil menimbangkan kemungkinan untuk mengendalikan khidmat ulang-alik kereta api antara kedua-dua stesen berkenaan.
"Kami telah cuba sedaya upaya untuk memastikan pilihan ini berhasil dengan mempercepatkan kerja pembaikan di salah satu trek. Sejak itu kami telah menentukan bahawa ia boleh dilakukan, tetapi ini bermakna memperlahankan kerja pembaikan pada rel rosak yang selari kerana kerja-kerja pembaikan tidak boleh dilakukan apabila perkhidmatan kereta api ulang-alik sedang beroperasi," menurut pihak berkuasa dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis malam.
"Secara seimbang, adalah lebih baik untuk mengutamakan kerja pembaikan dan mempercepatkan pemulihan perkhidmatan penuh lebih awal, daripada menjalankan khidmat ulang-alik selama 20 minit antara stesen Jurong East dengan Buona Vista."
Ini kerana mengendalikan kereta api ulang-alik tersebut menimbulkan "risiko menangguhkan pemulihan sepenuhnya sekurang-kurangnya untuk beberapa hari".
Pihak berkuasa menyatakan SMRT akan menyasarkan untuk memulihkan khidmat sepenuhnya pada Isnin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.