Khidmat MRT Circle Line pulih sepenuhnya susuli gangguan bekalan tenaga
SINGAPURA: Khidmat kereta api di Circle Line pulih sepenuhnya selepas berlakunya gangguan bekalan tenaga yang mengakibatkan gangguan selama dua jam pada Selasa (17 Sep), sekali gus menjejas ramai penumpang semasa mereka melakukan perjalanan sewaktu waktu sibuk.
Menurut SMRT, "gangguan bekalan tenaga sementara" itu berlaku pada pukul 5.50 petang, yang menjejas khidmat kereta api dari kedua-dua hala. Ia menambah bahawa khidmat tersebut dipulihkan selepas 15 minit.
"Dalam tempoh 15 minit ini, kereta api yang terhenti tidak mempunyai penghawa dingin. Bateri mengupayakan kipas pengudaraan dan beberapa lampu, jadi ia mungkin tidak begitu terang," katanya.
"Jurutera kami memulihkan tenaga kepada rangkaian itu. Walau bagaimanapun, beberapa segmen rangkaian memerlukan kereta api ditetapkan semula dengan selamat. Pada pukul 7.10 malam, semua khidmat kereta api telah pulih dan khidmat kereta api disambung semula secara bertahap-tahap."
Dalam satu pengumuman di media sosial, SMRT menasihati para penumpang yang menggunakan laluan tersebut untuk mengambil kira tambahan 30 minit dalam waktu perjalanan mereka.
"Khidmat bas biasa disediakan di semua stesen Circle Line. Sila menggunakan laluan alternatif bagi perjalanan anda," tambah SMRT.
Para penumpang dinasihatkan untuk turun dari kereta api dan mencari pilihan pengangkutan lain, dalam pengumuman yang dibuat di stesen kereta api di Circle Line. Pelanggan juga dihalang daripada memasuki stesen MRT yang terjejas itu.
Dalam satu kemas kini kira-kira pukul 7.40 malam, ia mengumumkan bahawa khidmat kereta api tersebut sudah "pulih sepenuhnya seperti sedia kala", dan khidmat bas biasa yang disediakan secara percuma di semua stesen Circle Line dihentikan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.