Skip to main content

Singapura

Khidmat MRT CCL akan berakhir awal, mula lewat pada hari-hari tertentu 5 Sep-28 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat MRT CCL akan berakhir awal, mula lewat pada hari-hari tertentu 5 Sep-28 Dis

Penumpang di Stesen MRT Buona Vista di Laluan Circle. (Gambar: Facebook/Chee Hong Tat)

Diterbitkan : 12 Aug 2025 12:32PM
SINGAPURA: Khidmat kereta api di Laluan Circle (CCL) akan berakhir lebih awal dan bermula lewat pada hari-hari tertentu antara 5 September dengan 28 Disember sebagai persiapan bagi pembukaan laluan CCL lengkap pada separuh pertama tahun depan.

Perkhidmatan akan berakhir lebih awal pada pukul 11.00 malam pada Jumaat dan Sabtu dan bermula lewat pada pukul 9.00 pagi pada Sabtu dan Ahad, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali SMRT secara bersama pada Selasa (12 Ogos).

Hujung minggu 3 hingga 5 Oktober, 28 hingga 30 November dan 5 hingga 7 Disember tidak akan terjejas, dan khidmat kereta api akan beroperasi pada waktu biasa pada hari-hari tersebut.

Penumpang dinasihatkan supaya merancang tambahan masa perjalanan sehingga 30 minit untuk disesuaikan dengan waktu perkhidmatan.

LTA dan SMRT menyatakan bahawa mereka menyelesaikan pemasangan sistem kawalan penyeliaan bersepadu baharu pada bulan Julai, sambil menambah bahawa sistem sebelumnya perlu digantikan untuk diselaraskan dengan sistem yang akan digunakan untuk peringkat 6 CCL.

Selepas selesai pemasangan, fasa kerja seterusnya melibatkan ujian integrasi sistem merentasi keseluruhan CCL untuk memastikan perkhidmatan yang boleh dipercayai apabila peringkat 6 CCL mula beroperasi.

"Semasa fasa ini, blok masa kejuruteraan yang lebih panjang diperlukan agar ujian integrasi dan keserasian dijalankan dengan selamat dan teliti," menurut LTA dan SMRT.

Oleh itu, khidmat kereta api di CCL akan disesuaikan antara 5 September dan 28 Disember untuk memudahkan kerja-kerja kejuruteraan dan membolehkan masa kejuruteraan yang lebih panjang.

Perkhidmatan kereta api CCL sebelum ini berakhir lebih awal pada hari-hari terpilih antara 15 Jun dan 30 Julai untuk menyokong persiapan bagi pembukaan laluan CCL lengkap.

Peringkat 6 CCL akan menutup bulatan antara stesen Marina Bay dan Harbourfront melalui tiga stesen baharu - Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road. Apabila siap, akan ada 33 stesen sepanjang keseluruhan laluan.

Dua perkhidmatan bas ulang-alik akan disediakan untuk penumpang dari jam 5.00 pagi hingga jam 9.00 pagi pada hari Sabtu dan Ahad yang terjejas, dan akan meliputi kebanyakan stesen CCL:

- Khidmat bas ulang-alik 36 akan beroperasi antara stesen HarbourFront dan Bishan, dengan bas tiba setiap tujuh hingga 10 minit

- Khidmat bas ulang-alik 37 akan beroperasi antara stesen Bishan dan Promenade, dengan kekerapan setiap tiga hingga lima minit

Penumpang juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dan merujuk kepada aplikasi mudah alih MyTransport.SG LTA, dan platform media sosial LTA dan SMRT untuk maklumat lanjut.

Notis akan dipamerkan di stesen-stesen yang terjejas, serta di perhentian bas berdekatan, untuk memaklumkan penumpang tentang pelarasan perkhidmatan.

LTA dan SMRT menambah bahawa apabila peringkat 6 CCL dibuka, penumpang boleh mengharapkan penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit. Penyiapan laluan tersebut akan menyediakan laluan yang lebih cepat dan lebih langsung ke dan melalui kawasan Marina Bay.

Penumpang dari kawasan seperti Paya Lebar dan Mountbatten akan mempunyai akses yang lebih langsung ke daerah perniagaan pusat, HarbourFront dan kawasan Kent Ridge.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita