Skip to main content

Singapura

Khidmat MRT antara Tanah Merah dengan Expo ditutup 14-17 Mac

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Feb 2026 02:50PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 09:25PM
SINGAPURA: Perkhidmatan MRT di Laluan Timur-Barat (EWL) dan Laluan LRT Sengkang-Punggol (SPRLT) akan dilaraskan bagi memudahkan kerja-kerja naik taraf penting, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), SMRT Corporation dan SBS Transit pada Jumaat (20 Feb).

Khidmat MRT tidak akan disediakan antara Stesen MRT Tanah Merah dan Stesen MRT Expo di Laluan Timur-Barat (EWL) dari 14 Mac hingga 17 Mac, menurut kenyataan media tersebut.

Sementara itu, Sengkang West Inner Loop akan ditutup dari 19 April hingga 18 Oktober.

Laluan ini beroperasi melalui Stesen LRT Cheng Lim dari Stesen LRT Sengkang.

Kerja-kerja ini akan “meningkatkan kapasiti, keandalan dan daya tahan rangkaian rel”, menurut LTA, SMRT dan SBS Transit.

Bagi mengekalkan keterhubungan, khidmat bas ulang-alik akan beroperasi antara Tanah Merah dengan Expo pada kekerapan sekitar lima hingga lapan minit sepanjang tempoh terjejas.

Khidmat MRT antara Stesen Expo dengan Stesen Changi Airport pula akan beroperasi pada kekerapan tujuh minit semasa waktu sibuk.

"Penumpang juga digalakkan menggunakan perkhidmatan bas awam sedia ada untuk ke laluan MRT alternatif seperti Laluan Downtown bagi perjalanan mereka," kata LTA, SMRT dan SBS Transit.

Pelarasan ini dibuat selepas operasi yang berjaya dilakukan bagi Depoh Bersepadu East Coast pada Disember 2025, dan akan membolehkan pemutusan landasan sambungan (reception track) yang menghubungkan EWL ke Depoh Changi.

Penutupan Sengkang West Inner Loop akan membantu peluasan armada SPLRT daripada 25 LRV (kenderaan rel ringan) satu gerabak dan 16 LRV dua gerabak kepada 33 LRV dua gerabak, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Semasa penutupan itu, penumpang boleh menggunakan perkhidmatan bas biasa dan Sengkang West Inner Loop melalui Stesen LRT Renjong, yang akan dikendalikan sepenuhnya dengan LRV dua gerabak untuk memaksimumkan kapasiti.

"Perkhidmatan bas ulang-alik khas juga akan beroperasi dari Pusat Pertukaran Bas Sengkang pada waktu sibuk sebelah pagi dan petang hari biasa untuk menambah kapasiti LRT dan mengurangkan masa perjalanan tambahan," tambah LTA, SMRT dan SBS Transit.

Bas ulang-alik ini akan bermula pada 13 April 2026, seminggu sebelum pelarasan perkhidmatan LRT bermula, dan akan dihentikan apabila perkhidmatan LRT biasa disambung semula.

"Bas ulang-alik itu akan beroperasi dari pukul 6.00 pagi hingga 10.00 pagi dan 5.30 petang hingga 9.30 malam, dengan kekerapan sekitar tiga hingga lima minit dan mengenakan tambang yang sama seperti perjalanan LRT."

Kakitangan dan pegawai yang mengawal orang ramai juga akan ditempatkan di stesen-stesen terjejas bagi membantu penumpang sepanjang tempoh pelarasan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita