Khidmat media sosial diarah padam kandungan online berbahaya di bawah kod amalan pemerintah
Gambar: CNA / Calvin Oh
SINGAPURA: Khidmat-khidmat media sosial tidak lama lagi akan diarahkan supaya "menutup akses" kepada kandungan yang berbahaya ataupun tidak membenarkan akaun dengan kandungan sedemikian.
Demikian menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) hari ini (20 Jun).
Pemerintah sedang merundingkan mengenai cadangan dua kod amalan untuk meningkatkan keselamatan online.
Cadangan pertama adalah bagi khidmat-khidmat media sosial tertentu dengan jumlah pengguna yang tinggi atau berisiko tinggi untuk mempunyai proses seluruh sistem untuk meningkatkan keselamatan online bagi semua pengguna.
Cadangan tersebut juga merangkumi keselamatan tambahan untuk pengguna di bawah umur 18 tahun.
Cadangan kedua adalah IMDA boleh mengarahkan mana-mana khidmat media sosial supaya memadamkan "kandungan yang tidak menyenangkan".
Menteri Perhubungan dan Penerangan, Josephine Teo, mengumumkan pada Mac tahun ini bahawa pemerintah akan memperkenalkan kod-kod amalan baru untuk memerangi kandungan online yang berbahaya dalam perkhidmatan yang boleh diakses oleh pengguna di Singapura.
Di bawah kod amalan pertama, media sosial harus mempunyai dan melaksanakan piawaian masyarakat dan mekanisme penyederhanaan kandungan untuk "mengurangkan pendedahan pengguna" kepada kandungan berbahaya.
Khidmat-khidmat media sosial itu juga harus menyediakan alat untuk pengguna mengurangkan pendedahan kepada kandungan yang tidak diinginkan.
Platform media sosial harus secara proaktif mengesan dan memadamkan bahan eksploitasi dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak, serta kandungan pengganasan.
Pengguna harus dibenarkan untuk membuat aduan mengenai kandungan yang berbahaya dan interaksi yang tidak diinginkan. Mekanisme untuk membuat aduan tersebut juga harus mudah digunakan dan kekal tersedia buat pengguna.
Khidmat media sosial juga harus mengeluarkan laporan tahunnan kebertanggungjawapan penerbitan di laman IMDA.
Cadangan kod amalan kedua meliputi "kandungan yang tidak menyenangkan" di platform-platform media sosial.
Ini termasuk keselamatan berhubung kait bahaya seksual, menyebabkan kecederaan pada diri sendiri atau kesihatan awam.
Bidang yang menjadi perhatian juga termasuk keselamatan awam dan masalah perkauman atau agama serta tidak bersikap bertolak ansur antara satu sama lain.
Perundingan industri sudah bermula bulan ini.Perundingan awam akan bermula pada Julai.
MCI menyatakan bahawa di peringkat global, bahaya online adalah "kebimbangan utama".
Berdasarkan tinjauan pendapat oleh Sunlight Alliance for Action pada Januari, hampir separuh daripada lebih 1,000 rakyat Singapura mengatakan bahawa mereka pernah mengalami bahaya online.
Sekitar 61% yang mengalami bahaya online berdasarkan jantina mengalaminya semasa menggunakan khidmat media sosial popular.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.