Skip to main content

Singapura

Khidmat LRT 'Inner Loop' Sengkang West disambung semula 4 Okt, lebih awal daripada jadual

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat LRT 'Inner Loop' Sengkang West disambung semula 4 Okt, lebih awal daripada jadual

Dua gerabak yang menggunakan laluan LRT Sengkang-Punggol. (Gambar fail: CNA/Sherlyn Goh)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 06:58PM
  • Perkhidmatan rel Inner Loop Sengkang West akan kembali pada 4 Oktober, dua minggu awal, selepas LTA menyatakan kerja naik taraf depot berjalan lebih cepat.
  • Laluan itu ditutup sejak 19 April untuk peluasan Depot Sengkang-Punggol LRT, termasuk ubah suai landasan, sambungan baharu, serta ujian isyarat dan sistem.
  • Sun Xueling berkata skim perjalanan rel percuma luar waktu sibuk di timur laut dilanjutkan setahun kerana berjaya mengalihkan sekitar 10 peratus penumpang.
  • Untuk memenuhi permintaan Sengkang dan Punggol, pihak berkuasa akan menambah lapan tren dua gerabak, dengan kapasiti LRT dijangka meningkat 30 peratus.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Perkhidmatan rel di 'Inner Loop' Sengkang West akan disambung semula pada Ahad (4 Okt), dua minggu lebih awal daripada yang dirancang selepas kerja-kerja naik taraf diselesaikan lebih awal.

Laluan itu, yang melalui stesen Cheng Lim dari stesen LRT Sengkang, ditutup sejak 19 April bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf besar-besaran dijalankan untuk meluaskan depot Sengkang-Punggol LRT sehingga tiga kali ganda saiznya.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan dalam kenyataan media pada Jumaat (2 Okt) bahawa pasukan yang menjalankan kerja-kerja peluasan depot mencapai kemajuan yang baik dengan mengoptimumkan urutan kerja. Perkhidmatan itu pada asalnya dijadualkan disambung semula pada 18 Oktober.

Perkhidmatan bas ulang-alik pada waktu sibuk hari bekerja, yang diperkenalkan bagi mengekalkan keterhubungan pengangkutan sepanjang tempoh penutupan, akan berakhir selepas waktu sibuk pada petang Jumaat.

Depot yang diluaskan itu, terletak di sebelah stesen Tongkang, diperlukan bagi menyokong jumlah tren Sengkang-Punggol LRT yang lebih besar untuk memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat, menurut LTA.

Kerja-kerja naik taraf itu melibatkan pengubahsuaian besar-besaran pada landasan sedia ada, penyambungan landasan baharu dari depot ke laluan utama, serta pemasangan dan ujian sistem serta peralatan isyarat.

Secara keseluruhannya, kerja-kerja peluasan depot itu mengikut jadual untuk siap menjelang 2027.

Setelah siap, ia akan menyokong jumlah tren LRT yang lebih besar dan lebih banyak tren bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat di Sengkang dan Punggol, jelas LTA.

Apabila semua gerabak diperoleh, kapasiti purata keseluruhan Sengkang-Punggol LRT akan meningkat sebanyak 30 peratus, tambahnya.
Related article image
Bahagian luar Depot Sengkang-Punggol LRT pada 2 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
PERJALANAN TREN LUAR WAKTU SIBUK DILANJUTKAN

Bercakap dengan para wartawan di Depot Sengkang-Punggol LRT pada Jumaat, Menteri Negara Kanan Pengangkutan Sun Xueling berkata perjalanan tren percuma pada luar waktu sibuk sebelah pagi di kawasan timur laut akan dilanjutkan untuk setahun lagi.

Skim itu dilaksanakan pada Disember 2025 bagi "mengawal permintaan perjalanan" pada waktu sibuk sebelah pagi di kawasan tersebut dan memberikan pengalaman lebih baik kepada para penumpang, menurut LTA ketika itu.

Jumlah penumpang di bawah skim tersebut menyebabkan sekitar 10 peratus penumpang beralih kepada perjalanan luar waktu sibuk, melebihi sasaran asal sebanyak 7 peratus, kata Cik Sun pada Jumaat.

"Oleh sebab itu, kami melanjutkan perjalanan rel percuma pada luar waktu luar sibuk selama setahun lagi. Kami berharap dengan lanjutan program ini, lebih ramai penumpang akan menggunakan perjalanan rel pada luar waktu sibuk, yang akan membantu menangani isu kapasiti, dan juga menawarkan perjalanan yang lebih lancar kepada para penduduk kita."

Di bawah skim tersebut, penumpang di kawasan timur laut Singapura yang memulakan perjalanan mereka pada hari bekerja, tidak termasuk cuti umum, pada luar waktu sibuk - sebelum 7.30 pagi atau antara 9.00 pagi hingga 9.45 pagi - boleh melakukan perjalanan secara percuma bagi perjalanan rel pertama mereka.

Ini bagi penumpang yang menaiki tren di mana-mana daripada enam stesen Laluan Timur Laut (NEL) antara Punggol Coast dan Kovan, atau mana-mana stesen LRT Sengkang-Punggol.
Related article image
Menteri Negara Kanan Pengangkutan Sun Xueling bercakap kepada media di Depot Sengkang-Punggol LRT pada 2 Okt 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
LEBIH BANYAK TREN DUA GERABAK

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Sengkang dan Punggol, pihak berkuasa akan mendapatkan lapan lagi kenderaan rel ringan dua gerabak generasi ketiga. Ini akan menjadikan jumlah keseluruhan kepada 41 tren dua gerabak menjelang 2030.

Tren tambahan itu adalah sebagai tambahan kepada 25 tren dua gerabak generasi ketiga baharu yang secara berperingkat menggantikan armada generasi pertama. Lapan tren generasi kedua akan kekal beroperasi.

Dua daripada 25 tren baharu itu mula beroperasi pada Julai 2025.
Related article image
Tren di Depot Sengkang-Punggol LRT pada 2 Okt 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
LTA menyatakan tren generasi ketiga menawarkan perjalanan yang lebih lancar dan selesa, dengan tempat duduk ergonomik, lampu LED yang lebih terang dan cekap tenaga, paparan maklumat penumpang yang lebih jelas, jalur lampu penanda penutupan pintu yang lebih jelas serta sistem hawa dingin yang dipertingkatkan.

Pintu antara gerabak juga akan membolehkan pemindahan keluar yang lebih selamat dan pantas semasa kecemasan. Bagi kerja-kerja penyenggaraan, panel skrin sentuh dalam tren membantu kakitangan mengesan kerosakan dengan lebih pantas, manakala peralatan lebih mudah dicapai secara ergonomik.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita