Khidmat LRT Bukit Panjang ditutup pada 31 Ogos dan 21 Sep
Khidmat LRT Bukit Panjang akan ditutup pada 31 Ogos dan 21 September bagi memudahkan ujian sistem isyarat baharu sebagai sebahagian daripada program pembaharuan laluan tersebut.
Sistem isyarat baharu LRT Bukit Panjang akan membolehkan kawalan lebih baik bagi kelajuan kereta api, menurut LTA dan SMRT Trains. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)
Menurut kenyataan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali SMRT Trains, sistem baharu itu akan membolehkan “kawalan lebih baik bagi kelajuan LRT, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan andal” kepada penumpang.
Sepanjang tempoh penutupan itu, khidmat bas ulang-alik - LRT Shuttle B - akan disediakan setiap lima hingga 15 minit.
Tambang bas biasa akan dikenakan, kata Mediacorp.
Sistem baharu itu, yang diusahakan sejak 2022, adalah sistem kawalan LRT berasaskan komunikasi.
Ia merupakan naik taraf daripada sistem sedia ada, dan serupa dengan yang digunakan pada laluan MRT, tambah pihak berkuasa.
Penutupan khidmat itu perlu bagi "memberi lebih banyak masa untuk ujian berterusan sistem isyarat baharu di bawah keadaan operasi sebenar", menurut pihak berkuasa.
Ujian itu bertujuan memastikan sistem isyarat baharu itu dapat disepadukan sepenuhnya dengan kenderaan rel ringan (LRV) yang sudah dinaik taraf, yang sedang digunakan dalam program pembaharuan laluan itu.
Di bawah program tersebut, 14 daripada 19 LRV generasi ketiga sudah mula beroperasi, manakala 11 daripada 13 LRV generasi kedua juga sudah dinaik taraf dan digunakan, menurut kenyataan tersebut.
Baki LRV generasi ketiga yang baharu dan LRV generasi kedua yang dinaik taraf, serta kerja-kerja sistem isyarat baharu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2025.
Kerja-kerja naik taraf pusat kawalan operasi - tempat di mana kakitangan memastikan kelancaran operasi LRT – dan penggantian rel kuasa masih dijalankan dan dijangka siap pada akhir 2026.
Selain itu, keseluruhan sistem bekalan kuasa bagi khidmat Bukit Panjang LRT sudah dinaik taraf sepenuhnya dengan kapasiti yang lebih tinggi, termasuk sistem pemantauan dan kawalan bekalan kuasa khusus, menurut LTA dan SMRT.
KERJA-KERJA NAIK TARAF LIF
LTA juga akan menaik taraf lif di semua stesen LRT Bukit Panjang, dengan kerja-kerja dijadualkan bermula pada 11 Ogos dan siap menjelang Mac 2027.
Kesemua lif akan diganti sepenuhnya, memandangkan ia sudah digunakan sejak khidmat Bukit Panjang LRT bermula.
Lif baharu itu dijangka menjadi lebih mesra pengguna berkerusi roda, dilengkapi dengan penunjuk aras lantai, cermin dinding belakang, dan panel kawalan di sisi lif.
Butang lif juga akan dijadikan lebih besar dan bercahaya untuk menjadikannya lebih mudah dilihat, dan akan menggunakan motor cekap tenaga bagi menjimatkan penggunaan elektrik.
Maklumat tentang jadual naik taraf lif, alternatif perjalanan dan sebarang kemas kini terkini akan dipaparkan di poster dan sepanduk di semua stesen LRT Bukit Panjang.
Laluan Bukit Panjang LRT sepanjang lapan kilometer itu menghubungkan kawasan perumahan di Bukit Panjang dan Choa Chu Kang ke Laluan Utara-Selatan dan Downtown.
Khidmat LRT sebelum ini mengalami dua gangguan pada Julai yang disebabkan kerosakan pada sistem pemantauan dan kawalan bekalan kuasa yang baru dipasang, menurut SMRT.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.