Skip to main content

Singapura

Khidmat LRT Bukit Panjang disambung semula susuli gangguan tenaga

Anggaran Waktu Membaca:
Khidmat LRT Bukit Panjang disambung semula susuli gangguan tenaga

LRT berhenti di Stesen LRT Bukit Panjang semasa berlaku gangguan pada 19 Jul 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 19 Jul 2025 03:45PM Dikemas Kini : 19 Jul 2025 10:27PM
SINGAPURA: Khidmat LRT disambung semula selepas berlaku gangguan bekalan tenaga pada sistem LRT Bukit Panjang yang sebelum ini menyebabkan khidmat LRT tidak tersedia di semua stesen, menurut SMRT pada Sabtu (19 Jul).

Dalam kemas kini di Facebook pada pukul 4.22 petang, SMRT menyatakan bahawa walaupun khidmat LRT beroperasi semula seperti biasa, khidmat bas biasa dan khidmat bas penghubung masih disediakan secara percuma.

SMRT menyatakan sebelum ini bahawa gangguan bekalan tenaga berlaku kira-kira pukul 2.45 petang, menyebabkan empat LRT terhenti antara stesen.

"Kakitangan kami membimbing para penumpang turun dari LRT yang terhenti ke stesen terdekat," menurut catatan itu, yang ditandatangani oleh Presiden SMRT Trains Lam Sheau Kai.

Khidmat bas penghubung dan khidmat bas biasa disediakan secara percuma kepada para penumpang yang terjejas.

SMRT menambah bahawa terdapat pengumuman dalam LRT dan stesen-stesen yang terjejas untuk memastikan penumpang sentiasa dikemas kini tentang situasi itu, dan juruteranya berada di lokasi untuk menyiasat dan menyelesaikan isu tersebut.

"Kami memohon maaf kerana menjejaskan perjalanan anda pada waktu petang."

Apabila Mediacorp tiba di Stesen LRT Bukit Panjang kira-kira pukul 3.55 petang, gantri ke stesen itu semuanya ditutup. Kakitangan SMRT telah ditempatkan di pintu masuk untuk memaklumkan para penumpang tentang gangguan itu.
Related article image
Gantri yang tidak boleh digunakan berikutan gangguan LRT di Bukit Panjang pada 19 Jul 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Related article image
Kakitangan SMRT ditempatkan untuk memaklumkan penumpang tentang gangguan LRT di Bukit Panjang pada 19 Jul 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Sistem LRT Bukit Panjang adalah laluan sepanjang 8km yang menghubungkan kawasan perumahan di Bukit Panjang dan Choa Chu Kang dengan Laluan Utara-Selatan dan Laluan Downtown.

Ini adalah gangguan kedua yang melanda laluan tersebut pada bulan ini menyusuli gangguan tenaga yang menyebabkan gangguan selama 2 jam yang juga menjejaskan semua stesen.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita