Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khidmat korban di Palestin dapat permintaan tinggi tahun ini meskipun lebih mahal

Permintaan bagi khidmat korban yang dilaksanakan di Palestin melonjak tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Permintaan bagi khidmat korban yang dilaksanakan di Palestin melonjak tahun ini.

Bagi dua syarikat yang ditemui BERITA Mediacorp, tempahan yang diterima untuk Palestin membentuk sehingga 80 peratus berbanding bagi negara-negara lain seperti Kemboja, Indonesia dan Yaman.

Untuk Syarikat Signaturesofimran Group misalnya yang menawarkan khidmat korban untuk lebih daripada lapan negara tahun ini, menyaksikan permintaan tinggi buat korban di Palestin.

Ia juga merupakan kali pertama syarikat itu menawarkan khidmat korban di Palestin.

"Permintaan pada tahun ini agak memuaskan bagi pihak Signaturesofimran Group. Syarikat saya menawarkan lebih daripada lapan negara pada tahun 2024 seperti Yaman, Kemboja, Indonesia dan pada tahun ini, kami juga menawarkan khidmat korban di Gaza, Palestin. Permintaan bagi tahun ini agak tinggi bagi Palestin dalam 75 peratus hingga ke 80 peratus dan bagi negara lain dalam 20 peratus ke bawah," kongsi Pengasas dan Pengarahnya, Imran Mean kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Signaturesofimran Group juga ingin memberi kembali kepada masyarakat di sana dan juga mengajak semua dan mengalu-alukan sumbangan dari segi daging segar di bumi Palestin untuk mereka yang sangat sangat memerlukan. Jadi saya ingin membuat sesuatu yang berlainan daripada apa yang saya lakukan selama setahun atau dua tahun yang lepas," tambah beliau.

MESKI LEBIH MAHAL, PERMINTAAN BAGI KORBAN DI PALESTIN LEBIH TINGGI

Ini merupakan tahun keempat Encik Imran menawarkan khidmat korban. Tahun ini, beliau juga menyaksikan permintaan untuk korban atau dagingnya dihantar ke negara-negara lain merosot.

Ini meskipun harga bagi penyembelihan di negara-negara lain jauh lebih rendah.

Khidmat penyembelihan kambing korban di Yaman berharga $185 dan di Indonesia pula $195 manakala di Palestin, ia berharga sekitar $600.

(Gambar: Nazirah Jamzuri)

"Antara sebabnya ialah kerana empati dan simpati daripada segelintir rakyat Singapura, di mana masyarakat kita prihatin dengan keadaan di bumi Gaza," jelas Encik Imran.

Untuk penyembelihan haiwan korban di Palestin, syarikat itu bekerjasama dengan Smart Qurban International dan mereka sudah bekerjasama selama 4 tahun berturut-turut.

Tahun lalu, Smart Qurban International yang dipengerusikan bersama Ustaz Zahid Zin telah mengagihkan daging korban buat 2,640 penduduk Palestin.

"Penyembelihan dah prosesnya akan dilaksanakan di Palestin sendiri. Untuk proses penyembelihan, semua akan dilakukan di sana dan tiada duta ataupun wakil dari Singapura yang akan berada di sana atas faktor-faktor keselamatan. Jadi kami memberikan kepercayaan dan jalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan kongsi kami di Palestin," ujar Encik Imran.

"Keadaan di Gaza dan Rafah sekarang sangat 'panas' dari segi peperangan dan ia disifatkan sebagai 'red zone' atau 'war zone'. Jadi pada saya, memang untuk keselamatan pelanggan dan juga klien, kami tidak mengesyorkan mereka semua pergi ke sana tetapi memberikan kami kepercayaan sebaik mungkin untuk kami lanjutkan hajat mereka untuk berkorban di Palestin," tambahnya.

KORBAN DILAKSANAKAN DI RAFAH DAN GAZA

Menurut Encik Imran, penyembelihan akan dilakukan dalam tempoh tiga hari, bermula pada Hari Raya Aidiladha.

"Untuk bukti-bukti penyembelihan dan juga kemas kini, seminggu sebelum (penyembelihan), memang kita akan memberitahu pelanggan kita untuk bersiap sedia untuk menerima kemas kini yang syarikat saya akan hantarkan. Pada hari pertama Hari Raya Aidiladha ke Hari Raya ketiga, kami akan mengendalikan proses penyembelihan itu," kongsi Encik Imran.

"Apabila kambing itu telah disembelih, kami akan memberikan mesej kemas kini menerusi WhatsApp. Mengapa kita tidak boleh membuat semua penyembelihan pada hari pertama sahaja ialah kerana proses waktu dan faktor-faktor yang tertentu yang tidak boleh dielakkan dan keadaan yang tidak boleh dirancang," tambahnya.

JANGKA LEBIH BANYAK TEMPAHAN MENJELANG AIDILADHA

Sebuah lagi syarikat yang bekerjasama dengan Smart Qurban International ialah Al Hilal Ummah Services.

Mereka mula membuka pendaftaran pada awal bulan Mei dan menjangkakan akan menerima lebih banyak tempahan menjelang beberapa minggu sebelum Hari Raya Aidiladha.

"Buat sementara ini, untuk pesanan bagi daging korban di Palestin, kita ada terima beberapa pesanan tetapi sekarang ini, agak awal untuk kita menjangka atau mengukur sama ada ada perbezaan untuk tempahan bagi negara-negara lain berbanding Palestin sebab selalunya, pesanan akan datang berhampiran dengan Hari Raya Haji, di mana pesanan akan meningkat," kongsi Pengasas Bersamanya, Kamaruzaman Gaffar.

(Gambar: Nazirah Jamzuri)

Sehingga 17 Mei, jumlah pendaftaran bagi korban di Palestin sudah melebihi negara-negara lain.

Selain Palestin, ia menawarkan khidmat korban di Indonesia, Kenya, Kemboja, India dan Australia.

Langkah untuk menyertakan Palestin sekali dalam pakej tahun ini didorong oleh permintaan pelanggan mereka.

"Alhamdulillah, kami telah bekerjasama dengan rakan niaga kami iaitu Smart Qurban dan ini kali pertama kami buat dengan (mereka) sebab ada permintaan daripada pelanggan kami. Jadi Alhamdulillah, kami sudah membuat tempahan 1,000 kambing daripada tahun lepas untuk korban tahun ini dengan rakan niaga kami," kongsi Encik Kamaruzaman.

"Prosesnya agak mudah sebab 1,000 kambing ini sudah berada di Gaza jadi berhubung urusan korban, selepas daging ini dikorbankan, ia akan diberikan kepada penduduk-penduduk Gaza. Bukan seperti pembekal lain sebab mereka akan membawa masuk daging yang telah disembelih dari luar negara masuk (ke sana). Masalahnya sebab kita takut daging ini tidak dapat masuk sebab ada halangan di sempadan. Jadi untuk kita, Alhamdulillah kita ada langsung kambing di Gaza. Jadi, urusan agak mudah insya-Allah,” tambah beliau.

Untuk memastikan kesahihan korban yang dijalankan di Palestin kelak, gambar dan video akan dirakamkan buat para sohibul korban di sini.

“Insya-Allah, kita akan kongsi gambar dan video korban di Palestin cuma masalahnya kita tidak dapat berkongsi tempat di mana korban itu akan diadakan sebab masalah kerahsiaan seperti takut tempat itu dibom. Jadi itu yang kita tidak dapat kongsi tetapi insya-Allah, kita akan berkongsi gambar-gambar dan video penyembelihan,” jelas Encik Kamaruzaman.

Pendaftaran bagi kedua-dua syarikat ini dibuka hingga 10 Jun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan