Skip to main content

Singapura

Khidmat kesihatan mental akan dimasukkan ke dalam inisiatif SG Lebih Sihat: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Oct 2023 04:50PM Dikemas Kini : 04 Oct 2023 08:56PM
SINGAPURA: Khidmat-khidmat kesihatan mental akan dimasukkan ke dalam program jagaan pencegahan negara SG Lebih Sihat dalam tempoh dua tahun mendatang.

Demikian didedahkan oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Rabu (4 Okt).

"Kami akan mewujudkan protokol-protokol bagi kesihatan mental, dan akan menggabungkan pencegahan serta sokongan bagi kesihatan mental sebagai sebahagian daripada skop amalan doktor swasta (GP) di bawah program SG Lebih Sihat, seperti yang dilakukan bagi penyakit-penyakit kronik yang lain," katanya dalam satu ucapan yang dibuat di Persidangan Kesihatan Mental Singapura.

Buat masa ini, lebih 400 GP dilatih untuk menguruskan kes kesihatan mental serta bekerjasama dengan inisiatif-inisiatif masyarakat dan hospital untuk memenuhi keperluan kesihatan mental pesakit.

Kumpulan ini akan diperluaskan secara berperingkat dalam beberapa tahun akan datang, kata Encik Ong.

"Melalui program SG Lebih Sihat, kita harus menyasarkan untuk membantu individu membina daya bingkas dari segi mental, menangani tekanan dan mendapatkan bantuan seawal mungkin jika diperlukan," tambahnya.

Beliau berkata bahawa sebuah Pasukan Bertindak Antara Agensi bagi Kesihatan dan Kesejahteraan Mental - yang ditubuhkan pada 2021 - sudah membangunkan sebuah strategi negara untuk "mengatasi isu-isu itu secara terang dan holistik, daripada perspektif pencegahan dan kuratif, dan melalui masyarakat, sekolah dan tempat kerja".

Cadangannya kini sedang dimuktamadkan dan akan dilancarkan pada Khamis (5 Okt).

Encik Ong berkongsi bahawa dalam peranannya sebelum ini sebagai Menteri Pendidikan, beliau mendapati lebih ramai pelajar membangkitkan isu kesihatan mental dengannya.

"Walaupun generasi muda tidak berdepan peperangan dan rusuhan kaum, mereka melalui tekanan dan kebimbangan yang berbeza," katanya.

“Mereka bimbang tentang perubahan iklim...Mereka cuba memahami dunia yang berubah dengan pantas, rentak kehidupan yang pantas dan persaingan sengit di sekolah dan di tempat kerja.

"Generasi muda juga sedang bergelut dengan media sosial, yang mentakrifkan semula bagaimana interaksi sosial dijalankan," tambah Encik Ong.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyatakan bahawa klinisian di kementeriannya amat menyedari keperluan untuk menjaga kesihatan fizikal, mental dan emosi individu secara serentak.

"Semua aspek kesihatan ini saling bergantung - anda kehilangan satu, anda akan kehilangan semuanya," kata Encik Ong, menekankan kesihatan mental sebagai isu penting.

“Tindak balas kami tidak boleh terlalu menggunakan kaedah campur tangan klinikal. Kita perlu menyedari bahawa ini pada asasnya adalah cabaran sosioekonomi, walaupun dengan kesan ketara ke atas kesihatan," tambahnya.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita